Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan lagi terbunuh selepas Israel serang Gereja Katolik di Gaza

Jul 18, 2025 | 10:35 AM
Penganut Kristian Palestin berkabung atas kematian Saad Salameh dan Foumia Ayyad, yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gereja Holy Family di Bandar Gaza, semasa upacara pengebumian mereka di Gereja Saint Porphyrius pada 17 Julai 2025. Tiga orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas satu-satunya gereja Katolik di Gaza pada 17 Julai, menurut kenyataan Patriarki Latin Baitulmakdis.
Penganut Kristian Palestin berkabung atas kematian Saad Salameh dan Foumia Ayyad, yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gereja Holy Family di Bandar Gaza, semasa upacara pengebumian mereka di Gereja Saint Porphyrius pada 17 Julai 2025. Tiga orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas satu-satunya gereja Katolik di Gaza pada 17 Julai, menurut kenyataan Patriarki Latin Baitulmakdis. - Foto AFP

GAZA: Angka korban harian di Gaza terus meningkat dengan Al Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 56 lagi penduduk terbunuh dalam serangan terbaru Israel sejak subuh 17 Julai sedang kecaman antarabangsa semakin memuncak susulan serangan maut kereta kebal Israel ke atas satu-satunya gereja Katolik di Gaza, yang meragut tiga nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 lagi.

Serangan terhadap Gereja Holy Family itu berlaku ketika lebih 600 orang awam kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sedang berlindung dalam kawasan gereja yang diiktiraf sebagai tempat perlindungan sejak perang bermula.

Kecaman turut disuarakan oleh Pope Leo XIV yang menyampaikan ucapan takziah menerusi satu telegram rasmi kepada komuniti Gereja Holy Family di Gaza.

“Pope amat sedih mendengar kehilangan nyawa dan kecederaan akibat serangan ke atas Gereja Holy Family,” menurut kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Negara Vatikan.

“Beliau sekali lagi menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta, dan menzahirkan harapan mendalam terhadap usaha dialog, perdamaian dan keamanan yang berkekalan di rantau ini.”

Patriarki Latin Baitulmakdis mengesahkan gereja tersebut “ditembak secara langsung” oleh tentera Israel (IDF), dengan serpihan peluru menyebabkan kecederaan parah kepada beberapa mangsa.

“Tiga individu telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami manakala sembilan lagi cedera, termasuk seorang dalam keadaan kritikal dan dua dalam keadaan serius,” ujar Patriarki.

Antara mangsa yang terbunuh ialah Saad Issa Kostandi Salameh, 60 tahun penjaga gereja; Foumia Issa Latif Ayyad, 84 tahun; dan Najwa Abu Daoud.

Rakaman video yang dikongsi kepada BBC menunjukkan bumbung gereja berlubang berdekatan salib dan tingkap pecah. Seorang paderi dari Argentina, Father Gabriele Romanelli, dilihat berjalan terhuyung-hayang di Hospital Al-Ahli selepas turut cedera ringan dalam insiden itu. Pertubuhan kebajikan Caritas Baitulmakdis berkata, peluru mengenai bumbung gereja sebelum “menyebarkan serpihan dan puing ke seluruh kawasan halaman”.

“Pada masa kejadian, dua wanita tua sedang berada dalam khemah sokongan psikososial kami di luar bangunan utama. Kedua-duanya mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital selepas kelewatan selama 15 minit,” jelas kenyataan itu.

Menurut Caritas, tiga lagi remaja yang berdiri di pintu masuk gereja turut cedera dan dikejarkan ke hospital menggunakan kenderaan persendirian kerana tiada ambulans yang segera tersedia.

Tentera Israel dalam kenyataan rasmi mengakui mereka “tersilap” melepaskan tembakan ke arah gereja.

“Siasatan awal menunjukkan serpihan daripada peluru yang dilepaskan semasa operasi ketenteraan telah mengenai gereja secara tidak sengaja,” kata kenyataan IDF. “Punca insiden ini masih dalam siasatan lanjut.”

Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu turut menghubungi Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan menyatakan kekesalan atas serangan tersebut, yang disifatkan sebagai “kesilapan”.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata: “Presiden tidak memberi reaksi positif terhadap insiden itu.”

Namun, Patriarki Latin Baitulmaqdis, Kardinal Pierbattista Pizzaballa, menyatakan keraguan terhadap penjelasan yang diberikan oleh pihak Israel.

“Apa yang kami tahu dengan pasti ialah sebuah kereta kebal telah menembak gereja secara langsung. Tentera Israel (IDF) mendakwa ia berlaku secara tidak sengaja, tetapi kami tidak yakin dengan dakwaan itu,” katanya kepada laman Vatican News.

Sepanjang serangan berdarah di Jaluran Gaza, tentera Israel telah mengebom beberapa tempat ibadat termasuk Gereja Baptis Gaza dan Gereja Ortodoks Greek Saint Porphyrius, gereja tertua di Gaza dan ketiga tertua di dunia.

Gereja Holy Family merupakan satu-satunya gereja Katolik di Gaza yang sejak Oktober 2023 menjadi tempat perlindungan kepada ramai rakyat Palestin beragama Kristian dan Islam yang kehilangan tempat tinggal.

Patriarki Latin berkata: “Kami mengutuk sekeras-kerasnya tragedi ini yang menyasarkan orang awam dan tempat suci. Kami juga menginsafi bahawa tragedi ini bukan yang paling teruk di Gaza. Ramai lagi orang awam tidak bersalah turut menjadi korban, dihalau dan dibunuh sepanjang perang ini.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg