Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM wanita pertama Maghribi: Pemimpin baharu, dasar luar jangka sama
PM wanita pertama Maghribi: Pemimpin baharu, dasar luar jangka sama
RABAT: Pelantikan Cik Fatima Ezzahra El Mansouri sebagai Perdana Menteri wanita pertama Maghribi mencatat sejarah dan membuka lembaran politik baharu bagi negara itu.
Namun, perubahan di puncak kerajaan tidak semestinya membawa perubahan besar kepada dasar luar Maghribi, terutama hubungannya dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham.
Ini kerana struktur politik Maghribi meletakkan Raja Mohammed VI sebagai tonggak kesinambungan negara, termasuk dalam perkara strategik dan keselamatan, sementara kerajaan yang dipilih mempunyai tanggungjawab besar dalam bidang ekonomi, sosial dan pentadbiran.
Perlembagaan juga menetapkan Raja sebagai ketua negara dan Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata, manakala kerajaan melaksanakan kuasa eksekutif dan programnya selepas mendapat kepercayaan Dewan Perwakilan.
Justeru, persoalan selepas pelantikan Cik El Mansouri pada 29 September bukan sekadar sama ada Maghribi berubah kerana buat kali pertama dipimpin seorang wanita, tetapi sejauh manakah perubahan kepimpinan itu akan mengubah dasar strategik yang sudah dibina selama bertahun-tahun.
Jawapannya mungkin terletak pada perbezaan antara perubahan kerajaan dengan kesinambungan negara.
Cik El Mansouri, 50 tahun, dilantik Raja Mohammed VI selepas Parti Keaslian dan Kemodenan (PAM) memenangi 97 daripada 395 kerusi dalam pilihan raya Parlimen pada 23 September.
Namun, jumlah itu jauh daripada 198 kerusi yang diperlukan untuk majoriti, menyebabkan tugas pertamanya adalah membentuk kerajaan campuran.
RNI memperoleh 66 kerusi dan Parti Istiqlal 65 kerusi, sementara kadar keluar mengundi hanya sekitar 38 peratus.
Ini bermakna ruang politik Cik El Mansouri pada peringkat awal pentadbirannya kemungkinan besar akan banyak digunakan untuk rundingan gabungan dan agenda domestik.
Beliau berdepan tekanan menangani pengangguran belia, kos sara hidup, mutu perkhidmatan awam dan harapan rakyat bahawa pelaburan besar menjelang Piala Dunia 2030 akan membawa manfaat langsung kepada kehidupan mereka.
Data rasmi Maghribi menunjukkan kadar pengangguran negara itu ialah 13 peratus pada 2025, tetapi mencapai 37.2 peratus dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun dan 20.5 peratus dalam kalangan wanita.
Angka itu menunjukkan mengapa kejayaan kerajaan baharu mungkin lebih banyak dinilai berdasarkan pekerjaan dan taraf hidup berbanding perubahan dasar luar.
Dalam konteks Israel, satu faktor penting adalah hubungan kedua-dua negara kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada hubungan antara pemimpin politik.
Maghribi memulihkan hubungan dengan Israel pada 2020 dalam kerangka pemulihan hubungan yang dikaitkan dengan Perjanjian Abraham.
Hubungan itu terus berkembang dalam bidang diplomatik, ekonomi dan keselamatan, walaupun konflik Palestin-Israel kekal sebagai isu sensitif dalam masyarakat Maghribi.
Malah, hanya dua minggu sebelum Cik El Mansouri dilantik, Maghribi dan Israel pada 16 September bersetuju meningkatkan perwakilan diplomatik masing-masing ke taraf kedutaan dan melantik duta.
Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan tiga pihak di New York melibatkan Menteri Luar Maghribi, Encik Nasser Bourita; Menteri Luar Israel, Encik Gideon Sa’ar; dan Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Mike Waltz.
Perkembangan itu penting kerana ia berlaku sebelum pembentukan kerajaan baharu.
Dengan kata lain, peningkatan hubungan dengan Israel bukan dasar yang diperkenalkan oleh Cik El Mansouri, tetapi sebahagian daripada hubungan antara negara yang sudah dibangunkan di bawah naungan institusi Maghribi.
Ini tidak bermakna hubungan itu bebas daripada tekanan politik.
Isu Palestin kekal berupaya mencetuskan perdebatan domestik, dan kerajaan baharu perlu mengimbangi kerjasama dengan Israel serta pendirian tradisional Maghribi mengenai hak rakyat Palestin.
Namun, struktur politik negara itu menjadikan perubahan kerajaan sahaja kurang berkemungkinan menghasilkan perubahan mendadak dalam hubungan strategik.
Ironinya, cabaran terbesar Cik El Mansouri mungkin bukan hubungan dengan Israel, tetapi bagaimana beliau membuktikan bahawa pelantikan bersejarah itu mampu membawa perubahan nyata yang dirasakan rakyat.
Beliau mempunyai pengalaman yang relevan.
Sebagai mantan Menteri Perancangan Bandar dan Perumahan serta Datuk Bandar Marrakesh, Cik El Mansouri mempunyai pengalaman dalam pentadbiran pusat dan tempatan.
Beliau juga pernah mengendalikan portfolio yang berkaitan usaha pembinaan semula selepas gempa bumi 2023.
Namun, mengurus kementerian atau bandar berbeza daripada mengetuai kerajaan campuran.
PAM mempunyai hanya sekitar satu perempat kerusi Parlimen.
Setiap pembaharuan besar – daripada pekerjaan belia hingga perumahan, air dan pelaburan – memerlukan tolak ansur dengan rakan gabungan.
Di sinilah kadar keluar mengundi 38 peratus menjadi penting.
Ia tidak semestinya bermakna rakyat menolak sistem politik secara keseluruhan, tetapi kadar penyertaan yang rendah memberi isyarat kerajaan baharu perlu membuktikan kewibawaannya melalui hasil yang nyata.
Persiapan Piala Dunia 2030 akan menjadi satu ujian besar.
Maghribi akan menjadi tuan rumah bersama Sepanyol dan Portugal, dan kerajaan Cik El Mansouri dijangka mengawasi peringkat akhir pelaburan besar dalam stadium, pengangkutan dan prasarana.
Agensi berita Reuters, melaporkan persiapan itu melibatkan sekitar AS$20 bilion ($25.7 bilion).
Persoalannya adalah sama ada pelaburan tersebut turut dapat menghasilkan pekerjaan dan memperbaiki perkhidmatan awam.
Pada masa yang sama, hubungan dengan Israel boleh semakin berakar sekiranya ia bergerak daripada simbol diplomatik kepada kerjasama praktikal.
Antara bidang yang mempunyai kepentingan bersama adalah pengurusan air, pertanian, teknologi dan keselamatan siber.
Namun, manfaat kerjasama sedemikian tidak harus dianggap automatik.
Keberkesanannya bergantung kepada projek yang dipersetujui, penerimaan politik dalam negeri dan sama ada ia menghasilkan manfaat yang boleh diukur.
Inilah sebabnya pelantikan Cik El Mansouri lebih tepat dilihat sebagai perubahan penting dalam politik domestik Maghribi, bukan petanda automatik perubahan dasar luar.
Beliau membawa lambang perubahan – wanita pertama mengetuai kerajaan dan hanya wanita kedua pernah menjadi Perdana Menteri dalam dunia Arab.
Namun struktur negara yang diwarisinya menyediakan tahap kesinambungan yang jauh lebih besar dalam dasar strategik.
Ujian awal era Cik El Mansouri berlaku pada dua landasan berbeza.
Di luar negara, kerajaan baharu perlu mengurus hubungan yang sudah dibina, termasuk dengan Israel, sambil menangani sensitiviti mengenai Palestin.
Di dalam negara, cabarannya jauh lebih langsung: membentuk gabungan yang stabil, mencipta pekerjaan, memperbaiki perkhidmatan awam dan memastikan pelaburan besar menjelang Piala Dunia 2030 memberi manfaat kepada rakyat.
Pelantikan seorang Perdana Menteri baharu boleh mengubah wajah kerajaan Maghribi.
Namun, setakat struktur institusi dan langkah diplomatik terkini menunjukkan, ia tidak dengan sendirinya mengubah arah strategik negara itu. – Agensi berita.