TEL AVIV: Israel dan Iran terus berbalas serangan untuk hari kelima berturut-turut pada 17 Jun tatkala Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggesa penduduk supaya “segera meninggalkan Teheran” selepas Iran menolak draf perjanjian baru untuk mengehadkan program nuklearnya.
Kenyataan Encik Trump dikeluarkan di wadah, Truth Social, hanya beberapa jam sebelum beliau bertolak pulang lebih awal daripada Sidang Puncak Kumpulan Tujuh (G7) di Banff, Canada.
Rumah Putih memaklumkan Encik Trump akan mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara.
“Iran sepatutnya menandatangani perjanjian yang saya cadangkan. IRAN TIDAK BOLEH MEMILIKI SENJATA NUKLEAR,” tulis Encik Trump. “Semua orang harus segera mengosongkan Teheran!”
Beberapa minit selepas tengah malam, siren amaran serangan udara kedengaran di Tel Aviv dan Haifa.
Tentera Israel berkata sistem pertahanan Iron Dome memintas sebahagian besar peluru berpandu Iran, namun mengakui sekurang-kurangnya tiga misil menembusi dan merosakkan blok kediaman di Haifa.
Kementerian Kesihatan Israel melaporkan lapan kematian baru, menjadikan angka korban di Israel kepada 32 orang sejak 13 Jun.
Di pihak Iran, media tempatan menyiarkan rakaman letupan besar dan tembakan pertahanan udara di Teheran serta di Natanz, tapak pengayaan uranium utama yang terletak 320 kilometer di selatan ibu negara.
Pihak berkuasa Iran mendakwa 13 serangan udara Israel menyasarkan depoh logistik dan pusat siaran radio-televisyen nasional.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Encik Hossein Kermanpour, berkata jumlah korban kini mencecah 237 orang, kebanyakannya orang awam.
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi, memberitahu BBC bahawa serangan udara Israel ke atas kemudahan pengayaan uranium Natanz “berkemungkinan besar telah memusnahkan” sekitar 15,000 unit pemutar gas yang digunakan dalam proses pengayaan tersebut.
Israel turut mendakwa telah mengebom pesawat pejuang F-14 milik Iran yang berada di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini ketika serangan dilancarkan.
Di Israel, syarikat tenaga Bazan mengesahkan sebuah loji jana kuasa di Haifa “rosak teruk” selepas terkena peluru berpandu Iran, menyebabkan bekalan elektrik di wilayah utara terjejas selama beberapa jam.
Sumber diplomatik serantau memberitahu agensi berita, Reuters, bahawa Teheran meminta Oman, Qatar dan Arab Saudi memujuk Washington agar memberi tekanan kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, agar menerima cadangan gencatan senjata yang diusahakan Amerika.
Sebagai balasan, Iran berjanji “menunjukkan kelonggaran” dalam rundingan nuklear.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menegaskan menerusi wadah X, “Jika serangan Israel dihentikan, kami bersedia memberi tindak balas sepadan dan kembali ke meja rundingan.”
Namun begitu, beliau turut memberi amaran, “Tanpa penghentian sepenuhnya terhadap pencerobohan ini, tindak balas kami akan diteruskan”.
Encik Netanyahu, ketika ditemui pemberita di Tel Aviv, menolak tekanan segera untuk gencatan senjata.
“Matlamat kami kekal: menamatkan sepenuhnya ancaman nuklear dan peluru berpandu Iran.
“Kami memberi 60 hari untuk diplomasi; tempoh itu berakhir,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, memberitahu Fox News bahawa pasukan Amerika membantu Israel memintas peluru berpandu tetapi tidak terlibat dalam serangan ofensif.
“Presiden masih mahukan penyelesaian diplomatik,” kata beliau.
Dalam pada itu, Rumah Putih menafikan laporan media sosial yang mendakwa tentera Amerika melancarkan serangan ke atas Iran.
Encik Trump enggan menandatangani kenyataan bersama G7 yang menyeru agar ketegangan dikurangkan.
Draf kenyataan tersebut menegaskan Iran “tidak boleh” memiliki senjata nuklear dan mengulangi hak Israel mempertahankan diri.
Harga minyak mentah Brent melonjak lebih 2 peratus kepada AS$78 ($99) setong selepas amaran pemindahan Encik Trump.
Ia susut semula berikutan laporan bahawa Iran bersedia menimbangkan gencatan senjata.
Penganalisis berkata harga boleh melebihi AS$100 jika Teheran menutup Selat Hormuz.
Di Tel Aviv, Lapangan Terbang Ben-Gurion kekal ditutup untuk penerbangan komersial.
Kedutaan China di Israel telah menasihati warganya agar meninggalkan negara itu melalui sempadan darat Jordan “secepat mungkin”.
Sementara itu, trafik keluar memasuki Teheran meningkat; penduduk melaporkan barisan panjang di stesen petrol dan mesin ATM kehabisan tunai.
Di Teheran, pasukan penyelamat bertungkus lumus di celah runtuhan bangunan Jabatan Perumahan Presiden yang musnah akibat serangan.
“Anak-anak saya tidak dapat tidur kerana dentuman letupan yang berterusan,” kata Cik Gholamreza Mohammadi, 48 tahun, yang terpaksa berlindung bersama keluarganya di bawah meja makan rumah mereka.
Menurut Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, di Israel, hampir 3 000 penduduk sudah dipindahkan,
“(Sebanyak) 24 buah bangunan di Tel Aviv dan Haifa kini menunggu untuk dirobohkan,” katanya.
Israel telah melancarkan serangan ke atas ibu pejabat televisyen kebangsaan Iran, Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB), ketika program sedang disiarkan secara langsung.
Menurut Agensi Berita Republik Islam Iran (Irna) siaran langsung di Saluran Berita IRIB terganggu seketika namun berjaya disambung semula beberapa minit kemudian.
Televisyen pemerintah Iran melaporkan bahawa Pasukan Pengawal Revolusi kini sedang bersiap sedia melancarkan “serangan peluru berpandu terbesar setakat ini” jika Israel tidak menghentikan operasinya.
Sementara itu, pegawai tentera Israel menyatakan bahawa mereka akan “meningkatkan kempen ketenteraan” dan terus mengekalkan kawalan ke atas ruang udara Iran. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg