Qatar cari mangsa serangan Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Qatar cari mangsa serangan Israel

Sep 11, 2025 | 10:29 AM

Qatar cari mangsa serangan Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bangunan rosak, qatar, israel
Bangunan yang rosak menempatkan anggota biro politik kumpulan Hamas, selepas menjadi sasaran serangan Israel di ibu negara Qatar, Doha, pada 10 September. - Foto AFP

DOHA: Pihak berkuasa Qatar masih meneruskan pencarian dua individu yang hilang serta berusaha mengenal pasti sisa mayat selepas serangan udara Israel menyasarkan pemimpin kanan Hamas di Doha pada 9 September.

Serangan yang dianggap melangkaui “garis merah” itu mencetuskan kecaman antarabangsa dan menimbulkan persoalan sama ada operasi Israel benar-benar mencapai sasaran dan dikatakan gagal mencapai matlamatnya memusnahkan Hamas.

Kementerian Dalam Negeri Qatar mengesahkan identiti empat mangsa, termasuk Encik Humam al-Hayya, nak kepada ketua perunding Hamas, Encik Khalil al-Hayya bersama pengarah pejabatnya, Jihad Labad, dua pengawal peribadi, serta seorang anggota keselamatan Qatar, Koperal Badr al-Humaidi.

“Pasukan khas masih berusaha mengenal pasti dua lagi individu yang dilaporkan hilang. Sisa-sisa mayat juga ditemui di beberapa lokasi,” kata kenyataan rasmi kementerian.

Setakat ini, nasib Encik Khalil al-Hayya, pemimpin kanan Hamas yang menjadi sasaran utama, masih belum diketahui.

Dalam temu bual bersama CNN, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdul Rahman Al Thani, berkata: “Sehingga kini... tiada pengumuman rasmi mengenai beliau.”

Beliau turut mengecam tindakan Israel sebagai “keganasan negara” dan menyeru rakan serantau Qatar bersetuju dengan satu “tindak balas kolektif”.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mempertahankan operasi yang dinamakan Summit of Fire.

Menurutnya, serangan itu menyasarkan “perancang utama pengganas” yang didakwa bertanggungjawab terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa dan mencetuskan krisis tebusan.

Sementara itu, media Israel melaporkan kebimbangan dalam kalangan tentera bahawa operasi itu mungkin gagal.

“Ada kemungkinan pemimpin Hamas berada di bahagian lain bangunan ketika serangan,” kata seorang pegawai tentera Israel yang dipetik oleh media tempatan.

Hamas menegaskan percubaan membunuh delegasi perunding mereka tidak berjaya.

Dalam kenyataan rasmi, kumpulan itu berkata: “Kami mengesahkan kegagalan musuh untuk membunuh saudara-saudara kami dalam delegasi perunding.”

Hamas turut menamakan lima anggotanya yang terkorban, termasuk pengawal peribadi dan pembantu rapat Khalil al-Hayya.

Menurut pegawai Qatar, serangan pada 9 September itu berlaku ketika pemimpin Hamas sedang bermesyuarat di kediaman mereka di utara Doha untuk membincangkan cadangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Media Israel mendakwa operasi itu melibatkan 15 jet pejuang yang menjatuhkan 10 bom, selain penggunaan dron.

Pegawai kanan Israel turut memberitahu CNN bahawa rancangan serangan ini telah digarap sejak dua hingga tiga bulan lalu, dan dipercepatkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Sejak 2012, Doha menjadi lokasi pejabat politik Hamas serta pusat rundingan dengan Israel, dengan penglibatan Amerika dan Mesir.

Selama ini, kota itu dianggap zon selamat kerana menempatkan pangkalan tentera Amerika terbesar di rantau ini.

Namun, menurut penganalisis pertahanan Encik Hamze Attar, serangan ini menunjukkan strategi Israel yang lebih panjang.

“Israel menjadikan Doha zon selamat agar kepimpinan Hamas berkumpul di sana. Kemudian, mereka dihentam secara mengejut. Ini bukan operasi sehari dua – ia dirancang bertahun-tahun,” katanya kepada Al Jazeera.

Persoalan besar kini ialah ruang udara mana yang digunakan Israel untuk melancarkan serangan itu.

Ketika menyerang Iran awal 2025, Israel menggunakan ruang udara Syria dan Iraq.

Namun, Jordan yang memiliki sistem pertahanan udara menafikan bahawa wilayahnya digunakan dalam operasi terbaru di Doha.

Penganalisis antarabangsa menyifatkan tindakan ini sebagai isyarat bahawa Israel sanggup menyerang di luar Gaza, walaupun di negara sekutu Amerika.

“Ini menandakan perubahan besar dalam landskap keselamatan serantau. Doha tidak lagi kebal daripada serangan,” kata seorang diplomat Barat yang enggan namanya didedahkan. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg