Protes di Iran berubah dari ekonomi ke penentangan politik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes di Iran berubah dari ekonomi ke penentangan politik

Presiden: Rungutan ekonomi akan ditangani tetapi negara juga punya tanggungjawab cegah ketidakstabilan
Jan 19, 2026 | 5:30 AM

Protes di Iran berubah dari ekonomi ke penentangan politik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pada peringkat awal, tunjuk perasaan tercetus susulan kejatuhan mendadak nilai mata wang, inflasi berpanjangan dan kesan kumulatif sekatan antarabangsa. Namun, bantahan itu berubah menjadi cabaran terbuka terhadap pemerintah yang telah mentadbir Iran sejak 1979.
Pada peringkat awal, tunjuk perasaan tercetus susulan kejatuhan mendadak nilai mata wang, inflasi berpanjangan dan kesan kumulatif sekatan antarabangsa. Namun, bantahan itu berubah menjadi cabaran terbuka terhadap pemerintah yang telah mentadbir Iran sejak 1979. - Foto REUTERS

TEHERAN: Gelombang bantahan yang melanda Iran sejak akhir Disember bukan lagi sekadar episod kemarahan terhadap tekanan kos sara hidup.

Ia telah berkembang menjadi satu gerakan meluas yang mempersoal keseluruhan struktur kuasa politik negara itu, dengan tahap keganasan dan penindasan semakin meningkat.

Pada peringkat awal, tunjuk perasaan tercetus susulan kejatuhan mendadak nilai mata wang, inflasi berpanjangan dan kesan kumulatif sekatan antarabangsa.

Namun, dalam tempoh hanya dua minggu, bantahan itu berubah menjadi cabaran terbuka terhadap pemerintah yang telah mentadbir Iran sejak 1979.

Bermula sebagai reaksi terhadap tekanan ekonomi yang semakin menjerut kehidupan seharian, tunjuk perasaan itu dengan pantas berkembang menjadi satu gerakan berskala nasional yang mempertikai keseluruhan struktur kuasa Republik Islam.

Menurut pemantauan kumpulan Hak Asasi Iran yang berpangkalan di Amerika Syarikat, lebih 2,000 orang terbunuh dan kira-kira 100 anggota keselamatan maut.

Angka sebenar dipercayai lebih tinggi berikutan gangguan Internet dan sekatan komunikasi yang menyukarkan pengesahan bebas.

Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (Hrana) melaporkan lebih 10,000 individu ditahan, manakala bantahan dilaporkan berlaku di ratusan lokasi merentasi semua wilayah negara itu.

Pemerintah Iran mengakui tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat, namun, pada masa yang sama bertindak tegas terhadap penunjuk perasaan.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menyatakan pemerintah akan menangani rungutan ekonomi, tetapi menegaskan negara juga mempunyai “tanggungjawab” untuk mencegah ketidakstabilan.

Pendekatan itu memperlihat garis lama yang berulang: Janji pembaikan ekonomi disertai penindasan politik.

Namun, apa yang membezakan gelombang bantahan kali ini adalah skop dan kedalamannya.

Cogan kata yang dilaungkan bukan lagi menuntut perubahan dasar tertentu, malah, menolak keseluruhan sistem autoritarian.

Daripada pengurusan krisis ke penindasan sistematik

Tindak balas pemerintah memperlihatkan corak klasik dalam sejarah politik Iran pascarevolusi iaitu isyarat awal kesediaan mendengar, diikuti pendirian tegar apabila bantahan tidak reda.

Amaran pendakwaan tanpa belas kasihan dan kemungkinan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan menandakan peralihan daripada pengurusan krisis kepada penindasan sistematik.

Rakaman yang disahkan media antarabangsa menunjukkan penunjuk perasaan melaungkan, “Mati diktator” dan “Rakyat Iran, bangkit tuntut hakmu”, mencerminkan kemarahan yang tidak lagi terbatas pada isu ekonomi.

Salah satu perkembangan paling ketara dalam bantahan itu ialah perubahan dalam bahasa dan simbol bantahan.

Pada 2009, bantahan masih beroperasi dalam kerangka ideologi Republik Islam dengan tuntutan pembetulan dalaman terhadap sistem.

Gerakan Hijau ketika itu menggunakan slogan berteras agama dan reformasi, seperti, “Ya Hossein, Mir Hossein” – seruan simbolik yang mengaitkan Mir Hossein Mousavi dengan figura suci Syiah, Imam Hossein, bagi menuntut keadilan tanpa menolak asas teokratik negara.

Sebaliknya, gelombang bantahan terkini mencerminkan penolakan menyeluruh terhadap keseluruhan spektrum politik terkawal, termasuk kedua-dua kelompok reformis dan garis tegar yang sebelum ini membentuk kerangka persaingan dalaman sistem.

Kadar penyertaan pilihan raya memberi gambaran jelas.

Pada 2009, sekitar 85 peratus pengundi keluar mengundi.

Menjelang 2024, angka itu merosot kepada sekitar 40 peratus, walaupun jumlah pengundi layak meningkat dengan ketara.

Penurunan itu mencerminkan penghijrahan politik rakyat, daripada penglibatan pilihan raya kepada penolakan sistem melalui boikot dan akhirnya jalanan.

Cogan kata seperti, ‘Reformis atau konservatif, permainan sudah tamat’, yang muncul sejak 2018 kini menjadi arus perdana, menandakan kekecewaan terhadap semua puak dalam sistem Republik Islam.

Tunjuk perasaan merebak ke puluhan bandar besar dan kecil.

Pemantauan oleh Institut Kajian Peperangan menunjukkan bantahan berlaku secara serentak di banyak wilayah, satu petunjuk penyelarasan sosial walaupun komunikasi digital disekat.

Pihak berkuasa Iran menolak dakwaan pasukan keselamatan bertanggungjawab terhadap kematian itu.

Ketua Polis Iran, Brigedier Jeneral Ahmadreza Radan, mendakwa kejadian tembakan dilakukan oleh “unsur terlatih musuh Iran”, termasuk Amerika dan Israel.

Namun, rakaman video yang disahkan media antarabangsa menunjukkan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di jalanan kosong, dipercayai untuk menakut-nakutkan penduduk dan menghalang bantahan.

Seorang jurutera di Teheran, Encik Amir Reza, 42 tahun, berkata beliau terpaksa pulang ke rumah apabila tembakan dilepaskan ke udara.

“Keadaan bertukar menakutkan. Mereka mengejar orang ramai untuk menyuraikan kumpulan,” katanya.

Pada peringkat awal, pemerintah cuba meredakan keadaan dengan langkah simbolik, termasuk bantuan tunai bulanan kecil kepada rakyat.

Namun, pendekatan itu berubah dengan pantas.

‘Perusuh’ boleh berdepan hukuman mati

Pendakwa Raya Iran, Encik Mohammad Movahedi Azad, memberi amaran perbicaraan terhadap ‘perusuh’ akan dijalankan “tanpa kelonggaran atau belas kasihan”, dan mereka yang terlibat boleh dianggap “musuh Tuhan”, satu kesalahan yang membawa hukuman mati.

Pemerintah turut mengumumkan tempoh berkabung nasional selama tiga hari, bukan untuk penunjuk perasaan yang terbunuh, tetapi bagi anggota keselamatan yang terkorban, yang digelar mangsa ‘pengganas bandar’.

Langkah itu memperlihatkan jurang persepsi yang mendalam antara negara dengan rakyat, serta ketiadaan ruang tolak ansur yang bermakna.

Bantahan itu berlaku ketika Iran berada dalam kedudukan geopolitik yang rapuh, masih dibayangi ancaman serangan ketenteraan susulan konflik serantau dan ketegangan dengan Amerika serta Israel.

Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump menyatakan Amerika “bersedia membantu” sekiranya pemerintah Iran menggunakan kekerasan maut terhadap rakyatnya.

Encik Trump turut menyatakan tindakan ketenteraan merupakan salah satu pilihan yang sedang dipertimbangkan, namun belum mengesahkan sama ada ia akan dilaksanakan.

Di pihak Iran, Speaker Parlimen Mohammad Ghalibaf, memberi amaran sebarang campur tangan ketenteraan akan dibalas dengan serangan ke atas kepentingan Amerika dan Israel, termasuk pangkalan tentera dan laluan perkapalan.

Dalam kalangan penggubal dasar Barat sendiri, terdapat keraguan mendalam terhadap campur tangan langsung.

Pengalaman lampau perubahan rejim melalui kekuatan luar menjadikan sokongan lebih berhati-hati dan bersyarat.

Israel pula menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan sambil menegaskan tenteranya berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Namun, di Washington sendiri, ahli politik Demokrat dan Republikan menyuarakan kebimbangan terhadap campur tangan langsung, mencerminkan keletihan Amerika terhadap perubahan rejim secara paksa di Asia Barat.

Apa yang berlaku di Iran hari ini bukan sekadar ledakan kemarahan, malah, satu pencarian alternatif politik.

Rakyat, khususnya generasi muda, semakin melihat bahawa perubahan secara berperingkat dari dalam sistem tidak lagi realistik.

Kontrak sosial pasca-1979 kian rapuh

Perubahan cogan kata daripada tuntutan perubahan kepada seruan simbolik melangkaui cara lama, mencerminkan terhakisnya kepercayaan terhadap mekanisme politik sedia ada.

Namun, pencarian itu juga penuh risiko.

Tanpa kepimpinan dalaman yang tersusun, dengan Internet disekat dan organisasi menghadapi tekanan, bantahan bergantung kepada rentak spontan dan simbol kolektif.

Bantahan besar-besaran di Iran hari ini menandakan titik perubahan penting dalam sejarah politik negara itu.

Ia mencerminkan bukan sahaja kemarahan ekonomi, malah, keletihan mendalam terhadap sistem yang dilihat gagal memperbaharui diri.

Namun, sama ada gerakan itu mampu diterjemahkan kepada perubahan sebenar masih belum pasti.

Kekerasan negara, ketiadaan ruang politik terbuka dan risiko campur tangan luar menjadikan masa depan Iran sangat tidak menentu.

Apa yang jelas, landskap politik Iran sedang berubah, dan suara di jalanan kini tidak lagi sekadar meminta pembaikan, tetapi menyoal asas pemerintahan itu sendiri.

Satu kesimpulan jelas dapat dibuat iaitu kontrak sosial pasca-1979 semakin rapuh.

Negara berdepan dilema antara penindasan berterusan dengan perubahan struktural yang mungkin menggugat asas kuasanya sendiri.

Dalam konteks ini, bantahan Iran bukan episod sementara, tetapi satu petanda politik negara itu sedang memasuki fasa peralihan yang panjang, rumit dan sukar diramal. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg