Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Diplomasi sukan UAE berbeza dari negara serantau

Pilih pelaburan ‘lebih perlahan’ dalam bina portfolio sukan berbanding pelaburan lebih ‘agresif’ Qatar dalam Piala Dunia dan Saudi dalam Newcastle dan LIV Golf
Jul 31, 2023 | 05:30 PM



Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah membentuk dirinya sebagai hab sukan dunia dan menganjurkan beberapa acara sukan berprofil tinggi, termasuk Piala Dunia Dubai (perlumbaan kuda berdarah murni), Grand Prix Dubai dan Pertandingan Ragbi Tujuh Dubai.

Acara-acara itu bukan membantu memajukan industri pelancongan negara itu dan meningkatkan profil antarabangsanya saqhaja, malah menjadi alat berkesan dalam bidang diplomasi awam yang dipanggil diplomasi sukan, yang semakin menjadi aspek penting dasar luar UAE.

Sedang diplomasi tradisional melibatkan pegawai dan diplomat kerajaan merundingkan triti dan perjanjian, diplomasi sukan melibatkan pihak bukan kerajaan, seperti pasukan, atlet, penyokong, penaja, pemilik individu/asing dan jenama tampil bersama untuk membentuk dan meraikan kegiatan kesukanan.

Pemerintah menggunakan diplomasi sukan untuk berkomunikasi dan melibatkan diri dengan penonton bagi mempromosikan nilai dan kepentingan negara mereka.

Contoh diplomasi sukan yang paling menonjol ialah acara antarabangsa besar seperti Sukan Olimpik atau Piala Dunia, tetapi pertandingan lebih kecil juga boleh menjadi wadah yang berkesan.

Penggunaan diplomasi sukan mempunyai sejarah panjang sejak Sukan Olimpik purba diadakan di Greece untuk menggalak keamanan dan perpaduan dalam kalangan negara kota yang menyertainya.

Acara sukan boleh menjadi peluang baik untuk pertemuan tidak rasmi antara pemimpin politik, terutamanya bagi perbincangan pelbagai hala, dan boleh digunakan bagi mendekati masyarakat antarabangsa atau untuk mengukuhkan hubungan antara negara tertentu.

Ia juga boleh memberikan pandangan tentang prasarana, tarikan dan budaya negara tuan rumah, sekali gus memberi manfaat kepada negara tuan rumah dalam pelbagai cara, termasuk menggalak pelancongan dan pelaburan asing.

Ia juga boleh mencipta warisan untuk negara tuan rumah dengan meningkatkan imejnya dan mempamerkan kekuatan institusi dan keupayaannya menganjurkan acara.

Sukan jadi wadah tonjol Majlis Kerjasama Teluk (GCC)


Diplomasi sukan boleh dianggap sebagai cabang kuasa lembut, yang merujuk kepada keupayan sebuah negara mempengaruhi negara lain melalui kaedah bukan paksaan, seperti budaya, nilai dan dasar.

Ia menggunakan sukan sebagai platform untuk memupuk hubungan antarabangsa, menggalak pemahaman budaya, dan meningkatkan imej sesebuah negara di pentas global.

Dengan memanfaatkan sukan, negara boleh melibatkan diri dalam interaksi antara rakyat, membina hubungan, dan mewujudkan persepsi positif terhadap negara mereka dan nilainya.

Negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) telah mengiktiraf potensi sukan dan budaya sebagai komponen utama strategi kuasa lembut mereka.

Negara-negara itu berkongsi minat dalam bidang sukan dan berada di lokasi strategik antara Eropah, Asia dengan Afrika. Justeru itu, diplomasi sukan wajar dijadikan alat dasar luar kerajaan mereka.

Piala Dunia 2022 di Qatar, sebagai contoh, merupakan peluang untuk Doha mempamerkan keupayaannya dan meningkatkan reputasi antarabangsanya.

UAE belum pernah menganjurkan acara berprofil tinggi seperti Piala Dunia, tetapi ia telah muncul sebagai pemain utama dalam diplomasi sukan.

Pendekatan negara itu ialah mempelbagai keterlibatannya melebihi sukan tradisional, seperti bola sepak dan kriket, kepada sukan tukikan seperti golf, lumba kuda dan sukan permotoran.

Ini telah membolehkannya meneroka pasaran dan penggemar tertentu dan membuktikan keupayaannya dalam menganjurkan pelbagai acara sukan.

Acara-acara itu dapat menarik pelancong, menjana pendapatan daripada jualan tiket, meningkatkan sektor hospitaliti dan pelancongan, serta menyediakan peluang untuk perniagaan tempatan.

UAE mengiktiraf kesan positif daripada menganjurkan acara tersebut, dan secara aktif berusaha menjadikannya sebahagian daripada strategi lebih luas mempelbagaikan ekonominya.

Menurut Simon Chadwick, Profesor Sukan dan Ekonomi Geopolitik di Sekolah Perniagaan Skema di Paris, “sukan menggoda, dan oleh itu merupakan cara yang sangat cekap untuk menyasarkan penggemar yang relevan”.

Beliau percaya bahawa “pendekatan Dubai melibatkan permainan yang memikat, direka untuk menarik pelawat dan penumpang transit syarikat penerbangan ke negara ini – contohnya program penajaan jersi bola sepak oleh Emirates”.

“Dalam kes ini, diplomasi sukan nampaknya lebih kepada soal perwakilan yang mantap, Kelab Bola Sepak Manchester City adalah satu contoh utama.”

Dr Sebastian Sons, seorang penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Amali dalam Perkongsian dengan Orient (Carpo), sebuah firma perunding cara berpangkalan di Jerman, menegaskan bahawa, “sebagai negara GCC pertama yang memperoleh sebuah kelab bola sepak pada 2008 dan melabur dalam kejayaan Manchester City, UAE dicontohi oleh negara lain, seperti Qatar (PSG) dan Arab Saudi (Newcastle United).


“Strategi jangka panjang ini menekankan bahawa kejayaan memerlukan masa dan dedikasi.”

Dr Seth Perkin, seorang pensyarah di Universiti Metropolitan Manchester dan penulis buku ‘Big Games: Small State Politics and Global Sport’ (Permainan Besar: Politik Negara Kecil dan Sukan Sejagat):

“Berbanding pelaburan lebih ‘agresif’ yang ditunjukkan oleh Qatar dalam membida dan menganjurkan Piala Dunia Fifa pada 2022 dan pemilikan Dana Pelaburan Awam Arab Saudi ke atas Newcastle United FC dan penciptaan LIV Golf, UAE memilih pelaburan ‘lebih perlahan’ dalam membina portfolio sukannya.

“Dalam hal inilah kita mesti mengakui luasnya jangkauan strategi kuasa lembut yang telah dilaksanakan oleh UAE.

“UAE menerima kurang kritikan antarabangsa berbanding rakan serantaunya kerana sukan di negara ini melengkapi prasarana sedia ada di sekitar budaya dan pelancongannya.

“Khususnya, dengan Dubai mengiktiraf kepentingan pelancongan bagi pertumbuhan ekonominya pada 1980-an, penggunaan penajaan sukannya dari awal 2000-an menyokong apa yang sedang menjadi destinasi pelancongan yang mantap.

“Apabila Manchester City diambil alih oleh United Group dari Abu Dhabi pada 2008, UAE adalah nama yang tidak asing bagi semua peminat bola sepak di UK (United Kingdom) kerana kehadiran tajaan Emirates Group bagi Arsenal dan, oleh itu, ia tidak dilihat sebagai ancaman kepada status quo.

“Ini tidak seperti yang dilihat dalam penganjuran Piala Dunia oleh Qatar dan pelibatan Arab Saudi dalam Newcastle.”

UAE menganggap sukan sebagai unsur penting dalam agenda nasionalnya dan memuatkan komitmennya terhadap sukan dalam rancangan transformasi ekonomi Wawasan 2021-nya, yang menekankan pembangunan sektor sukan bertaraf dunia dan bertujuan menjadikan negara itu sebagai hab sejagat sukan.

Pelaburan yang besar dalam stadium dan kemudahan bertaraf dunia telah membolehkan UAE menjadi hab bagi pelancongan sukan di rantaunya.

Litar Yas Marina ialah trek Formula 1 paling mahal di dunia, menelan belanja sekitar AS$1.3 bilion ($1.73 bilion) untuk dibina pada 2008.

UAE juga telah melabur dalam akademi sukan dan kemudahan latihan bagi membangunkan atlet dan pasukannya sendiri, terutamanya dalam bola sepak.

Negara itu telah mewujudkan daya usaha seperti Inisiatif Global Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang merangkumi program berkaitan sukan untuk menangani cabaran sosial.

Sebagai contoh, UAE telah melaksana projek untuk menyediakan kemudahan sukan, bimbingan dan peralatan kepada masyarakat kurang bernasib baik dan pelarian.

Daya usaha itu bertujuan menggalak keterangkuman, pemerkasaan, penyepaduan sosial dan kesejahteraan fizikal melalui sukan.

UAE juga telah memanfaatkan acara sukan dan perkongsian untuk mengumpul dana dan kesedaran bagi usaha dan bantuan antarabangsa. Sebagai contoh, negara itu telah menganjurkan acara sukan amal dan lelongan yang hasilnya disalurkan bagi menyokong tujuan kemanusiaan.

Bahagian yang sama penting dalam strategi diplomasi sukan UAE ialah menggalak kesaksamaan jantina dalam sukan.

Daya usaha seperti Liga Bola Sepak Wanita UAE, Larian Wanita Abu Dhabi dan Jelajah Berbasikal Wanita Dubai telah membantu mencipta peluang baru untuk wanita dalam sukan dan mencabar stereotaip jantina di rantau itu

Kesimpulan


Diplomasi sukan UAE mempunyai potensi besar sedang negara itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab sukan sejagat dan memanfaatkan kuasa sukan bagi tujuan diplomatik.

Pelaburan strategiknya dalam acara, prasarana dan perkongsian sukan telah meningkatkan kedudukan antarabangsanya serta menarik perhatian atlet, pasukan dan pertubuhan dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, strategi itu mungkin menghadapi cabaran.

Antaranya ialah perlunya pelaburan dan pembangunan berterusan dalam program sukan akar umbi untuk memupuk bakat tempatan dan membina ekosistem sukan mampan.

Mengimbangi usaha mencapai kecemerlangan sukan sambil menegakkan prinsip permainan adil, keterangkuman dan ketelusan akan menjadi penting demi kejayaan berterusan UAE dalam diplomasi sukan.

Memandangkan negara lain dalam GCC turut menceburi acara sukan utama, UAE menghadapi cabaran dalam mengekalkan kelebihan daya saingnya.

Satu lagi cabaran utama ialah persaingan yang semakin meningkat bagi hak penganjuran, kerana negara jiran seperti Qatar dan Arab Saudi juga telah berjaya memperoleh acara sukan antarabangsa yang besar.

Ini meningkatkan persaingan untuk pelaburan, tawaran penajaan dan perhatian media, mewujudkan landskap yang perlu dilalui oleh UAE secara strategik.

Akhir sekali, tuduhan “mencuci sukan” telah memberi kesan negatif terhadap penganjuran acara sukan di Teluk.

Pengkritik berpendapat bahawa acara-acara itu digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu hak asasi manusia, kekurangan kebebasan politik atau penyalahgunaan hak buruh.

Tuduhan itu boleh menjejaskan kewibawaan dan kesahihan negara tuan rumah, menimbulkan kebimbangan mengenai ketelusan dan keadilan proses bidaan serta layanan terhadap pekerja asing yang terlibat dalam persiapan acara.

Tuduhan sedemikian mendorong pemerhatian antarabangsa, seruan boikot atau protes, mencemarkan reputasi negara tuan rumah, sambil menimbulkan persoalan tentang pertimbangan etika yang menyelubungi penganjuran acara itu.

Di sebalik cabaran tersebut, komitmen UAE terhadap program diplomasi sukan yang membezakan negaranya dengan negara jiran Teluk meletakkannya sebagai pemain penting dalam landskap sukan sejagat, mampu memupuk pertukaran silang budaya, menggalak perpaduan dan membentuk imej antarabangsa yang positif.

Dr Kristian Alexander Zamil Kanan dan Pengarah Program Keselamatan & Pengganasan Antarabangsa di TRENDS Research & Advisory, Dubai. Rahaf Al Khazraji Penyelidik UAE di TRENDS Research & Advisory di Abu Dhabi.


Artikel ini kali pertama diterbitkan oleh Institut Timur Tengah (MEI) Universiti Nasional Singapura (NUS) di laman https://mei.nus.edu.sg/.)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >