WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan beliau akan membuat keputusan dalam tempoh dua minggu sama ada untuk melancarkan serangan ke atas Iran.
Ia sekali gus membuka kemungkinan kepada rundingan semula mengenai program nuklear republik Islam itu.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Rumah Putih pada 19 Jun, Encik Trump berkata terdapat “peluang besar bagi rundingan yang mungkin berlaku atau tidak, dengan Iran dalam masa terdekat”.
Pengumuman itu menandakan perubahan nada selepas beberapa hari sebelumnya Encik Trump menyuarakan kemungkinan melancarkan serangan ke atas tapak nuklear Iran, walaupun dalam masa yang sama menegaskan bahawa pintu rundingan masih terbuka.
Langkah itu dilihat sebagai strategi yang memberi ruang kepada pelbagai pilihan – sama ada diplomatik, ketenteraan mahupun operasi rahsia – selepas seminggu serangan agresif oleh Israel terhadap sasaran Iran.
Iran sebelum ini menarik diri daripada rundingan bersama Amerika selepas Israel memulakan serangan ketenteraan pada minggu lalu.
Kini, keputusan Encik Trump untuk menangguhkan tindakan ketenteraan memberi masa kepada Washington untuk menilai sama ada tekanan ketenteraan yang dikenakan oleh Israel telah mempengaruhi pendirian Teheran mengenai rundingan nuklear.
Pada hari ketujuh konflik, tentera Israel melancarkan gelombang serangan baru yang menyasarkan wilayah utara Iran, termasuk kawasan industri di Sefid-Rud serta letupan besar dilaporkan di bandar Rasht dan kawasan pedalaman Lavizan, di utara Teheran.
Serangan itu menandakan peluasan geografi sasaran Israel.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan pada 19 Jun berkata negaranya “mampu mencapai semua matlamat secara bersendirian,” termasuk memusnahkan kemudahan nuklear Iran.
Bagaimanapun, beliau turut mengalu-alukan bantuan dari mana-mana negara, termasuk Amerika.
“Kami sedang mengubah wajah Timur Tengah, dan kini saya katakan kami mengubah wajah dunia,” kata Encik Netanyahu dalam wawancara bersama penyiar awam Israel, Kan.
Beliau menegaskan bahawa lebih separuh daripada pelancar peluru berpandu Iran telah dimusnahkan dan Israel “mampu menyerang semua kemudahan nuklear Iran”.
Bagaimanapun, Encik Netanyahu enggan memberikan jangka masa berakhirnya perang, sambil menambah: “Saya tidak akan memberitahu mereka (Iran) apa yang sedang kami rancang.”
Dalam perkembangan berkaitan, negara Eropah akan mengadakan pertemuan dengan wakil Iran di Geneva pada 20 Jun.
Dalam rundingan itu, mereka dijangka menggesa Teheran agar kembali ke meja perundingan.
Menteri Luar Britain, Encik David Lammy, yang akan menghadiri mesyuarat tersebut berkata: “Keadaan kini masih berbahaya, tetapi terdapat jendela dalam dua minggu akan datang untuk penyelesaian diplomatik.”
Encik Lammy berkata demikian selepas bertemu Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dan utusan khas Encik Trump ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, di Rumah Putih.
Encik Trump dalam kenyataan susulannya turut menekankan bahawa keputusan mengenai tindakan ketenteraan akan bergantung kepada kemungkinan berlakunya rundingan semula.
Kenyataan itu dilihat sebagai tindak balas kepada gesaan Encik Netanyahu serta tekanan dari dalam pentadbirannya yang ingin mengelak peperangan penuh dengan Iran.
Menurut penilaian agensi risikan Amerika, Iran belum membuat keputusan muktamad untuk membina senjata nuklear, walaupun ia telah mengumpulkan stok uranium yang banyak dan diperkaya.
Namun, penganalisis percaya Iran mungkin akan membuat keputusan ke arah itu jika Amerika menyerang tapak pengayaan uranium di Fordo, atau sekiranya pemimpin agung Iran terbunuh dalam serangan Israel.
Dalam satu kejadian pada 19 Jun, peluru berpandu Iran telah mengenai Pusat Perubatan Soroka di Beersheba, selatan Israel.
Walaupun kebanyakan bangunan hospital telah dikosongkan terlebih dahulu, beberapa pesakit mengalami cedera ringan.
Iran menyatakan serangan itu disasarkan ke arah pangkalan tentera berdekatan dan bukannya hospital.
Walaupun sistem pertahanan udara Israel dianggap antara yang terbaik di dunia, konflik yang berlarutan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai keselamatan Israel.
Menurut sumber dalam pemerintah, kadar penggunaan peluru pemintas jauh melebihi kadar pengeluaran semasa.
Ini menimbulkan persoalan sama ada Israel akan kehabisan peluru pemintas sebelum Iran kehabisan peluru berpandu balistiknya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg