Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Makkah berdepan banjir kilat

Nov 14, 2025 | 10:38 AM
flood, makkah, banjir kilat
Hujan lebat mengubah jalan-jalan di Makkah menjadi ‘sungai deras’, memaksa kenderaan meredah air yang melimpah dengan arus kuat ketika ribut melanda kawasan selatan kota suci itu. - Foto X@TOP_DISASTER

MAKKAH: Hujan lebat yang melanda beberapa bahagian wilayah Makkah pada 12 November, menyebabkan banjir kilat, jalan digenangi air dan gangguan trafik, khususnya di kawasan selatan.

Namun, pusat bandar Makkah termasuk kawasan sekitar Masjidil Haram hanya mengalami angin kencang dan langit mendung tanpa hujan.

Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi mengeluarkan amaran merah bagi beberapa kawasan, memberi amaran mengenai hujan lebat, ribut petir, hujan batu dan potensi banjir kilat sehingga lewat malam.

Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan kenderaan meredah jalan yang sudah bertukar menjadi aliran air deras, terutama di daerah seperti Difa‘q yang dilanda ribut kuat untuk hari kedua berturut-turut.

“Air hujan mencurah tanpa henti dan mengalir deras di jalan-jalan utama,” kata seorang penduduk dalam video tular, menggambarkan situasi cemas ketika kereta dan trak cuba mengharungi limpahan air.

Rakaman lain menunjukkan pemandu terpaksa memberanikan diri meredah banjir yang disifatkan “seperti banjir besar zaman dahulu” oleh netizen.

Jurucakap NCM, Encik Hussein Al-Qahtani, dalam satu kenyataan di platform X berkata bahawa “dengan izin Allah, kebanyakan wilayah akan mengalami hujan sederhana hingga lebat bermula Jumaat, 14 November hingga Isnin, 17 November.”

Menurut ramalan NCM, hujan dijangka melanda hampir seluruh wilayah Arab Saudi termasuk Makkah, Madinah, Riyadh, Asir, Al-Baha, Jazan, Qassim, Hail, Tabuk, Al-Jouf, Wilayah Sempadan Utara serta sebahagian kawasan Timur Arab Saudi .

Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai angin kencang secara mendadak, hujan batu, ombak tinggi dan risiko banjir kilat di kawasan tersebut.

Pusat Krisis dan Pengurusan Bencana Amiriah Makkah dalam satu kenyataan berkata: “Hujan dari intensiti ringan hingga lebat dijangka bermula Jumaat hingga Isnin (14 November hingga 17 November).

Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti makluman rasmi.”

Beberapa kawasan turut mencatatkan kelajuan angin sehingga 50 kilometer sejam pada malam 12 November manakala ketinggian ombak dilaporkan mencecah 2.5 meter.

Ribut hujan batu dijangka berlaku di beberapa kawasan, disertai angin kencang susulan hujan lebat yang melanda.

Kejadian ini berlaku selepas hujan lebat pada 2024 yang menenggelamkan sebahagian Timur Tengah.

Di Arab Saudi, jalan raya bertukar menjadi “sungai deras”, menyebabkan kereta dihanyutkan dan memaksa penduduk meninggalkan kenderaan mereka demi keselamatan.

Di Qassim, paras air naik sehingga ke paras lutut, memaksa ramai penduduk berlindung di dalam rumah. “Hujan tidak berhenti. Jalan jadi seperti arus deras,” kata seorang penduduk yang ditemu bual AFP.

Ribut petir turut kedengaran di banyak wilayah.

“Petir menyambar seperti lampu yang menerangi seluruh bandar,” kata seorang lagi penduduk.

Pemandu yang melalui lebuh raya antara Makkah, Jeddah dan Taif turut diberi amaran mengenai jarak penglihatan rendah dan permukaan jalan licin.

Fenomena cuaca tidak menentu itu turut memberi kesan kepada beberapa negara sekitar lain seperti Mesir, Iraq, Jordan, Syria, Lebanon, Palestin dan Kuwait, dengan potensi hujan lebat dan banjir di kawasan lembah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg