RIYADH: Kumpulan pertama anggota jemaah haji yang sampai ke Arab Saudi melalui perjalanan laut laut untuk mengerjakan ibadah haji pada 2025, tiba di Pelabuhan Islam Jeddah dari Sudan, pada 15 Mei.
Kumpulan itu terdiri daripada 1,407 jemaah haji Sudan yang disambut Penolong Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik, Encik Ahmed bin Sufyan Al-Hassan, dan pegawai lain.
Penguasa Pelabuhan Saudi (Mawani) telah melaksanakan semua langkah yang perlu untuk memastikan kesediaan operasi menerima jemaah haji, lapor Agensi Media Saudi (SPA).
Mawani menetapkan matlamat meningkatkan kecekapan dan prestasi dalam semua aspek perjalanan Haji, daripada ketibaan dan pengendalian bagasi kepada pengangkutan ke Tanah Suci, tambah SPA.
Usaha ini adalah sebahagian daripada pelan operasi bersepadu yang telah dibangunkan dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa berkaitan dan diselaraskan dengan sektor pengangkutan yang lebih luas untuk melayan jemaah haji.
Tahun ini (2025), Mawani memperkemas perjalanan jemaah haji melalui tiga inisiatif utama: pemindahan bagasi langsung, pengendalian penghantaran awal untuk pergerakan yang lebih lancar dan transit trak ternakan yang diselaraskan dari Jeddah ke Makkah pada waktu terhad.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman jemaah haji secara keseluruhan, kata SPA lagi.
Kebanyakan jemaah haji kini sampai ke Tanah Suci melalui perjalanan udara.
Sebelum ini, jemaah dari Indonesia dan Singapura pernah mendirikan haji melalui perjalanan laut sekitar tahun 1950-an.
Sementara itu, perjalanan ke Tanah Suci menerusi perjalanan laut disambung semula selepas tempoh 40 tahun di Bangladesh.
Kali terakhir jemaah Bangladesh menaiki kapal untuk menjalankan ibadah haji ialah pada 1984.
Syarikat perkapalan, Karnaphuli Ship Builders, telah dipilih pemerintah Bangladesh untuk mengendalikan perjalanan laut jemaah negara itu ke Tanah Suci, dengan kos pengangkutan dijangka dapat dikurangkan sebanyak lebih 20 peratus.
Kapal 32 tingkat bagi membawa jemaah dari Pelabuhan Chttogram ke Jeddah dibeli pemerintah untuk menampung 3,000 jemaah bagi setiap perjalanan selama lapan hari untuk sampai ke destinasi.
Pada 2024, Arab Saudi meluluskan kuota 127,000 jemaah bagi Bangladesh (untuk musim haji 2024), tetapi kerana inflasi tinggi dan kos penerbangan ke Timur Tengah yang tinggi juga. hanya 85,000 jemaah sahaja dapat mengerjakan rukum Islam ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg