Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rundingan awal Israel-Hamas gagal capai kata sepakat

Trump yakin perjanjian tebusan mungkin dimeterai minggu ini menjelang pertemuan dengan Netanyahu di AS
Jul 7, 2025 | 10:36 AM
Kem Nuseirat, pelarian Palestin, gaza
Orang ramai berkumpul di luar sebuah bangunan yang terkena serangan udara Israel di Kem Nuseirat untuk pelarian Palestin di tengah Jaluran Gaza pada 6 Julai. - Foto AFP

DOHA: Pusingan pertama rundingan gencatan senjata secara tidak langsung antara Hamas dengan Israel yang berlangsung di Qatar berakhir tanpa keputusan muktamad, menurut dua sumber Palestin yang dekat dengan perbincangan itu awal pagi 7 Julai.

Delegasi Israel dikatakan hadir ke meja rundingan tanpa kuasa penuh untuk membuat keputusan yang mengikat.

“Delegasi Israel tidak mempunyai kuasa sebenar untuk mencapai persetujuan dengan Hamas kerana mereka tidak diberi mandat yang mencukupi,” kata sumber itu kepada agensi Reuters.

Rundingan ini disambung pada 6 Julai, menjelang lawatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Rumah Putih – yang ketiga sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kembali berkuasa awal 2025.

Encik Netanyahu sebelum berlepas ke Washington menyatakan bahawa pasukan perundingnya telah diberi arahan jelas untuk mencapai perjanjian berdasarkan syarat yang diterima oleh Israel.

“Kami berusaha mencapai perjanjian yang telah kita bincangkan, mengikut syarat yang telah dipersetujui,” katanya.

Dalam sidang media pada 6 Julai, Encik Trump menyatakan keyakinannya bahawa akan berlaku perjanjian penyerahan tebusan dengan Hamas dalam minggu ini.

“Saya rasa ada peluang yang baik kita dapat perjanjian dengan Hamas minggu ini,” katanya kepada wartawan.

Encik Trump turut menekankan bahawa Amerika sedang bekerjasama rapat dengan Israel dalam pelbagai perkara termasuk potensi perjanjian kekal dengan Iran.

Beliau turut mengulangi dakwaan bahawa serangan Amerika semasa konflik 12 hari dengan Iran “memusnahkan” prasarana nuklear republik Islam itu.

“Kami telah berjaya mendapatkan ramai tebusan, tetapi yang selebihnya juga akan dibebaskan,” ujar Encik Trump, merujuk kepada baki tebusan yang masih ditahan Hamas sejak serangan pada Oktober 2023.

Pada malam 5 Julai, ribuan rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv berhampiran ibu pejabat kementerian pertahanan untuk mendesak pemerintah menyegerakan perjanjian gencatan senjata dan membawa pulang sekitar 50 tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Mereka membawa bendera Israel dan poster wajah tebusan sambil melaungkan slogan mendesak penyelesaian segera.

Menurut data rasmi Israel, serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 telah meragut nyawa sekitar 1,200 orang dan mengakibatkan 251 individu dijadikan tebusan.

Sehingga kini, seramai 49 tebusan masih belum dibebaskan, dengan 27 daripadanya dipercayai telah meninggal dunia.

Sumber Palestin memberitahu AFP bahawa rundingan semasa ini melibatkan cadangan gencatan senjata selama 60 hari, di mana Hamas akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup dan beberapa mayat sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel.

Bagaimanapun, Hamas turut mengemukakan beberapa tuntutan, termasuk jaminan bahawa Israel tidak akan meneruskan serangan semasa tempoh rundingan, pengunduran tentera secara berperingkat, dan pemulangan sistem pengagihan bantuan kemanusiaan di bawah kelolaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami sedang berbincang mengenai mekanisme pelaksanaan dan pertukaran tebusan. Semua posisi sedang disampaikan melalui perantara,” kata seorang pegawai Palestin yang mengikuti rundingan di Doha.

Sementara rundingan berterusan, keganasan di Gaza tidak menunjukkan tanda reda.

Pada 6 Julai, agensi pertahanan awam Gaza melaporkan seramai 26 orang terbunuh dalam serangan udara Israel, termasuk 10 mangsa dalam serangan awal pagi di kejiranan Sheikh Radwan, Bandar Gaza.

“Keluarga saya masih terperangkap di bawah runtuhan,” kata Encik Osama al-Hanawi kepada AFP ketika mencari mangsa dengan tangan kosong.

“Kita kehilangan anak muda, keluarga dan kanak-kanak setiap hari, dan ini mesti dihentikan sekarang. Darah yang mengalir sudah cukup banyak.”

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa lain melaporkan bahawa lebih 500 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di lokasi agihan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza – sebuah badan yang disokong oleh Israel dan Amerika.

Jumlah itu menurut Kementerian Kesihatan Gaza telah meningkat kepada 751 orang.

Cik Karima al-Ras, seorang penduduk Khan Yunis, berkata: “Kami berharap satu gencatan senjata akan diumumkan agar bantuan dapat disalurkan.”

Katanya lagi: “Orang ramai mati kerana kekurangan tepung.” Namun, banyak agensi kemanusiaan enggan bekerjasama dengan GHF atas kebimbangan ia digunakan untuk menyokong objektif ketenteraan Israel.

Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, sekali lagi menyuarakan kritikan keras terhadap Israel semasa sidang Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) di Rio de Janeiro.

“Kita tidak boleh berdiam diri terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di Gaza, pembunuhan tidak berpilih terhadap orang awam, dan penggunaan kelaparan sebagai senjata,” kata Encik Lula kepada pemimpin dari China, India dan negara lain.

Sehingga kini, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas, lebih 57,000 penduduk Gaza kebanyakannya orang awam telah terbunuh sejak bermulanya serangan Israel. PBB menyatakan bahawa angka tersebut boleh dipercayai. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg