Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes Man City terhadap 115 dakwaan bermula 16 Sep

Sep 13, 2024 | 4:53 PM
Manchester City dituduh melakukan 80 pelanggaran peraturan kewangan antara 2009 dengan 2018, dan 35 lagi kesalahan gagal memberi kerjasama dalam penyiasatan Liga Perdana England (EPL).
Manchester City dituduh melakukan 80 pelanggaran peraturan kewangan antara 2009 dengan 2018, dan 35 lagi kesalahan gagal memberi kerjasama dalam penyiasatan Liga Perdana England (EPL). - Foto REUTERS

MANCHESTER: Satu perbicaraan yang dinanti-nantikan mengenai kes Manchester City yang menghadapi 115 dakwaan pelanggaran peraturan kewangan, akan bermula pada 16 September.

Kes tersebut dijangka bakal memberi kesan besar kepada juara Liga Perdana England (EPL) itu.

Sky Sports melaporkan pada 12 September bahawa satu suruhanjaya bebas akan mula mendengar kes itu pada minggu depan.

City dituduh melakukan 80 pelanggaran peraturan kewangan antara 2009 dengan 2018, dan 35 lagi kesalahan kerana gagal memberi kerjasama dalam siasatan EPL.

Sejak kelab itu diambil alih pada 2008 oleh Sheikh Mansour, anggota keluarga diraja Amiriah Arab Bersatu (UAE), City telah berubah menjadi sebuah pasukan dominan dalam bola sepak England.

Kelab tersebut telah memenangi lapan daripada 13 gelaran EPL terakhir, termasuk mencatatkan sejarah dengan memenangi EPL buat kali keempat berturut-turut.

City juga menjulang Liga Juara-Juara buat kali pertama pada 2023.

Bagaimanapun, pencapaiannya diselubungi kontroversi, dengan penyokong pasukan lawan sering menyebut tuduhan yang dihadapi City.

Namun begitu, kelab tersebut sentiasa menafikan sebarang salah laku dan berikrar untuk membersihkan namanya.

“Sudah tentu, ia mengecewakan. Saya fikir rujukan (kepada dakwaan ini) sentiasa mengecewakan.

“Saya berasa simpati untuk peminat kami, untuk semua yang ada kaitan dengan kelab ini, kerana dakwaan ini sentiasa disebut-sebut,” kata pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak, pada awal 2024.

EPL membuat dakwaan itu pada Februari 2023.

Namun, kes itu mempunyai tempoh menunggu yang panjang untuk dimulakan di hadapan satu suruhanjaya bebas yang dipertanggungjawabkan mendengarnya.

Jika didapati bersalah atas beberapa atau semua tuduhan itu, City mungkin dikenakan potongan mata yang teruk, malah disingkirkan daripada EPL.

Kelab Everton dan Nottingham Forest dikenakan potongan mata pada musim lalu kerana melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian (PSR) liga tersebut.

City didakwa gagal memberikan maklumat kewangan tepat antara 2009 dengan 2018, termasuk pendapatan daripada penaja dan butiran gaji pengurus serta pemainnya.

Tuduhan lain yang dihadapinya berkaitan pelanggaran peraturan kelestarian kewangan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) dan Liga Perdana.

Perbicaraan tersebut dijadual berlangsung selama sekitar dua bulan, dengan keputusan dijangka diumumkan pada 2025.

Walaupun sekiranya City didapati bersalah atas beberapa atau semua tuduhan oleh suruhanjaya itu, kelab tersebut mungkin membuat rayuan terhadap keputusan itu, yang akan melambatkan lagi sebarang sekatan yang dikenakan terhadapnya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg