KHARTOUM (Sudan): Lebih tiga tahun perang melanda Sudan, puluhan ribu nyawa terkorban manakala jutaan penduduk hilang tempat tinggal.

Di sebalik kemusnahan itu, muncul satu lagi krisis kemanusiaan yang membimbangkan – puluhan ribu wanita kini bergelar balu dan terpaksa membesarkan anak bersendirian.

Bagi wanita ini, kehilangan suami bukan sekadar membawa kesedihan, malah, turut menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan, tempat perlindungan dan sokongan keluarga.

Keadaan bertambah buruk apabila kos sara hidup terus meningkat, peluang pekerjaan semakin terhad dan bantuan kemanusiaan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan harian.

Kisah Cik Arafa Abdelaziz, 33 tahun, menggambarkan penderitaan yang terpaksa ditanggung wanita Sudan sejak pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dengan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) tercetus pada April 2023.

Suaminya terbunuh beberapa hari selepas peperangan bermula, manakala anak lelakinya yang berusia lapan tahun maut terkena peluru sesat lima bulan kemudian ketika bermain bersama rakan berhampiran rumah mereka di Omdurman, wilayah Khartoum.

“Anak saya sedang bermain di luar rumah apabila saya terdengar bunyi letupan kuat. Apabila keluar, saya mendapati kepalanya hancur terkena tembakan,” katanya.

Kehilangan dua insan tersayang itu memaksanya melarikan diri bersama anak lelakinya yang masih kecil dan mengalami masalah perkembangan otak.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Namun, perjalanan selama 15 hari menuju ke Port Sudan pada penghujung 2023 menjadi satu lagi pengalaman yang meninggalkan trauma mendalam.

Ketika melalui kawasan Jebel Aulia, selatan Khartoum, kenderaan yang Cik Arafa naiki ditahan anggota RSF.

Penumpang dirompak dan dipukul, manakala wanita turut diugut serta menjadi mangsa keganasan seksual.

“Mereka bertanya kepada setiap wanita yang membawa anak bagaimana mereka mahu anak mereka dibunuh. Saya memberitahu mereka supaya bunuh saya dahulu sebelum menyentuh anak saya,” katanya.

Cik Arafa dipukul menggunakan belakang senapang sehingga tidak sedarkan diri lebih sejam.

Apabila tersedar, beliau menyaksikan beberapa wanita muda yang menaiki bas sama dirogol anggota bersenjata.

Menurut laporan Wanita PBB pada Oktober 2026, seramai 12.7 juta penduduk Sudan, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak perempuan, memerlukan bantuan berkaitan keganasan berasaskan jantina.

Jumlah itu empat kali lebih tinggi berbanding sebelum peperangan.

Agensi tersebut memberi amaran bahawa keganasan seksual digunakan sebagai senjata perang, dengan wanita terus terdedah kepada ancaman ketika melarikan diri, mencari makanan atau mendapatkan tempat perlindungan.

Walaupun berjaya tiba di Port Sudan, kehidupan Cik Arafa masih jauh daripada selamat dan stabil.

Tanpa saudara-mara atau kenalan, beliau mendapatkan perlindungan di sebuah sekolah sebelum dipindahkan ke kem pelarian.

Anaknya yang berusia enam tahun mengalami masalah kesihatan yang memerlukan rawatan dan ubat secara berterusan.

Namun, kemiskinan menyebabkan beliau hanya mampu memberikan ubat apabila keadaan anaknya semakin teruk.

“Saya takut meninggalkannya bersendirian kerana bimbang dia mengalami sawan atau mencederakan dirinya,” katanya.

Keadaan itu turut menyukarkan Cik Arafa mencari pekerjaan kerana perlu menjaga anaknya sepanjang masa.

Pengalaman beliau mencerminkan masalah lebih besar yang dihadapi ribuan wanita Sudan apabila kehilangan suami menyebabkan mereka terpaksa memikul tanggungjawab sebagai penjaga dan pencari nafkah keluarga.

Peperangan Sudan dianggarkan mengorbankan sehingga 150,000 orang, selain menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Menurut PBB, tahap pendapatan negara itu merosot ke paras yang pernah dicatatkan pada 1992, manakala kadar kemiskinan tegar kini lebih buruk berbanding 1980-an.

Laporan PBB mengenai keadaan wanita pada 2025 mendapati 75 peratus isi rumah yang diketuai wanita menghadapi masalah mendapatkan makanan mencukupi.

Kadar itu tiga kali lebih tinggi berbanding keluarga yang diketuai lelaki.

Sementara itu, badan pemantau, Mashad Observatory, merekodkan 72,202 kes wanita kehilangan suami sejak peperangan bermula pada April 2023.

Pertubuhan itu memberi amaran bahawa peningkatan jumlah balu boleh membawa kesan ekonomi dan sosial yang berpanjangan.

Kehilangan sumber pendapatan keluarga bukan sahaja meningkatkan kemiskinan, malah menyebabkan kanak-kanak berisiko tercicir daripada pendidikan, sementara wanita terdedah kepada eksploitasi ekonomi dan keganasan.

Dalam jangka panjang, keadaan tersebut boleh menyebabkan kemiskinan dan trauma diwarisi generasi seterusnya.

Krisis itu diburukkan lagi oleh kekurangan dana kemanusiaan.

Pelan bantuan Sudan bagi 2026 memerlukan AS$2.9 bilion ($3.74 bilion) untuk membantu 20.4 juta penduduk, tetapi hanya menerima 47 peratus daripada jumlah yang diperlukan.

Kekurangan dana menyukarkan pertubuhan bantuan menyediakan makanan, rawatan kesihatan, pendidikan dan perlindungan kepada keluarga yang kehilangan pencari nafkah.

Mashad Observatory menegaskan bahawa bantuan kecemasan sahaja tidak mencukupi.

Menurut pertubuhan itu, Sudan memerlukan strategi pemulihan jangka panjang yang memberikan keutamaan kepada balu dan keluarga yang diketuai wanita.

Antara langkah diperlukan termasuk bantuan kewangan berterusan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, pendidikan, rawatan kesihatan dan sokongan psikologi.

Tanpa langkah tersebut, wanita yang kehilangan suami berisiko terus bergantung kepada bantuan kemanusiaan selama bertahun-tahun.

Seorang lagi wanita, Cik Zahra Idris, 39 tahun, kehilangan suami akibat penyakit jantung September lalu selepas keluarganya melarikan diri dari Khartoum ke Port Sudan.

Beliau kini menjaga dua anak, termasuk seorang anak lelaki berusia 12 tahun yang mengalami masalah pembelajaran dan memerlukan rawatan berkala.

Selepas tidak mampu membayar sewa rumah, keluarganya terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sebelum ditempatkan di kem pelarian.

Sejak kematian suaminya, Cik Zahra semakin bimbang tentang masa depan anak-anaknya.

Beliau juga belum dapat keluar mencari pekerjaan kerana masih menjalani tempoh berkabung menurut Islam selama empat bulan 10 hari.

Keadaan itu menyebabkan keluarganya terus bergantung kepada bantuan yang semakin terhad.

Bagi Sudan, penderitaan wanita seperti Cik Arafa dan Cik Zahra memperlihatkan bahawa kesan peperangan tidak akan berakhir hanya dengan terhentinya pertempuran.

Pemulihan negara turut bergantung pada kemampuan menyediakan perlindungan, pekerjaan dan pendidikan kepada keluarga yang kehilangan tempat bergantung.

Tanpa sokongan berterusan, generasi kanak-kanak Sudan berisiko membesar dalam kemiskinan, trauma dan kehilangan peluang pendidikan.

Bagi Cik Zahra, keutamaannya bukan kehidupan mewah, tetapi peluang untuk anaknya mendapatkan rawatan dan pendidikan yang sewajarnya.

“Saya tidak mempunyai sesiapa untuk membantu. Saya hanya mahu keadaan anak saya bertambah baik supaya dia boleh belajar di sekolah untuk kanak-kanak kurang upaya,” katanya. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti