WASHINGTON: Sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat menzahirkan kebimbangan terhadap pendekatan ekonomi Presiden Donald Trump, yang disifatkan sebagai terlalu tidak menentu dan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.
Ini susulan pengenaan tarif ke atas beberapa rakan dagang utama termasuk Canada, Mexico, dan China, yang telah menggoncang pasaran saham dan menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur serta pengguna.
Menurut satu tinjauan oleh Reuters/Ipsos yang dijalankan selama dua hari pada 3 dan 4 Mac, 57 peratus daripada 1,422 responden menyatakan bahawa dasar ekonomi Trump adalah “tidak stabil”, termasuk satu daripada tiga pengundi Parti Republikan sendiri.
Langkah mengejut Trump untuk mengenakan tarif tambahan ke atas logam dari Canada dan alat ganti automotif dari Mexico telah menyebabkan kejatuhan mendadak di Wall Street. Indeks S&P 500 dilaporkan kehilangan lebih AS$3 trilion ($4 trilion) nilai pasaran sejak mencapai paras tertinggi bulan Februari.
“Pasaran akan naik dan turun. Kita perlu membina semula negara ini,” kata Encik Trump dalam sidang media di Rumah Putih, 10 Mac lalu, ketika ditanya mengenai kesan tarif terhadap pasaran saham.
Kenyataan itu bertentangan dengan pendiriannya semasa penggal pertama sebagai presiden. Pada Mac 2017, Encik Trump pernah berbangga dengan lonjakan indeks Dow Jones kepada 21,000 mata buat pertama kali, dan menyifatkannya sebagai petunjuk kejayaan ekonominya.
Kini, ramai rakyat Amerika bimbang dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Hanya 32 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Trump dalam menangani isu harga barang keperluan.
Majoriti responden (70 peratus), termasuk 90 peratus pengundi Demokrat dan 60 peratus pengundi Republikan, percaya tarif tambahan akan meningkatkan harga barangan harian seperti makanan dan keperluan asas lain.
“Orang yang bergantung kepada akaun persaraan memerhati pasaran setiap hari. Jadi saya fikir beliau (Trump) perlu lebih prihatin terhadap perkara ini,” kata Senator Republikan Shelley Moore Capito dari West Virginia.
Senator Demokrat Richard Blumenthal pula mengulas: “Kejatuhan pasaran saham mungkin tidak memberi kesan kepada beliau kerana dia seorang bilionair. Tapi bagi rakyat biasa yang melabur untuk masa depan mereka, ini sesuatu yang sangat membimbangkan.”
Firma kewangan JP Morgan menganggarkan risiko kemelesetan di Amerika meningkat kepada 40 peratus tahun 2025 ini, dan memberi amaran bahawa kemungkinan lebih tinggi akan berlaku sekiranya Trump meneruskan gelombang tarif baru yang dijadualkan pada April.
Setakat ini, Rumah Putih telah meningkatkan cukai ke atas pelbagai barangan buatan China serta menaikkan tarif ke atas alat ganti jentera, bahan binaan dan komponen automotif dari Canada dan Mexico. Tindakan itu mendorong Canada dan Kesatuan Eropah untuk mengumumkan balas tindakan perdagangan terhadap produk Amerika.
Seorang jurucakap Rumah Putih mempertahankan dasar Trump, sambil berkata:
“Prestasi pasaran saham hanyalah gambaran sementara. Kami yakin dasar ekonomi presiden akan membawa manfaat kepada Wall Street dan Main Street, seperti yang berlaku dalam penggal pertamanya.”
Walaupun menerima kritikan yang semakin meluas, Trump masih menerima sokongan kukuh daripada sebahagian besar pengundi Republikan. Sejumlah 80 peratus pengundi Republikan dalam tinjauan itu percaya bahawa langkah ekonomi Trump “akan membuahkan hasil dalam jangka panjang”, walaupun hanya 41 peratus responden secara keseluruhan – dan hanya 5 peratus Demokrat – bersetuju.
Senator Republikan Roger Marshall berkata: “Pasaran bukanlah segala-galanya. Kita juga perlu menurunkan kadar faedah dan membawa semula pekerjaan pembuatan ke negara ini. Ini isu yang kompleks.”
Namun, kumpulan seperti Americans for Responsible Growth, yang mewakili bendahari negeri daripada Parti Demokrat, menyifatkan pendekatan Trump sebagai “tidak konsisten dan merosakkan keyakinan pelabur”.
Pengarah Eksekutif kumpulan itu, Dave Wallack, berkata: “Apa yang pada awalnya disangka sebagai penyelesaian pantas oleh Trump kini berubah menjadi kekacauan yang menyebabkan harga barang meningkat, pilihan pengguna berkurangan, dan ketidaktentuan yang memberi kesan besar kepada pengguna serta perniagaan di seluruh negara.” - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg