PM Qatar pertahan tawaran jet kepada Trump, sedia batal jika langgar undang-undang
PM Qatar pertahan tawaran jet kepada Trump, sedia batal jika langgar undang-undang
Trump harap Qatar boleh jadi pengantara perjanjian nuklear baru dengan Iran
DOHA: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani, menolak kebimbangan berhubung tawaran negaranya untuk menghadiahkan sebuah pesawat mewah kepada Amerika Syarikat dengan menegaskan bahawa ia bukan hadiah peribadi kepada Presiden Donald Trump, sebaliknya urusan rasmi antara kerajaan dan pemerintah.
“Ia adalah urusan antara Kementerian Pertahanan Qatar dan Jabatan Pertahanan Amerika. Tidak ada kaitan dengan individu, sama ada di pihak Qatar mahupun Amerika,” katanya dalam satu wawancara bersama CNN, sebagai kenyataan balas Rumah Putih yang turut menyifatkan kebimbangan itu sebagai tidak berasas.
Encik Trump, yang sedang dalam rangka lawatan ke Timur Tengah, berdepan kritikan selepas laporan media mendedahkan beliau sedang mempertimbangkan untuk menggunakan jet berkenaan sebagai pesawat rasmi Air Force One.
Malah terdapat juga laporan yang menyatakan Encik Trump mungkin akan terus menggunakan pesawat itu selepas tempoh jawatannya berakhir.
Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Sheikh Mohammed menegaskan bahawa Qatar tidak berniat untuk mempengaruhi dasar atau kedudukan politik Encik Trump.
“Qatar sentiasa menjadi rakan yang dipercayai Amerika Syarikat. Kami sentiasa bersedia menyokong dan membantu rakan strategik kami demi manfaat bersama,” katanya.
Awal sebelum ini, secara terbuka, Encik Trump melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan dan kos tinggi yang dikaitkan dengan projek pembinaan Air Force One baru oleh syarikat Boeing.
Ketika ditemui media pada 12 Mei, beliau mempertahankan rancangan menerima jet Qatar itu dan menyifatkannya sebagai ‘tidak bijak’ untuk menolaknya.
Namun begitu, tindakan tersebut mencetuskan persoalan besar dari sudut etika dan perundangan.
Perlembagaan Amerika secara jelas melarang pegawai pemerintah menerima hadiah daripada mana-mana raja, putera atau negara asing tanpa kebenaran Kongres.
Di samping itu, aspek keselamatan turut dibangkitkan, memandangkan Air Force One berfungsi sebagai pusat kawalan udara bergerak jika berlaku krisis keselamatan negara.
Di sebalik kontroversi itu, lawatan Encik Trump ke Qatar tetap membuahkan hasil dari sudut ekonomi.
Menurut satu helai fakta yang dikeluarkan Rumah Putih, perjanjian yang ditandatangani antara Encik Trump dengan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, ia akan menghasilkan pertukaran ekonomi bernilai sekurang-kurangnya AS$1.2 trilion ($1.56 trilion).
Antara yang diumumkan ialah pembelian 210 pesawat, Boeing 787 Dreamliner dan 777X, oleh Qatar Airways yang bernilai AS$96 bilion.
Qatar turut menandatangani surat hasrat pelaburan bernilai AS$38 bilion dalam prasarana pertahanan, termasuk peningkatan kemudahan di Pangkalan Udara Al Udeid, serta sistem keselamatan maritim dan pertahanan udara.
Dalam pertemuan bersama Amir Qatar, Encik Trump turut meminta agar Doha menggunakan pengaruhnya terhadap Iran bagi memujuk Teheran agar bersetuju menghentikan program nuklear mereka.
Qatar mempunyai hubungan diplomatik baik dengan Iran, walaupun menjadi sekutu rapat Amerika.
“Saya mahukan satu perjanjian dengan Iran. Tetapi untuk itu berlaku, mereka mesti menghentikan sokongan kepada keganasan, menamatkan perang proksi dan menghentikan pembangunan senjata nuklear secara kekal dan boleh disahkan,” tambah Encik Trump.
Encik Trump turut menyeru semua negara agar berganding bahu dalam menguatkuasakan sekatan terhadap Iran secara menyeluruh.
Pentadbirannya telah melaksanakan pelbagai sekatan ekonomi terhadap entiti dan individu berkaitan sektor minyak dan program nuklear Iran dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Presiden Trump turut menyuarakan harapan bahawa usaha diplomatik akan membuahkan hasil, sambil mengakui cabaran yang wujud.
“Ini satu keadaan yang rumit, tetapi saya rasa kita akan capai sesuatu. Saya ada firasat yang positif,” kata Encik Trump selepas pertemuan dengan Sheikh Tamim.
Encik Trump sebelum ini menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 antara Iran dengan kuasa dunia yang memberi pelepasan sekatan kepada Teheran sebagai balasan terhadap pemantauan ketat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Beliau kemudian mengenakan semula sekatan ekonomi paling berat terhadap Iran.
Wakil Iran dan pentadbiran Encik Trump sedang mengadakan rundingan tidak rasmi, namun masih belum jelas sejauh manakah kemajuan telah dicapai.
Ia termasuk isu kritikal sama ada Amerika akan terus menuntut Iran menghentikan keseluruhan kegiatan pengayaan uranium, termasuk untuk tujuan awam.
Iran dijangka mengadakan rundingan lanjut dengan wakil Britain, Perancis dan Jerman di Turkey pada 16 Mei.
“Sementara kami terus berdialog dengan Amerika Syarikat, kami juga bersedia untuk berunding dengan kuasa Eropah,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi.
Beliau turut membidas kenyataan Encik Trump di Riyadh, dengan menyifatkannya sebagai “pandangan yang amat mengelirukan dan tidak adil”.
Encik Trump dijangka meneruskan lawatan rasminya ke Abu Dhabi pada 15 Mei, sebelum kembali ke Washington hujung minggu ini. – Agensi berita.

