QATAR: Ketika lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke Timur Tengah menjadi tumpuan antarabangsa, satu perkembangan yang paling mencuri perhatian ialah keputusan pentadbirannya untuk menerima sebuah jet mewah Boeing 747-8 daripada kerajaan Qatar.

Walaupun digambarkan sebagai “hadiah”, pelbagai pihak mula mempersoalkan sama ada langkah itu sejajar dengan prinsip kewibawaan, etika perkhidmatan awam dan tadbir urus yang telus dalam sistem pemerintahan Amerika.

Jet Boeing 747-8 yang pernah dimiliki keluarga diraja Qatar bernilai ratusan juta dolar itu kini dalam pertimbangan untuk diserahkan kepada Jabatan Pertahanan Amerika.

Jet tersebut dirancang untuk digunakan sebagai Air Force One sementara, menggantikan dua pesawat sedia ada yang sudah menjangkau usia lebih 30 tahun.

Namun proses ubah suai yang diperlukan untuk menjadikan jet mewah itu selamat, boleh bertahan dalam keadaan peperangan dan dilengkapi sistem komunikasi rahsia presiden, dijangka menelan belanja ratusan juta dolar.

“Ini bukan hadiah sebenar,” kata Encik Joe Courtney, anggota Parti Demokrat dari Connecticut yang mengetuai jawatankuasa kecil berkaitan pengangkutan eksekutif.

“Anda perlu membongkar keseluruhan struktur dalaman pesawat dan membinanya semula untuk memenuhi semua keperluan keselamatan avionik dan komunikasi Air Force One,” tambah beliau.

Mantan pegawai Tentera Udara Amerika, Encik Kevin Buckley, pula menegaskan:

“Apa yang membezakan Air Force One bukanlah jenama pesawatnya, tetapi sistem dalamannya.

“Sistem itu perlu tahan gangguan elektromagnetik, memiliki sistem komunikasi rahsia dan langkah pertahanan diri yang sukar ditiru.”

Menurut sumber rasmi, pesawat tersebut yang pernah digunakan oleh keluarga diraja Qatar, sedang dinilai untuk dijadikan sebahagian daripada armada presiden Amerika.

Namun, untuk menjadikannya setaraf dengan Air Force One, ia perlu menjalani ubah suai secara menyeluruh termasuk pemasangan sistem komunikasi rahsia, perlindungan elektromagnetik, serta kelengkapan keselamatan dan pertahanan.

Proses pengubahsuaian sedemikian bukan sesuatu yang mudah.

Menurut mantan Ketua Pemerolehan Tentera Udara Amerika, Encik Andrew Hunter, usaha memodenkan pesawat itu memerlukan sumber tenaga kerja mahir, kelulusan keselamatan tinggi dan peruntukan bajet yang besar.

“Walaupun pesawat itu mungkin diserahkan tanpa bayaran, hakikatnya kos sebenar datang daripada proses pengubahsuaian dan penyelenggaraan jangka panjang,” jelas beliau.

Menurut sumber Tentera Udara, kos retrofit atau reka bentuk naik taraf yang diperlukan dijangka menyamai satu kitaran penyelenggaraan berat pesawat khas VC-25A atau Air Force One itu boleh mencecah ratusan juta dolar.

“Sama ada Qatar tidak lagi mampu menanggung kos penyelenggaraan, atau mereka tahu Amerika akan menyerap beban kos itu,” kata Encik Hunter.

Encik Trump pula membalas kritikan tersebut melalui kenyataan di wadah media sosial, dengan mendakwa tindakan menerima pesawat itu adalah “perjanjian pintar” dan mengutuk pengkritiknya sebagai “penentang kejayaan ekonomi”.

“Saya tidak akan menolak pesawat mewah yang sangat mahal. Hanya orang bodoh akan buat begitu,” tulis beliau.

Penerimaan hadiah daripada kerajaan asing oleh mana-mana pegawai tertinggi Amerika tertakluk kepada Perkara 1, Seksyen 9 Perlembagaan Amerika, yang melarang pegawai persekutuan menerima “hadiah, imbuhan, pejabat atau gelaran” daripada mana-mana raja atau negara asing tanpa kebenaran rasmi Kongres.

Walaupun terdapat laporan Jabatan Kehakiman telah mengeluarkan memo bagi meluluskan penerimaan pesawat tersebut, ramai pakar perundangan dan mantan pegawai etika Rumah Putih tetap mempersoalkan sama ada pewajaran itu benar-benar bebas daripada pengaruh politik.

“Kita tidak bercakap tentang hadiah biasa, ini adalah aset strategik. Persepsi bahawa pejabat Presiden digunakan untuk keuntungan peribadi menjejaskan kredibiliti institusi pemerintah,” kata seorang mantan penasihat etika Presiden.

Lebih membimbangkan, selepas digunakan dalam tempoh pentadbiran, pesawat itu dikatakan akan dipindahkan ke perpustakaan presiden Trump.

Walaupun perpustakaan presiden biasanya berfungsi sebagai pusat dokumentasi dan penyelidikan, dalam kes ini, ia dimiliki oleh yayasan persendirian yang dikawal oleh sekutu politik Encik Trump, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada jet tersebut akan terus digunakan untuk tujuan peribadi.

Beberapa ahli Kongres Demokrat menyelar rancangan Encik Trump menerima pesawat Qatar sebagai tidak sah dan satu bentuk rasuah moden.

“Perjanjian ini hanyalah pengalih perhatian daripada kelewatan projek Air Force One sedia ada, dan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan,” kata Encik Rick Larsen daripada Parti Demokrat.

Boeing sebelum ini telah menandatangani kontrak tetap bernilai AS$3.9 bilion ($5.08 bilion) untuk membina dua pesawat VC-25B, tetapi projek tersebut mengalami pelbagai kelewatan dan kos tambahan.

Kini, pentadbiran Encik Trump mendakwa pihaknya mungkin beralih kepada pesawat Qatar sebagai penyelesaian sementara.

Qatar mempunyai hubungan kompleks dengan Amerika.

Negara Teluk itu menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera Amerika yang terbesar di rantau tersebut, dan dalam masa yang sama memainkan peranan penting dalam pelbagai rundingan diplomatik termasuk konflik Afghanistan, Iran dan Gaza.

Oleh itu, penyerahan pesawat mewah itu walaupun digambarkan sebagai “hadiah ikhlas” tetap menimbulkan persoalan tentang motif di sebalik langkah tersebut.

Dalam masa yang sama, soalan turut timbul mengenai motif Qatar dalam menawarkan pesawat bernilai tinggi kepada Presiden Amerika.

Walaupun secara rasmi ia digambarkan sebagai “tanda penghargaan”, pengamat politik antarabangsa menyatakan langkah itu boleh dianggap sebagai pelaburan diplomatik.

Ia secara tidak langsung meningkatkan pengaruh Qatar terhadap dasar luar Washington, terutama dalam isu Timur Tengah seperti konflik Gaza, Syria, dan hubungan dengan Iran.

“Perkara seperti ini membuka ruang kepada ‘diplomasi urus niaga’ yang mengutamakan hubungan peribadi pemimpin berbanding kepentingan awam,” ujar seorang penyelidik dasar luar dari Brookings Institution.

“Apa yang sedang kita lihat bukan sekadar pencampuran kepentingan peribadi dan pemerintah. Ini ialah strategi sistematik untuk menjadikan kedudukan sebagai presiden sebagai alat kekayaan peribadi,” kata Dr Robert Mogielnicki dari Arab Gulf States Institute.

Encik Trump membandingkan rancangan penerimaan pesawat Qatar itu dengan pesawat Boeing 707 milik Presiden, Encik Ronald Reagan, yang kini dipamerkan di muzium presidennya di California.

Namun, ramai penganalisis berpendapat perbandingan tersebut tidak wajar, memandangkan pesawat yang digunakan oleh mendiang Encik Reagan telah dinyahaktif sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi kepada Tentera Udara Amerika sebagai aset pemerintah sebelum dipamerkan untuk tujuan pendidikan dan sejarah. – Agensi berita.