Putera Mahkota Saudi, Menteri Luar Iran bertemu selepas perang Iran-Israel
Putera Mahkota Saudi, Menteri Luar Iran bertemu selepas perang Iran-Israel
JEDDAH: Buat pertama kalinya sejak konflik bersenjata selama 12 hari antara Iran dan Israel Jun lalu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, telah mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan bertemu Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS) di Jeddah.
Lawatan itu menandakan perkembangan penting dalam hubungan serantau, yang menunjukkan bahawa usaha pendamaian antara Riyadh dan Teheran tidak terjejas meskipun berlaku ketegangan besar di rantau itu.
Dalam pertemuan yang turut disertai beberapa pegawai kanan Arab Saudi, kedua-dua pihak membincangkan hubungan dua hala serta isu keselamatan serantau.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Iran, perbincangan tersebut adalah “bermanfaat” dan menumpukan kepada usaha menstabilkan keadaan selepas gencatan senjata yang diperantarai oleh Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Lawatan ini sangat penting dan perbincangan kami dengan Putera Mahkota serta pegawai kanan Arab Saudi berlangsung dalam suasana positif,” kata jurucakap kementerian, Encik Esmaeil Baghaei, dalam kenyataan rasmi.
Sementara itu, Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan bahawa kedua-dua pihak “meninjau hubungan dua hala dan perkembangan terkini di rantau ini”.
“Putera Mahkota menyatakan harapan kerajaan agar perjanjian gencatan senjata ini dapat mewujudkan keadaan yang mendorong keselamatan dan kestabilan serantau. Kerajaan terus komited menyokong penyelesaian pertikaian melalui saluran diplomatik,” menurut kenyataan SPA.
Encik Araghchi turut mengucapkan penghargaan kepada Arab Saudi kerana mengutuk serangan ketenteraan Israel ke atas Iran, yang telah mengorbankan ramai pegawai kanan tentera dan saintis nuklear Iran pada 13 Jun lalu.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu yang menyebabkan kemusnahan besar di Israel.
Selain bertemu Putera Mahkota, Encik Araghchi turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Pertahanan Saudi, Encik Khalid bin Salman, dan Menteri Luar, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik yang diperbaharui sejak tahun 2024.
Lawatan ini dianggap sebagai satu isyarat penting bahawa kedua-dua kuasa serantau masih komited kepada laluan diplomasi walaupun dikejutkan dengan konflik ketenteraan berskala besar hanya beberapa minggu sebelumnya. – Agensi berita.

