Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbankan Palestin dijangka lumpuh setelah kerjasama dengan bank Israel dibatal

Jun 11, 2025 | 10:33 AM
Bezalel Smotrich, baitulmakdis, menteri kewangan
Anggota polis Israel mengiringi Menteri Kewangan dan ahli politik sayap kanan, Encik Bezalel Smotrich, ketika beliau tiba di luar Pintu Damsyik di Kota Lama Baitulmakdis pada 26 Mei semasa perarakan bendera sempena Hari Baitulmakdis bagi memperingati penaklukan bahagian timur kota itu oleh tentera Israel pada 1967 semasa Perang Arab-Israel. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Israel membatalkan pengecualian yang selama ini membenarkan bank Israel berurusan dengan bank Palestin, tindakan yang berisiko melumpuhkan sistem perbankan Palestin, kata Kementerian Kewangan Israel dalam satu kenyataan pada 10 Jun.

Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, mengarahkan Akauntan Negara, Encik Yahli Rotenberg, untuk membatalkan perlindungan undang-undang yang diberikan kepada bank Israel yang menjalinkan urusan dengan institusi kewangan di wilayah yang dikuasai Penguasa Palestin (PA).

Menurut kenyataan kementerian itu, keputusan itu diambil sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai usaha PA merendahkan status dan kedudukan Israel di peringkat antarabangsa.

“Berikutan kempen pihak Penguasa Palestin untuk menjejas kedudukan Israel di arena sejagat, saya telah mengarahkan pembatalan indemniti yang diberikan kepada bank yang berurusan dengan bank Palestin,” kata Encik Smotrich dalam kenyataannya.

Encik Smotrich pernah mengancam untuk memutuskan hubungan kewangan antara bank Israel dengan bank Palestin di Tebing Barat pada Mei 2024 sebagai balasan terhadap pengiktirafan negara Palestin oleh tiga negara Eropah.

Pengecualian yang dibatalkan itu selama ini membolehkan bank Israel memproses pembayaran dalam mata wang Israel, shekel, untuk perkhidmatan dan gaji berkaitan PA tanpa risiko dikenakan tindakan undang-undang melibatkan pengubahan wang haram atau pembiayaan pengganasan.

Tanpa pengecualian itu, bank Palestin akan terputus hubungan dengan sistem kewangan Israel, yang turut berisiko merencatkan urusan kewangan harian di wilayah yang bergantung kepada transaksi dalam mata wang shekel.

Majoriti urus niaga di Tebing Barat dilakukan dalam mata wang Israel kerana PA tidak mempunyai bank pusat yang membolehkannya mencetak mata wang sendiri.

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah tekanan kewangan yang semakin meningkat terhadap PA.

PA berdepan kekurangan bantuan, pemotongan dana hasil cukai oleh Israel serta sumbangan rakyat Palestin yang terpinggir daripada pasaran pekerjaan Israel akibat perang di Gaza.

Langkah itu berlaku beberapa jam selepas Britain dan empat negara lain mengenakan sekatan terhadap Encik Smotrich dan seorang menteri kanan lain, atas dakwaan menghasut pengganasan di Tebing Barat.

Sekatan tersebut termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan.

Sementara itu, negara Kumpulan Tujuh (G7), yang terdiri daripada ekonomi utama dunia, pada Julai lalu turut mendesak Israel agar “mengambil tindakan yang perlu” bagi memastikan kelangsungan sistem kewangan Palestin.

Gesaan itu muncul selepas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Cik Janet Yellen, memberi amaran bahawa pemutusan hubungan bank antara Israel dengan Palestin boleh mencetus krisis kemanusiaan yang lebih besar di wilayah yang sudah terhimpit oleh pelbagai masalah ekonomi dan kemanusiaan.

Dengan langkah terbaru itu, kesan terhadap sistem kewangan Palestin yang bergantung kepada hubungan dengan bank Israel menjadi lebih nyata, meningkatkan kebimbangan terhadap kesan sosial dan ekonomi yang akan ditanggung oleh rakyat Palestin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg