AMMAN: Selama lebih empat dekad, rangkaian pangkalan tentera Amerika Syarikat di Teluk menjadi antara tonggak utama strategi keselamatan Washington di Timur Tengah.

Kehadiran puluhan ribu askar Amerika bertujuan mencegah ancaman terhadap sekutu, membolehkan Washington bertindak pantas ketika berlaku krisis dan pada masa yang sama memberi jaminan keselamatan kepada negara Teluk.

Perang Amerika dan Israel dengan Iran yang bermula pada 28 Februari lalu, bagaimanapun, mencabar asas strategi itu.

Serangan balas Iran terhadap pangkalan dan aset tentera Amerika menunjukkan bahawa kemudahan yang selama ini dianggap sebagai perisai keselamatan juga boleh menjadikan negara yang menempatkannya sasaran apabila konflik tercetus.

Persoalan kini bukan sekadar sama ada Amerika akan mengurangkan jumlah tenteranya, tetapi sama ada model keselamatan yang dibina Washington di Teluk sejak beberapa dekad lalu masih sesuai dalam era peluru berpandu dan dron.

Di tengah-tengah ketegangan Amerika-Iran yang meruncing dan sekatan ekonomi terhadap Teheran yang kian ketat, Pentagon dilaporkan sedang menilai semula kehadiran tenteranya di Timur Tengah ekoran rundingan yang kini menemui jalan buntu.

Antara pilihan yang dipertimbangkan ialah mengecilkan jumlah pasukan, menempatkan tentera dan aset di lebih banyak lokasi supaya tidak tertumpu di beberapa pangkalan besar, atau memindahkan sebahagian ke kawasan lebih jauh.

Amerika kini mempunyai kira-kira 50,000 anggota tentera di hampir 20 lokasi di dalam dan sekitar Teluk.

Antara kemudahan utamanya ialah Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar; pangkalan tentera laut di Bahrain; Camp Arifjan dan Camp Buehring di Kuwait; Pangkalan Udara Al Dhafra di Amiriah Arab Bersatu (UAE); dan Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi.

Perang dengan Iran dedahkan kelemahan rangkaian

Walaupun dianggarkan antara 80 dengan 90 peratus serangan berjaya dipintas, Iran dilaporkan merosakkan sekurang-kurangnya 15 kemudahan tentera Amerika.

Ia termasuk sistem radar dan amaran awal di Al Udeid, ibu pejabat tentera laut, gudang serta prasarana komunikasi di Bahrain, selain pesawat dan kemudahan logistik serta sokongan di Kuwait.

Jaminan keselamatan dipersoal

Serangan itu menimbulkan dilema kepada negara Teluk.

Di satu pihak, kehadiran Amerika gagal menghalang Iran daripada menyerang wilayah mereka.

Malah, menempatkan tentera Amerika menyebabkan negara berkenaan turut menjadi sasaran tindak balas Teheran.

Di pihak lain, sistem pertahanan udara bersepadu yang dibangunkan dengan sokongan Amerika dipercayai menghalang jumlah korban dan kerosakan yang jauh lebih besar.

Zamil Kanan, Institut Keselamatan dan Pertahanan Rabdan, di Abu Dhabi, Dr Kristian Alexander, berkata serangan balas Iran menunjukkan keterbatasan model pencegahan tradisional, tetapi kehadiran tentera Amerika berhampiran kawasan konflik masih mempunyai nilai ketenteraan yang besar.

Menurutnya, strategi pencegahan kini perlu dilengkapi dengan penempatan aset secara lebih meluas, prasarana yang lebih kukuh, pertahanan peluru berpandu dan dron berlapis serta sistem sokongan yang tidak bergantung kepada satu kemudahan sahaja.

Pada masa yang sama, perlu ada persefahaman politik yang lebih jelas mengenai bilakah dan bagaimanakah tentera Amerika akan mempertahankan negara yang menempatkan pasukannya.

Sebarang pengunduran besar akan membawa implikasi lebih luas.

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, kehadiran tentera Amerika di Teluk berkembang secara bertahap-tahap sebelum menjadi lebih tersusun selepas Perang Teluk 1990-1991.

Washington kemudian memperkukuh kerjasama pertahanan, rangkaian logistik dan penempatan awal peralatan ketenteraan supaya dapat bertindak pantas ketika krisis.

Justeru, pengurangan besar pangkalan Amerika boleh ditafsirkan sebagai tanda Washington semakin kurang komited terhadap keselamatan rantau itu.

Tanggapan itu turut diperkuat Strategi Keselamatan Nasional, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang diterbitkan pada Disember 2025.

Ia menyatakan Timur Tengah bukan lagi keutamaan strategik utama Washington.

Zamil Bersekutu, Institut Timur Tengah, Dr F. Gregory Gause III, berkata kerajaan Kuwait, Qatar dan Bahrain sejak sekian lama melihat pangkalan Amerika sebagai bukti komitmen Washington terhadap pertahanan mereka.

Jika pangkalan itu ditutup, negara Teluk mungkin terpaksa menilai semula hubungan dengan Iran dan menjadi lebih berhati-hati dalam mengambil pendirian yang boleh mencetuskan tindak balas Teheran.

Teluk cari pilihan lain

Negara Teluk pada masa sama sedang berusaha mencapai autonomi strategik lebih besar.

Antaranya ialah memperkukuh Markas Tentera Bersatu Majlis Kerjasama Teluk (GCC), membangunkan sistem amaran awal bersama dan meningkatkan latihan ketenteraan.

Mereka turut mempelbagaikan pembelian senjata dari Turkey, Eropah, Pakistan, Korea Selatan dan China, selain membina kerjasama pertahanan baharu.

Namun, langkah itu belum mampu menggantikan Amerika dalam masa terdekat kerana tentera negara Teluk masih banyak bergantung kepada sistem persenjataan, latihan dan prasarana Amerika.

Zamil Bersekutu, Chatham House, Encik Ahmed Aboudouh, berpendapat pengurangan kehadiran Amerika mungkin hanya bersifat sementara.

Satu kemungkinan ialah Washington beralih kepada model seperti yang digunakan bersama sekutu Eropah – tidak semestinya mengekalkan pangkalan besar secara tetap, sebaliknya mempunyai perjanjian yang membolehkan tentera Amerika dikerah apabila diminta negara berkenaan.

Kerjasama industri pertahanan, perkongsian risikan dan penyelarasan operasi boleh diteruskan tanpa memerlukan jumlah tentera Amerika yang besar ditempatkan secara tetap.

Ketua Program yang juga Penganalisis Kanan, New Lines Institute for Strategy and Policy, Dr Dania Arayssi, menjangkakan pelaburan Amerika dalam pangkalan di Teluk akan berkurangan apabila negara rantau itu menjadi lebih berdikari dalam bidang keselamatan.

Washington, katanya, mungkin berubah daripada bertindak sebagai penjamin keselamatan kepada rakan pertahanan yang memberi tumpuan kepada latihan, pembangunan keupayaan tentera dan kerjasama strategik.

Pada masa yang sama, negara Teluk mungkin cuba mencapai persefahaman keselamatan dengan Iran bagi mengurangkan risiko konflik.

China berpotensi membantu rundingan serantau seperti ketika Beijing menjadi perantara pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran pada 2023, manakala Pakistan, Oman, Iraq atau Qatar juga boleh memainkan peranan.

Namun, Dr Arayssi berpendapat kepercayaan beberapa negara Teluk terhadap Teheran telah terjejas teruk akibat perang, khususnya Arab Saudi dan UAE.

Amerika masih sukar diganti

Membentuk aturan keselamatan Teluk tanpa pergantungan besar kepada Amerika bukan sesuatu yang mudah.

Pertahanan negara Teluk masih berpecah dan tiada kuasa lain ketika ini mempunyai gabungan kemampuan yang sama seperti Washington.

“Tiada pihak lain ketika ini menawarkan gabungan risikan, logistik, kekuatan maritim, kuasa udara, sistem perintah dan kawalan serta kemampuan mengerahkan pasukan ke seluruh dunia seperti yang disediakan Washington,” kata Dr Alexander.

Membangunkan kemampuan tempatan atau membentuk kerjasama alternatif untuk mengisi kekosongan itu pula memerlukan masa yang panjang.

Pengurangan kehadiran Amerika juga boleh mengubah imbangan kuasa lebih luas di Timur Tengah.

Israel mungkin mengambil pendekatan lebih tegas, manakala negara lain meningkatkan kerjasama pertahanan sebagai langkah mengimbanginya.

Ketegangan Turkey-Israel, terutama berkaitan Syria, sudah menunjukkan bagaimana perubahan imbangan kuasa boleh mencetuskan persaingan baharu.

Bagi Iran pula, tindak balas negara Teluk akan banyak bergantung kepada sejauh manakah mereka yakin Washington masih bersedia mempertahankan mereka.

Jika jaminan Amerika kekal kukuh, negara Teluk mempunyai lebih banyak ruang untuk bertegas terhadap Teheran.

Jika keyakinan itu merosot, mereka mungkin terdorong untuk lebih bertolak ansur bagi mengelakkan konflik.

Justeru, masa depan kehadiran tentera Amerika mungkin bukan pengunduran sepenuhnya, tetapi perubahan daripada beberapa pangkalan besar kepada rangkaian kemudahan lebih kecil dan tersebar.

Model itu boleh melibatkan pengerahan tentera secara bergilir, penyimpanan awal senjata dan peralatan, penggunaan bersama kemudahan tempatan serta kekuatan tentera laut dan sistem pertahanan udara bersepadu.

Matlamatnya adalah mengekalkan kemampuan Amerika untuk bertindak, mencegah ancaman dan bekerjasama dengan sekutunya tanpa menumpukan terlalu banyak anggota serta aset di lokasi yang mudah menjadi sasaran.

Seperti dirumuskan Dr Alexander, ukuran masa depan pengaruh Amerika di Teluk mungkin bukan lagi berapa banyak pangkalan atau askar yang dimilikinya.

Sebaliknya, persoalan lebih penting adalah sejauh manakah Washington masih mempunyai akses, kemampuan mencegah ancaman dan pengaruh politik di rantau itu.

Dalam erti kata lain, kehadiran fizikal Amerika di Teluk mungkin menjadi lebih kecil tetapi hubungan pertahanannya dengan negara rantau itu boleh menjadi lebih mendalam dan bersepadu. – Agensi berita.

Tiada pihak lain ketika ini menawarkan gabungan risikan, logistik, kekuatan maritim, kuasa udara, sistem perintah dan kawalan serta kemampuan mengerahkan pasukan ke seluruh dunia seperti yang disediakan Washington.
Dr Kristian Alexander, Zamil Kanan, Institut Keselamatan dan Pertahanan Rabdan, di Abu Dhabi.