Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB tidak jumpa sebarang hubungan aktif antara Syria, Al-Qaeda

Dapatan perkukuh usaha AS untuk bubar sekatan PBB ke atas Syria
Jul 11, 2025 | 5:09 PM
ahmed al-sharaa, syria, bashar al-assad
Pemimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Encik Ahmed al-Sharaa, telah dilantik sebagai presiden sementara Syria apabila kumpulan itu berjaya menggulingkan mantan presiden, Bashar al-Assad dalam serangan kilat pada Disember 2024. - Foto REUTERS

NEW YORK: Pemerhati sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak menemui sebarang “hubungan aktif” antara Al-Qaeda dengan kumpulan Islamis yang mengetuai pemerintah sementara Syria pada 2025, menurut satu laporan PBB yang belum diterbitkan.

Dapatan tersebut berpotensi memperkukuh usaha Amerika Syarikat untuk membubarkan sekatan PBB ke atas Syria.

Laporan tersebut, yang dilihat oleh Reuters pada 10 Julai, dijangka akan diterbitkan pada Julai.

Hayat Tahrir al-Sham (HTS) merupakan bekas cabang Al-Qaeda di Syria, namun hubungan kedua-dua kumpulan tersebut telah putus pada 2016.

HTS yang sebelum ini dikenali sebagai al-Nusra Front, mengetuai kempen pemberontakan yang menggulingkan mantan presiden kuku besi Syria, Encik Bashar al-Assad dalam serangan kilat pada Disember 2024.

Susulan kejayaan tersebut, pemimpin HTS, Encik Ahmed al-Sharaa, telah dilantik sebagai presiden sementara Syria.

Laporan itu dikeluarkan ketika para diplomat menjangkakan Amerika akan berusaha menghapuskan sekatan PBB ke atas HTS dan Encik Sharaa, yang menyatakan hasratnya untuk membina sebuah Syria yang terangkum dan demokratik.

“Ramai individu di peringkat taktikal memegang pandangan yang lebih ekstrem berbanding Encik Sharaa dan Menteri Dalam Negeri Anas Khattab, yang biasanya dianggap lebih pragmatik (berfikiran praktikal) berbanding berpegang kepada ideologi,” menurut laporan PBB itu. 

Laporan tersebut merangkumi pemerhatian selama enam bulan sehingga 22 Jun dan berdasarkan sumbangan serta penilaian daripada negara anggota PBB.

Sejak Mei 2014, HTS dikenakan sekatan oleh PBB termasuk pembekuan aset sejagat dan sekatan senjata. 

Beberapa anggota HTS juga dikenakan sekatan seperti larangan perjalanan dan pembekuan aset – termasuk Encik Sharaa, sejak Julai 2013.

Pemantau PBB menulis dalam laporan mereka kepada Majlis Keselamatan:

“Beberapa negara anggota menyuarakan kebimbangan bahawa beberapa anggota HTS dan sekutunya, terutama yang memegang peranan taktikal atau yang telah diserapkan ke dalam tentera Syria baru, kekal terikat dengan Al-Qaeda dari segi ideologi.”

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan pada Mei beliau akan menghapuskan sekatan Amerika ke atas Syria, sekali gus menandakan perubahan besar dalam dasar negara itu.

Beliau menandatangani perintah eksekutif melaksanakan perkara itu pada akhir Jun, dan Washington telah membatalkan penetapan HTS sebagai sebuah pertubuhan pengganas asing minggu ini.

Amerika ketika itu berkata pembatalan penetapan tersebut sejajar dengan visi Encik Trump yang ingin melihat Syria sebagai sebuah negara aman dan bersatu padu.

Seorang jurucakap Jabatan Negara memberitahu Reuters bahawa Amerika sedang “menyemak semula penetapan pengganas yang berkaitan dengan HTS dan Syria serta kedudukan mereka dalam senarai sekatan PBB”.

Para diplomat, pertubuhan kemanusiaan, dan penganalisis serantau berkata bahawa langkah penghapusan sekatan akan membantu proses pembinaan semula ekonomi Syria yang musnah, membawa negara itu keluar daripada pemerintahan antidemokratik, serta mengurangkan tarikan kumpulan radikal kepada Syria.

Encik Trump dan penasihatnya berhujah bahawa langkah itu juga akan menguntungkan Amerika, kerana ia membuka peluang perniagaan, menangkis pengaruh Iran dan Russia serta berpotensi mengurangkan penglibatan tentera Amerika di rantau itu.

Namun, Washington berdepan halangan diplomatik untuk mendapatkan sokongan Majlis Keselamatan bagi membatalkan sekatan tersebut.

Menurut para diplomat, Amerika juga perlu mendapatkan sokongan Russia – yang merupakan sekutu Encik Assad – dan China bagi sebarang pelonggaran sekatan ke atas Syria di PBB.

Kedua-dua negara itu amat bimbang dengan kehadiran pendatang asing yang menyertai HTS sepanjang perang selama 13 tahun antara kumpulan pemberontak dan pemerintah Assad.

Pakar PBB menganggarkan terdapat lebih 5,000 anggota militan asing di Syria.

Status anggota militan asing merupakan salah satu isu paling rumit yang menghalang pemulihan hubungan Syria dengan Barat, namun Amerika telah memberikan kelulusan kepada pelan pemimpin baru Syria untuk menyerapkan anggota militan asing ke dalam tentera mereka.

Pemantau PBB berkata beberapa anggota militan asing menolak untuk bergabung dengan tentera itu.

“Pembelotan berlaku dalam kalangan mereka yang melihat Encik Sharaa sebagai seorang pengkhianat, ini meningkatkan risiko konflik dalaman dan berpotensi menjadikan Encik Sharaa sasaran,” kata pakar PBB itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg