SPH Logo mobile
Langgan|

Raja Salman taja lagi 1,000 anggota jemaah haji Palestin

Raja Salman taja lagi 1,000 anggota jemaah haji Palestin

May 21, 2025 | 10:43 AM

Raja Salman taja lagi 1,000 anggota jemaah haji Palestin

Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz, telah mengarahkan penajaan penuh bagi 1,000 lagi anggota jemaah haji Palestin pada 2025, menjadikan angka keseluruhan seramai 2,000 orang.
Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz, telah mengarahkan penajaan penuh bagi 1,000 lagi anggota jemaah haji Palestin pada 2025, menjadikan angka keseluruhan seramai 2,000 orang. - Foto AFP

RIYADH: Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, telah mengarahkan penajaan penuh bagi 1,000 lagi anggota jemaah haji Palestin pada 2025, terdiri daripada keluarga syahid, banduan dan mangsa cedera.

Pengumuman itu dibuat oleh Atase Media Arab Saudi, Dr Naif Al-Otaibi, dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan di platform X (dahulu Twitter) pada 20 Mei.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Program Tetamu Penjaga Dua Tanah Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi,” ujar Dr Al-Otaibi.

Dengan penambahan 1,000 anggota jemaah ini, jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang ditaja bagi menunaikan haji 2025 mencecah 2,000 orang.

Arahan terdahulu pada awal Mei 2025 menyaksikan kumpulan pertama seramai 1,000 orang dalam kalangan keluarga mangsa serangan di Gaza turut mendapat tajaan penuh.

Menteri Hal Ehwal Islam Arab Saudi, Sheikh Dr Abdullatif Al Alsheikh, turut merakamkan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.

Beliau menyifatkan usaha itu sebagai “tanda sokongan berterusan Arab Saudi terhadap rakyat Palestin dan kesatuan ummah Islam”.

“Inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan kepimpinan Arab Saudi untuk memudahkan urusan haji bagi rakyat Palestin.

“Kementerian telah mengaktifkan pelan logistik yang menyeluruh termasuk perjalanan, penginapan, dan bantuan sepanjang masa mereka berada di Makkah dan Madinah,” tambah Dr Al Alsheikh.

Program Tetamu Penjaga Dua Tanah Suci itu telah bermula sejak 1417 Hijrah.

Sehingga kini, ia telah menaja lebih 64,000 anggota jemaah dari seluruh dunia Islam.

Program itu menekankan peranan Arab Saudi sebagai pusat dunia Islam dan penjaga kepada dua Masjid Suci.

Mengulas lanjut, Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, menyatakan bahawa “penajaan keluarga mangsa cedera, terkorban dan dipenjarakan menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan terhadap Palestin, tapak-tapak suci Islam dan Masjid Al-Aqsa”.

Pada Jun 2024 musim haji lalu, Arab Saudi mengumumkan penajaan untuk 1,000 anggota keluarga rakyat Palestin yang terkorban atau cedera akibat serangan di Gaza.

Program itu melibatkan penyediaan logistik lengkap daripada ketibaan mereka di Arab Saudi sehinggalah mereka pulang semula ke tanah air.

Sementara itu, pada Jun 2023, kerajaan Arab Saudi turut menaja 1,000 anggota jemaah Palestin bagi menunaikan haji, menunjukkan kesinambungan iltizam negara itu terhadap isu Palestin dari tahun ke tahun.

Kementerian Haji dan Umrah turut melaporkan setakat 18 Mei, seramai 554,579 anggota jemaah telah tiba di Arab Saudi bagi musim haji 1446 Hijrah.

Angka itu mewakili 39 peratus daripada jumlah visa haji yang telah dikeluarkan.

Daripada jumlah tersebut, 538,766 anggota jemaah tiba melalui jalan darat; 14,391 melalui udara dan 1,422 melalui laut.

Ketibaan itu bermula sejak 1 Zulkaedah (29 April), menandakan permulaan rasmi musim haji di Makkah dan Madinah.

Dr Al-Otaibi menyimpulkan: “Langkah ini bukan sahaja menggambarkan kepedulian Raja Salman terhadap Palestin, bahkan turut memperkukuh perpaduan Islam dalam konteks penderitaan yang berterusan di Gaza.

“Arab Saudi menghantar mesej jelas bahawa Palestin tidak bersendirian. Doa dan tindakan kami akan terus menyertai mereka.” – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg