RIYADH: Arab Saudi kini berada di persimpangan strategik yang getir dalam percaturan geopolitik Asia Barat, apabila perangnya terhadap Israel diganti dengan dasar berkecuali yang semakin teruji.
Dua perkembangan utama mendasari realiti itu.
Pertama, pendirian berterusan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dengan Iran walaupun selepas serangan Israel; dan kedua, ujian terhadap dasar berkecuali Riyadh dalam konflik antara Israel dengan Iran, terutama ketika tekanan Amerika Syarikat semakin meningkat untuk meneruskan pemulihan hubungan Israel-Arab.
Sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), hampir menamatkan rundingan bersejarah dengan Israel melalui satu perjanjian pemulihan yang akan membuka jalan kepada pakatan keselamatan bersama Amerika dan akses kepada teknologi nuklear awam.
Namun, segalanya berubah selepas serangan Israel yang dianggap MBS sebagai “pembunuhan beramai-ramai” terhadap rakyat Gaza.
Sejak itu, Arab Saudi mempercepat pendamaian dengan Iran – musuh lama yang sebelum ini dilihat sebagai ancaman utama keselamatan serantau.
“Negara Teluk akan terus memperkukuh hubungan dengan Iran.
“Ia dasar yang bijak memandangkan Iran adalah jiran terbesar di seberang Teluk,” kata seorang individu yang arif dengan hala tuju dasar luar Saudi.
Langkah itu diterjemahkan dalam bentuk lawatan rasmi Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, ke Teheran termasuk perbualan telefon dengan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian.
Bahkan ketika ketegangan memuncak pada Jun 2025, Putera Khalid masih meneruskan hubungan dengan ketua angkatan tentera baru Iran, Encik Abdolrahim Mousavi, bagi membincangkan “usaha menjamin kestabilan dan keselamatan rantau”.
Langkah itu menandakan pergeseran besar dalam strategi Riyadh.
Jika dahulu Iran dilihat sebagai penghasut melalui proksi seperti Hezbollah dan Houthi, kini Arab Saudi melihat hubungan dengan Iran sebagai instrumen utama untuk mengelakkan konflik besar-besaran.
Konflik bersenjata antara Israel dengan Iran yang tercetus pada 13 Jun 2025 meletakkan dasar berkecuali Arab Saudi di bawah tekanan maksimum.
Apabila Israel melancarkan serangan ke atas prasarana nuklear Iran, termasuk loji Fordow di bawah tanah, Amerika menyusuli dengan serangan udara menggunakan bom penembus kubu.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera Amerika di Qatar dalam satu serangan yang dianggap simbolik tetapi penuh peringatan.
Serangan itu menimbulkan ketakutan mendalam di Riyadh tentang kemungkinan prasarana pentingnya menjadi sasaran seterusnya jika konflik terus merebak.
“Iran yang kita lihat pada 2025 bukan lagi Iran pada tahun 2022.
“Sebaliknya, Israel yang dilihat menang kini menjadi unsur yang menggugat kestabilan,” Dr Encik Gregory Gause dari Institut Timur Tengah.
Arab Saudi segera mengambil pendirian berkecuali secara terbuka, mengecam tindakan Israel tetapi tidak menyertai sebarang pakatan ketenteraan.
Malah, laporan menyebut Riyadh enggan membenarkan Amerika menggunakan ruang udaranya untuk menyerang Iran – satu tindakan berani yang mencerminkan keazaman Saudi untuk tidak terperangkap dalam konflik dua kuasa besar itu.
Walaupun Presiden Amerika Donald Trump berterusan mempromosikan pemulihan hubungan Arab-Israel sebagai agenda utama dasar luar negaranya, Arab Saudi kelihatan semakin menjauhi idea itu.
Rundingan yang pada asalnya menawarkan perjanjian keselamatan dan akses teknologi kini dilihat berisiko tinggi dari sudut reputasi dan keselamatan.
“Kos reputasi bagi Saudi untuk memulihkan hubungan dengan Israel kini jauh lebih tinggi – dalam negara dan dari segi peranannya sebagai pemimpin dunia Islam,” ujar Zamil Kanan Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Bahrain, Dr Hasan Alhasan.
Putera Mahkota Mohammed bin Salman berulang kali menyatakan bahawa sebarang perjanjian pemulihan mesti bersyarat kepada penubuhan negara Palestin.
Beliau turut bimbang pemandangan kekejaman di Gaza boleh mendorong radikalisasi generasi muda Arab Saudi, yang merupakan kelompok utama dalam projek transformasi ekonomi Visi 2030.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula terus percaya beliau boleh mendapatkan perjanjian tanpa perlu menyelesaikan isu Palestin.
Namun, pendekatan itu sukar diterima oleh Riyadh yang semakin tegas dengan syaratnya.
Terkini, laporan menyebut Arab Saudi hanya akan meneruskan rundingan jika pihak Penguasa Palestin (PA) kembali mentadbir Gaza selepas perang.
Sebaliknya, Arab Saudi kini lebih cenderung kepada strategi mengekalkan kestabilan serantau melalui diplomasi.
Selain memulihkan hubungan dengan Iran, Riyadh juga menggesa pengunduran Amerika daripada konflik bersenjata.
Pada April 2025, Putera Khalid bin Salman, bertemu Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Khamenei, untuk menyampaikan mesej supaya penyelesaian dicapai melalui dialog, bukan peperangan.
Keengganan Arab Saudi untuk membenarkan ruang udaranya digunakan oleh Amerika bertujuan mengelakkan serangan balas seperti yang berlaku ke atas prasarana minyak Abqaiq pada 2019.
Ketika itu, serangan dipercayai dilakukan oleh Iran dan Riyadh tidak mahu kejadian serupa menjejas pelaburan asing atau mengganggu agenda ekonomi negara.
Ketika Israel menyerang Iran, Arab Saudi memilih mengecam dengan nada sederhana.
Malah, kerajaan menyalurkan bantuan kepada jemaah haji Iran di Makkah sebagai isyarat bahawa hubungan kemanusiaan diutamakan walaupun hubungan geopolitik tegang.
Kemungkinan memulihkan hubungan dengan Israel kini menjadi persoalan yang jauh lebih kompleks.
Meskipun perjanjian keselamatan dengan Amerika dan akses kepada senjata canggih kekal sebagai tawaran menarik, Riyadh semakin menyedari pendekatan diplomatik dengan Iran menawarkan perlindungan lebih berkesan.
Perjanjian pertahanan semata-mata tidak mampu menjamin keselamatan sekiranya hubungan dengan Teheran terus renggang dan dipenuhi ketegangan.
Tambahan pula, usaha rundingan nuklear turut terbantut.
Amerika menolak uranium diperkaya di Iran, dan prinsip yang sama mungkin dikenakan terhadap Arab Saudi.
Hasrat Riyadh membangunkan program nuklear awam turut terhenti buat sementara waktu.
“Saudi tidak di bawah tekanan masa seperti Trump,” jelas Dr Hasan.
“Mereka cukup selesa dengan kedudukan geopolitik sekarang untuk tidak dipaksa membuat keputusan yang tidak sesuai dengan kepentingan jangka panjang mereka,” tambah beliau.
Dalam menghadapi kemelut Israel-Iran, Arab Saudi memilih jalan berkecuali yang berhati-hati tetapi strategik.
Dasar itu bukan sahaja melindungi keselamatan wilayahnya, malah memastikan kejayaan pelan Visi 2030 yang menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan kestabilan jangka panjang.
Namun, cabaran akan terus wujud.
Jika perang meletus semula atau Amerika menekan Riyadh menyertai Perjanjian Abraham tanpa penyelesaian adil untuk Palestin, Arab Saudi bakal berada dalam dilema.
“Kami percaya kestabilan hanya boleh dicapai jika setiap negara dihormati dan setiap rakyat mendapat haknya.
“Dan itulah prinsip yang kami pegang, bukan semata-mata demi pakatan,” kata seorang pegawai kanan Saudi dalam sidang media. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg