ABU DHABI: Selama hampir dua dekad, Amiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan kekayaan hasil minyak dan dana pelaburan negaranya untuk membina pengaruh ekonomi yang semakin besar di Britain.

Daripada sebuah kelab bola sepak yang pernah bergelut dalam Liga Perdana England (EPL), pelaburan UAE kini merangkumi hartanah mewah di London, pelabuhan utama, lapangan terbang, institusi kewangan, rangkaian restoran dan syarikat teknologi.

Namun, hubungan ekonomi yang selama ini dilihat menguntungkan kedua-dua negara kini berdepan penelitian semakin ketat.

Kontroversi kewangan membabitkan Manchester City, sebuah kelab milik kerabat diraja Abu Dhabi, serta dakwaan UAE menyokong kumpulan separa tentera dalam perang saudara Sudan, telah mencetuskan perdebatan mengenai pengaruh negara Teluk itu terhadap ekonomi dan politik Britain.

Persoalan yang semakin mendapat perhatian adalah sama ada pelaburan berbilion dolar UAE sekadar membantu pertumbuhan ekonomi Britain atau turut memberikan Abu Dhabi pengaruh besar terhadap keputusan politik dan dasar negara tersebut.

Isu itu menjadi lebih rumit apabila Britain masih memerlukan pelaburan asing untuk membiayai pembangunan prasarana, menyediakan pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

UAE, yang terdiri daripada tujuh wilayah pemerintahan beraja, merupakan antara negara terkaya di dunia, dengan dana kekayaan berdaulat bernilai lebih AS$2 trilion ($2.6 trilion).

Melalui hasil minyak, kewangan, perdagangan dan pelancongan, negara itu telah mengembangkan pelaburannya ke seluruh dunia, termasuk Amerika Utara, Eropah dan Asia.

Di Britain sahaja, UAE telah memberikan komitmen pelaburan hampir AS$30 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2026 menerusi Perkongsian Pelaburan Berdaulat UAE-Britain.

Pelaburan sebesar itu menjadikan UAE bukan sekadar rakan dagang, bahkan antara sumber modal asing yang penting bagi ekonomi Britain.

Bagaimanapun, semakin luas pelaburannya, semakin besar juga persoalan mengenai ketelusan, kebertanggungjawapan dan isu keselamatan negara.

Manchester City lambang pengaruh

Manchester City menjadi contoh paling jelas bagaimana kekayaan UAE mampu mengubah kedudukan sebuah institusi Britain.

Pada 2008, Kumpulan Abu Dhabi United,syarikat pelaburan milik Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, membeli Manchester City dengan harga sekitar £200 juta ($341 juta).

Ketika itu, Manchester City bukan kelab gergasi bola sepak England.

Kelab tersebut sering berada di pertengahan liga dan pernah tersingkir daripada saingan tertinggi bola sepak England.

Namun, kemasukan modal Abu Dhabi mengubah nasibnya.

Manchester City berkembang menjadi antara kelab paling berjaya di Eropah, memenangi lapan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) sejak pengambilalihan itu, selain menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, pencapaian itu kini dibayangi kontroversi kewangan.

Pada September 2026, Manchester City dilaporkan didapati melanggar 114 peraturan kewangan EPL, termasuk dakwaan menyembunyikan lebih £830 juta pembiayaan yang tidak dibenarkan.

Kelab itu menafikan dakwaan tersebut.

Kontroversi itu turut memberikan tekanan politik kepada Perdana Menteri Britain, Encik Andy Burnham, yang sebelum ini menjadi Datuk Bandar Manchester dari 2017 hingga Jun 2026.

Sepanjang tempoh tersebut, pelaburan Abu Dhabi bukan sahaja membantu pembangunan Manchester City, malah menyumbang kepada perubahan besar landskap bandar Manchester.

Antara projek paling menonjol ialah Manchester Life – pembangunan hartanah bercampur di kawasan Ancoats – yang dilancarkan pada 2014 menerusi kerjasama strategik antara Majlis Bandar Raya Manchester dengan Abu Dhabi United Group.

Projek itu dilaporkan bernilai sekitar £1 bilion.

Abu Dhabi turut mempunyai kepentingan dalam Co-op Live, arena hiburan tertutup terbesar di Britain, melalui City Football Group.

Namun, persoalan timbul apabila laporan pada Oktober mendedahkan bahawa Majlis Bandar Raya Manchester memberikan hak keutamaan kepada syarikat milik Sheikh Mansour untuk menyertai beberapa projek pembangunan.

Pengkritik mendakwa pengaturan tersebut memberikan kelebihan kepada pelabur Abu Dhabi berbanding pemaju lain.

Pengaruh UAE dalam sukan Britain juga tidak terhad kepada Manchester City.

Syarikat penerbangan Emirates, milik kerajaan Dubai, menaja Arsenal dan memperoleh hak penamaan Stadium Emirates.

Emirates turut menaja pertandingan Piala FA dan kelab kriket Lancashire.

Dalam sukan permotoran, CYVN Holdings, dari Abu Dhabi memiliki kepentingan minoriti dalam McLaren Racing dan mengambil alih sepenuhnya McLaren Automotive pada 2025.

Sementara itu, keluarga diraja Dubai memiliki Godolphin, antara organisasi perlumbaan kuda terbesar di dunia, yang mempunyai operasi utama di Newmarket, England.

Pelaburan dalam sukan memberikan UAE sesuatu yang sukar diperoleh melalui hubungan diplomatik biasa, iaitu pengaruh jenama, hubungan dengan masyarakat tempatan dan pengiktirafan antarabangsa.

Hartanah mewah aset strategik

Selain sukan, hartanah merupakan antara sektor yang paling banyak menerima pelaburan UAE.

Di London, keluarga diraja Abu Dhabi memiliki rangkaian hartanah bernilai berbilion paun, termasuk bangunan mewah di kawasan elit seperti Mayfair dan Knightsbridge.

Empayar hartanah yang dibina di bawah mantan Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, dianggar bernilai lebih £5 bilion pada 2020.

Selepas kematian Sheikh Khalifa pada 2022, sebahagian aset tersebut diwarisi anggota keluarganya.

Abu Dhabi turut memiliki pusat pameran ExCeL London, selain hartanah dan kawasan tanah di Scotland serta Surrey.

Pada 2023, syarikat hartanah Aldar yang disokong pemerintah Abu Dhabi membeli pemaju Britain, London Square, dengan harga sekitar AS$291 juta.

Syarikat itu terlibat dalam pembangunan perumahan di London, termasuk kawasan Nine Elms.

Pada Oktober 2026, Aldar mengumumkan rancangan membangunkan 9,000 lagi rumah dalam tempoh lima tahun.

Penguasaan hartanah oleh pelabur asing yang mempunyai sumber kewangan besar turut menimbulkan persoalan mengenai harga rumah, kemampuan penduduk tempatan memiliki kediaman dan siapakah yang paling meraih manfaat daripada pembangunan tersebut.

Prasarana penting dalam genggaman

Jika pelaburan dalam bola sepak dan hartanah menjadikan UAE lebih dikenali, penglibatannya dalam prasarana pula memberikan negara itu kepentingan dalam sektor yang lebih strategik.

Syarikat pelabuhan dan logistik milik pemerintah Dubai, DP World, mengendalikan London Gateway dan Southampton, dua terminal kontena terbesar di Britain.

Kedua-dua pelabuhan itu memainkan peranan penting dalam perdagangan antarabangsa dan pergerakan barangan ke pasaran Britain.

Pada 2024, kerajaan Britain meluluskan rancangan pembesaran London Gateway bernilai £1 bilion.

DP World turut memiliki syarikat perkapalan P&O dan P&O Ferries.

Namun, reputasinya terjejas pada 2022 apabila P&O Ferries memberhentikan sekitar 800 pekerja Britain dan menggantikan mereka dengan pekerja agensi yang menerima gaji lebih rendah.

Pada Ogos 2026, DP World terus mengembangkan operasinya dengan mengambil alih enam pusat pengedaran barangan runcit yang membekalkan rangkaian pasar raya seperti Asda, Sainsbury’s dan Co-op.

Penglibatan itu bermakna syarikat Dubai kini mempunyai kepentingan dalam rantaian bekalan makanan dan barangan pengguna Britain.

Dalam sektor penerbangan pula, dana pelaburan Abu Dhabi memiliki hampir 8 peratus kepentingan dalam Lapangan Terbang Gatwick, lapangan terbang kedua paling sibuk di Britain.

UAE juga pernah menunjukkan minat mendapatkan kepentingan dalam Lapangan Terbang Heathrow.

Dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, syarikat Masdar milik UAE mempunyai pelaburan dalam projek ladang angin Britain, termasuk London Array di luar pantai Kent dan Dogger Bank South di Laut Utara.

Sementara itu, dana Mubadala mempunyai kepentingan dalam CityFibre, antara penyedia rangkaian gentian optik terbesar Britain, selain melabur dalam syarikat pusat data Yondr.

Pada 2024, Abu Dhabi memperoleh sekitar satu pertiga kepentingan dalam Hargreaves Lansdown, antara syarikat pelaburan runcit terbesar Britain, menerusi urus niaga pengambilalihan bernilai £5.4 bilion.

Mubadala juga membeli kepentingan dalam Revolut, bank digital Britain yang berkembang pesat.

Dalam sektor peruncitan dan perhotelan, pelaburan Mubadala dalam Fortress Investment Group memberikan UAE pendedahan tidak langsung kepada beberapa jenama terkenal Britain.

Pada April 2026, International Holding Company yang dikaitkan dengan Sheikh Tahnoon bin Zayed Al Nahyan, pula membeli empayar restoran milik ahli perniagaan, Encik Richard Caring, dengan harga £1.4 bilion.

Pengambilalihan itu merangkumi rangkaian restoran The Ivy dan kelab eksklusif Annabel’s di Mayfair.

Ini membuktikan strategi pelaburan UAE kini beralih daripada sekadar projek besar kepada sektor yang menyentuh terus kehidupan harian masyarakat biasa.

Sebaliknya, kepentingannya kini merangkumi tempat warga Britain makan, membeli-belah, menonton filem dan melaburkan wang simpanan mereka.

Keselamatan, kebebasan media

Pelaburan UAE turut mengundang perhatian pihak berkuasa Britain apabila melibatkan sektor yang dianggap sensitif.

Pada 2024, kerajaan Britain menyifatkan pegangan syarikat telekomunikasi UAE, Etisalat, dalam Vodafone sebagai risiko terhadap keselamatan negara.

Langkah pengawasan khas diperkenalkan bagi melindungi operasi sensitif syarikat telekomunikasi Britain itu.

Etisalat kemudian menjual pegangannya yang bernilai £4.4 bilion pada Julai 2026.

Dalam sektor media pula, usaha Abu Dhabi mengambil alih akhbar, The Telegraph dan majalah, The Spectator, pada 2023 mencetuskan bantahan berhubung kemungkinan campur tangan pemerintah asing dalam kebebasan editorial.

Kerajaan Britain akhirnya memperkenalkan peraturan yang menyekat pemilikan akhbar oleh pemerintah asing.

Usaha pengambilalihan tersebut tidak diteruskan.

Perang Sudan tambah tekanan

Kontroversi Manchester City bukan satu-satunya isu yang menjejas imej UAE di Britain.

Abu Dhabi turut menghadapi tuduhan menyokong Pasukan Sokongan Pantas (RSF), kumpulan separa tentera yang terlibat dalam perang saudara Sudan.

RSF dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman terhadap orang awam.

UAE menafikan dakwaan ia memberikan sokongan ketenteraan kepada RSF.

Bagaimanapun, isu tersebut meningkatkan tekanan terhadap pemerintah Britain supaya menilai hubungan ekonominya dengan Abu Dhabi berdasarkan pertimbangan hak asasi manusia, bukan semata-mata kepentingan perdagangan.

Pelaburan alat pengaruh politik?

Perkembangan paling membimbangkan bagi Britain ialah laporan bahawa UAE mungkin mengurangkan pelaburannya sebagai tindak balas terhadap keputusan kes Manchester City.

Menurut laporan media Britain pada Oktober 2026, pegawai UAE memberi amaran bahawa hukuman terhadap kelab itu boleh menjejas hubungan dua hala dan pelaburan masa depan.

Antara projek yang berpotensi terjejas ialah rancangan pembangunan koridor teknologi Oxford-Cambridge, yang mahu dijadikan pusat inovasi setanding Silicon Valley di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, laporan mengenai kemungkinan penarikan pelaburan itu belum membuktikan bahawa UAE telah membuat keputusan rasmi untuk membatalkan komitmen kewangannya.

Manchester City juga telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan suruhanjaya bebas EPL, manakala hukuman terhadap kelab tersebut belum dimuktamadkan.

UAE juga mempunyai kepentingan besar untuk mengekalkan akses kepada pasaran kewangan, teknologi, hartanah dan prasarana Britain.

Oleh itu, sebarang tindakan menarik balik pelaburan secara besar-besaran turut berpotensi merugikan pelabur UAE sendiri.

Britain berdepan pilihan sukar

Bagi Perdana Menteri Britain, Encik Andy Burnham, cabaran utama ialah mengekalkan keyakinan pelabur asing tanpa memberikan gambaran bahawa syarikat yang disokong negara kaya mendapat layanan istimewa.

Menurut Kementerian Luar UAE, komitmen pelaburan melalui perkongsian berdaulat kedua-dua negara telah meningkat kepada hampir £30 bilion, meliputi lebih 50 pelaburan langsung.

Perkongsian tersebut juga dilaporkan menyokong 48,000 pekerjaan di Britain, dengan potensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan menjelang 2030.

Namun, manfaat ekonomi tidak seharusnya mengetepikan keperluan memastikan semua pelabur mematuhi undang-undang yang sama.

Persoalan utama bagi Britain kini bukan sama ada negara itu masih memerlukan wang UAE, tetapi bagaimana memastikan pelaburan berbilion paun tersebut tidak memberikan mana-mana pihak pengaruh yang boleh mengatasi undang-undang, kepentingan awam dan kedaulatan negara. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti