GAZA: Pengarah Hospital Indonesia di Gaza, Dr Marwan Al-Sultan, dilaporkan terbunuh bersama empat anggota keluarganya – isteri dan tiga anaknya – dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman mereka di kawasan Tal al-Hawa, barat daya Bandar Gaza pada 2 Julai.
Demikian menurut kenyataan pertubuhan kemanusiaan Indonesia, Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C).
“Pasukan tempatan kami di Gaza mengesahkan kematian Dr Marwan bersama beberapa anggota keluarganya selepas kediaman mereka dibedil,” kata MER-C, sebuah NGO berpangkalan di Jakarta yang mengendalikan operasi hospital tersebut sejak 2016.
Kementerian Kesihatan Gaza kendalian Hamas turut mengesahkan perkara itu dan menyifatkan pembunuhan Dr Marwan sebagai “jenayah kejam terhadap tenaga perubatan kami”.
Dr Marwan merupakan seorang tokoh perubatan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi meskipun berada dalam zon konflik.
“Beliau menjadi simbol ketabahan dan keikhlasan dalam keadaan paling sukar yang dihadapi rakyat Gaza sejak sekian lama,” ujar kementerian itu.
Kementerian Kesihatan Gaza turut mengesahkan Hospital Indonesia yang sebelum ini menjadi pusat rawatan trauma penting, kini diisytiharkan tidak lagi beroperasi setelah mengalami kerosakan teruk akibat serangan berulang tentera Israel.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tiada lagi hospital berfungsi di kawasan utara Gaza.
Israel sebelum ini mendakwa mereka menyasarkan “prasarana pengganas” di sekitar hospital, dan dalam kenyataannya, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata mereka sedang menyemak dakwaan kematian orang awam.
“Kami kesal atas sebarang kemudaratan terhadap individu yang tidak terlibat dan sedang berusaha mengurangkan risiko tersebut,” kata IDF.
Anak perempuan Dr Marwan, Dr Lubna al-Sultan, menafikan ayahnya terlibat dengan mana-mana pergerakan militan.
“Peluru berpandu F-16 itu mengenai tepat pada bilik ayah saya. Hanya bilik itu musnah, seluruh rumah masih utuh. Ayah saya hanya seorang doktor yang risaukan pesakitnya sepanjang peperangan ini,” katanya.
Indonesia segera mengecam serangan tersebut dan mengulangi gesaannya agar gencatan senjata segera dilaksanakan serta menamatkan apa yang disifatkan sebagai “kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin”.
“Indonesia merakamkan ucapan takziah atas pemergian Dr Marwan Al-Sultan, Pengarah Hospital Indonesia di Gaza, bersama anggota keluarganya yang terkorban pada 2 Julai.
“Kami turut mengecam serangan yang dilakukan oleh Israel,” ujar kenyataan yang dimuat naik oleh Kementerian Luar Negeri Indonesia di media sosial pada pagi 3 Julai.
“Indonesia menghargai jasa, komitmen dan perjuangan beliau (Dr Marwan) dalam menegakkan nilai kemanusiaan dan kedamaian di Palestin,” tambah kenyataan tersebut.
Dalam kejadian berasingan, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh termasuk kanak-kanak apabila sebuah khemah yang menempatkan pelarian di kawasan al-Mawasi di Khan Younis, yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon selamat oleh tentera Israel, turut menjadi sasaran serangan udara.
“Mereka datang ke sini kerana menyangka ia zon selamat, tetapi akhirnya dibunuh. Apakah kesalahan mereka?” soal anggota keluarga mangsa, Cik Maha Abu Rizq.
Rakaman agensi berita, AFP, menunjukkan suasana panik di Hospital Nasser apabila mangsa dibawa masuk dalam keadaan berlumuran darah.
Dalam suasana hiba, wanita-wanita dilihat menangisi jasad anggota keluarga mereka yang terbunuh.
“Sesiapa sahaja, tanpa mengira agama, perlu bangkit dan berkata: Cukup! Hentikan perang ini!” kata Encik Ekram al-Akhras, yang kehilangan beberapa sepupunya dalam serangan itu.
Di tempat lain di Bandar Gaza empat anggota keluarga Encik Ahmed Ayyad Zeno, isterinya Ayat, serta dua anak mereka Zahra dan Obaida turut maut selepas rumah mereka dibedil, lapor agensi berita Palestin, Wafa.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 139 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam sebelum tengah hari 2 Julai.
Di sebalik gelombang haba melebihi 30°C, ribuan pelarian yang tinggal di khemah tanpa bekalan elektrik dan air bersih berdepan penderitaan berpanjangan.
“Anak-anak saya menangis sepanjang hari kerana panas. Mereka hanya lena sekejap selepas matahari terbenam,” kata Cik Reda Abu Hadayed. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg