Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin dunia suarakan kebimbangan konflik Israel, Iran jejas kestabilan rantau

Jun 13, 2025 | 4:56 PM
konflik Israel, Iran, kestabilan rantau, pemimpin dunia lahir keprihatinan 
Imej satelit yang disediakan oleh Maxar Technologies ini, yang dirakam pada 1 Januari 2025, menunjukkan reaktor nuklear Bushehr yang terletak kira-kira 1,200 kilometer di selatan Tehran. Pada 13 Jun, Israel melancarkan siri serangan udara besar-besaran ke atas Iran, menyasarkan 100 lokasi termasuk tapak nuklear dan ketenteraan di Tehran. Serangan itu turut meragut nyawa Ketua Staf Angkatan Tentera Iran, ketua Pengawal Revolusi Iran serta beberapa saintis nuklear utama negara itu. - Foto AFP

RIYADH: Serangan udara Israel terhadap fasiliti nuklear dan sasaran ketenteraan di Iran terus mencetuskan kebimbangan mendalam di kalangan pemimpin dunia yang menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan risiko ketidakstabilan di Asia Barat.

Arab Saudi, melalui kenyataan rasmi Kementerian Luar, mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel itu. “Kerajaan Arab Saudi menyatakan kecaman dan penentangan tegas terhadap pencerobohan terang-terangan Israel terhadap Republik Islam Iran yang bersaudara. Tindakan ini mencabuli kedaulatan dan keselamatan negara tersebut serta melanggar undang-undang dan norma antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Oman – yang bertindak sebagai perantara dalam rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat – menyifatkan tindakan Israel sebagai “peningkatan berbahaya dan tidak bertanggungjawab”.

“Perbuatan ini merupakan pencabulan nyata terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan prinsip undang-undang antarabangsa. Tindakan agresif yang berterusan ini tidak boleh diterima dan hanya memburukkan lagi keamanan serta kestabilan rantau ini,” kata Kementerian Luar Oman.

Menteri Luar Australia, Cik Penny Wong, turut menyuarakan kebimbangan dan menggesa semua pihak menahan diri daripada tindakan provokatif.

“Situasi ini berisiko menjejas lagi kestabilan rantau yang sudah pun bergolak. Kami menyeru semua pihak mengelakkan sebarang tindakan atau retorik yang boleh memburukkan keadaan,” katanya.

Beliau menambah bahawa ancaman program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran tetap menjadi keprihatinan masyarakat antarabangsa, namun penyelesaian harus melalui dialog dan diplomasi.

Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon, berkata serangan Israel adalah perkembangan yang sangat membimbangkan.

“Wilayah ini tidak memerlukan lebih banyak tindakan ketenteraan dan risiko yang mengiringinya. Semua pihak perlu menahan diri dan mengutamakan keamanan,” katanya.

Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, juga menyuarakan keresahan terhadap laporan serangan tersebut. “Laporan mengenai serangan ini amat membimbangkan dan kami menggesa semua pihak agar bertenang dan segera meredakan ketegangan. Peningkatan seperti ini tidak menguntungkan sesiapa pun di rantau ini,” katanya.

“Keutamaan harus diberikan kepada kestabilan Asia Barat. Kini masanya untuk menahan diri, bertenang dan kembali kepada meja rundingan,” tambah beliau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, melalui jurucakapnya turut mengecam sebarang bentuk peningkatan ketenteraan di rantau tersebut.

“Setiausaha Agung amat bimbang dengan serangan Israel ke atas fasiliti nuklear Iran ketika rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat sedang berlangsung mengenai program nuklear negara itu.

“Beliau menggesa kedua-dua pihak agar menunjukkan tahap kesabaran yang maksimum dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada konflik yang lebih mendalam, sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh rantau ini,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg