WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mengadakan pertemuan kedua dalam tempoh dua hari bagi membincangkan perkembangan rundingan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza.
Pertemuan yang berlangsung selama lebih sejam di Pejabat Oval, Rumah Putih, pada malam 7 Julai dipercayai memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk menyelaras pendirian menjelang fasa kritikal rundingan tersebut.
Menurut laporan, pertemuan itu diadakan secara tertutup tanpa kehadiran media.
Ia menyusuli mesyuarat pertama mereka pada malam sebelumnya semasa jamuan makan malam rasmi.
Lawatan kali ini merupakan kunjungan ketiga Encik Netanyahu ke Amerika sejak Encik Trump memulakan penggal kedua pentadbirannya pada Januari lalu.
Dalam kenyataan kepada media selepas pertemuan bersama Speaker Dewan Perwakilan Amerika daripada Parti Republikan, Encik Mike Johnson, Encik Netanyahu menegaskan bahawa operasi ketenteraan di Gaza masih belum berakhir.
“Kita masih perlu menyelesaikan tugas di Gaza, membebaskan semua tebusan dan memusnahkan sepenuhnya keupayaan ketenteraan dan pentadbiran Hamas,” katanya.
Namun begitu, beliau turut mengakui bahawa rundingan sedang berjalan.
“Para perunding sedang berusaha ke arah gencatan senjata,” ujarnya ringkas.
Utusan khas Trump ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, menyatakan bahawa rundingan tidak langsung antara Israel dengan Hamas kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Daripada empat isu utama, hanya satu masih belum dimuktamadkan.
“Kita berharap menjelang hujung minggu ini, perjanjian gencatan senjata sementara selama 60 hari dapat dicapai,” katanya kepada media semasa mesyuarat Kabinet di Rumah Putih.
Encik Witkoff turut mendedahkan bahawa perjanjian itu akan merangkumi pembebasan 10 tebusan Israel yang masih hidup serta pemulangan sembilan mayat.
Beliau menjelaskan, “perjanjian ini boleh menjadi langkah awal ke arah keamanan berkekalan di Gaza”.
Bagaimanapun, Qatar, yang menjadi tuan rumah rundingan tidak langsung itu bersama Amerika dan Mesir, menyatakan bahawa proses ini masih memerlukan masa.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, mengesahkan bahawa rundingan yang dimulakan pada 6 Julai lalu kini memasuki hari ketiga.
“Saya tidak boleh memberikan sebarang jangka masa, tetapi apa yang boleh saya katakan, kita perlukan lebih banyak masa,” ujar Encik Majed dalam satu sidang media.
Menurutnya, kedua-dua delegasi Israel dan Hamas masih berada di Doha, dan belum meninggalkan lokasi rundingan – satu tanda positif bahawa perbincangan belum menemui jalan buntu.
“Kami sedang berbincang secara berasingan dengan kedua-dua pihak mengenai kerangka perjanjian. Terdapat pembabitan positif setakat ini,” tambah beliau.
Encik Witkoff dijangka menyertai rundingan di Doha dalam masa terdekat bagi memperkukuh peranan Amerika sebagai perantara utama.
Sumber Palestin yang terlibat secara langsung dalam rundingan memberitahu bahawa belum ada kemajuan konkrit dicapai setakat ini.
Namun, wakil Qatar enggan mengulas lebih lanjut mengenai butiran perbincangan.
Menurut laporan Axios, delegasi Qatar telah bertemu dengan pegawai kanan Rumah Putih selama beberapa jam sebelum ketibaan Encik Netanyahu ke Amerika pada 8 Julai.
Encik Witkoff turut memaklumkan, perjanjian itu bakal menyaksikan pembebasan 10 tebusan rakyat Israel serta pemulangan sembilan mayat, dan yakin ia boleh membuka laluan kepada keamanan berkekalan di Gaza.
Perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023 apabila Hamas melancarkan serangan ke atas selatan Israel, mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menawan 251 tebusan, menurut data Israel.
Kini, seramai 50 tebusan masih ditahan, dengan hanya 20 orang disahkan masih hidup.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan balas yang mengakibatkan kematian lebih 57,000 penduduk Palestin, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Gaza.
Hampir keseluruhan penduduk Gaza kini menjadi pelarian, dan setengah juta berisiko kebuluran dalam beberapa bulan akan datang, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Encik Trump secara terbuka menyokong Encik Netanyahu, termasuk turut campur tangan dalam isu politik domestik Israel dengan mengkritik pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah terhadap Encik Netanyahu, yang melibatkan tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah – semua yang dinafikan oleh Encik Netanyahu.
Semasa bertemu anggota Kongres, Encik Netanyahu memuji hubungan dua hala yang kukuh antara Amerika dan Israel.
“Tidak pernah dalam sejarah negara kami, hubungan dengan Amerika Syarikat lebih erat daripada sekarang,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg