GAZA: Serangan udara Israel ke atas sebuah hospital di Gaza pada 23 Mac telah mengorbankan lima orang, termasuk seorang pemimpin politik Hamas, Encik Ismail Barhoum.
Demikian menurut sumber perubatan Palestin dan Hamas.
Hospital yang diserang ialah Hospital Nasser di Khan Younis, di mana serangan itu dilaporkan menyasarkan sektor pembedahan.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan serangan itu menyebabkan kematian dan mencederakan ramai lagi.
Pihak tentera Israel dalam kenyataan mengesahkan bahawa serangan itu menyasarkan “individu berperanan penting” dalam kumpulan Hamas.
Namun, mereka tidak memberikan nama sasaran secara terperinci, hanya menyifatkannya sebagai “seorang pengganas utama”.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, mengesahkan bahawa sasaran serangan itu ialah Encik Ismail Barhoum, seorang anggota pejabat politik Hamas.
“Serangan ini adalah hasil perisikan yang teliti dan penggunaan senjata yang tepat bagi mengurangkan kerosakan kepada kawasan tersebut,” kata pihak tentera Israel dalam satu kenyataan.
Hamas, menerusi saluran televisyen Al-Aqsa, mengesahkan bahawa Encik Barhoum sedang menerima rawatan di hospital tersebut akibat kecederaan yang dialaminya dalam serangan terdahulu.
Israel, bagaimanapun, mendakwa bahawa Hamas sengaja menempatkan operasinya di hospital, sekolah dan perlindungan awam, perkara yang Hamas nafikan.
Serangan itu tercetus selepas dua bulan tempoh gencatan senjata yang agak stabil.
Namun ia berakhir apabila Israel melancarkan serangan udara dan darat berskala besar pada 18 Mac, susulan kegagalan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui.
Pada 22 Mac, Hamas turut mengesahkan bahawa, Encik Salah al-Bardaweel, seorang lagi pemimpin Hamas, terbunuh dalam serangan berasingan di Khan Younis.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, pada 23 Mac, sejumlah 45 warga Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan udara Israel di Rafah dan Khan Younis.
Ini menjadikan jumlah korban sejak permulaan konflik pada Oktober 2023 melebihi 50,000 orang, dengan kebanyakan mangsa adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Tentera Israel mendakwa antara 20,000 orang yang terkorban adalah anggota Hamas.
Namun, Hamas tidak mendedahkan angka korban mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa matlamat perang itu adalah untuk memusnahkan Hamas sebagai entiti ketenteraan dan politik di Gaza.
“Perang ini adalah untuk memusnahkan Hamas. Kami tidak akan berhenti sehingga mereka melepaskan semua tebusan yang masih hidup,” kata Encik Netanyahu pada 18 Mac.
Keadaan kemanusiaan di Gaza semakin teruk dengan ribuan orang awam melarikan diri dari rumah mereka di tengah-tengah serangan udara yang berterusan.
Sebilangan besar penduduk yang melarikan diri menuju utara ke Khan Younis, dengan membawa barang dan anak-anak menggunakan kereta kuda atau beca.
“Sebaik sahaja gencatan senjata bermula, kami pulang dan mendirikan khemah di atas runtuhan rumah kami, dengan harapan ia akan dibina semula.
“Tetapi kini, kami terpaksa melarikan diri sekali lagi di bawah hujan peluru.
“Sampai bilakah kami harus terus berlari? Sampai bilakah bandar ini akan mengenal erti keamanan?” kata penduduk Rafah, Encik Abu Khaled, kepada Reuters.
Menurut Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin, lebih 50,000 orang masih terperangkap di Rafah selepas serangan tentera Israel yang mengejutkan ramai.
Mereka memberi amaran bahawa nyawa mereka, termasuk pasukan penyelamat, berada dalam bahaya.
Pihak berkuasa Palestin dan organisasi antarabangsa juga memberi amaran tentang risiko krisis kebuluran yang semakin hampir.
Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Encik Philippe Lazzarini, menegaskan bahawa setiap hari tanpa bantuan makanan hanya akan membawa Gaza lebih dekat kepada krisis kebuluran yang teruk.
“Setiap hari tanpa makanan menjadikan Gaza semakin hampir kepada krisis kebuluran akut.
“Larangan bantuan adalah hukuman kolektif terhadap Gaza: sebahagian besar penduduknya adalah kanak-kanak, wanita, dan lelaki biasa,” tulis Encik Lazzarini di platform X.
Pada 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya laluan kemasukan barangan ke Gaza, sekali gus memburukkan lagi keadaan penduduk yang sedia terkesan teruk akibat konflik yang berpanjangan.
“Hamas menyalahgunakan bantuan untuk kepentingan mereka sendiri,” kata Encik Ophir Falk, penasihat dasar luar Encik Netanyahu, dalam tuduhan yang dinafikan oleh Hamas sebelum ini. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg