Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Keputusan Hamas terima cadangan gencatan senjata akan diketahui dalam 24 jam

Jul 4, 2025 | 2:52 PM
Beberapa penduduk Palestin kelihatan bergerak ke lokasi pengagihan bantuan kemanusiaan yang disalurkan melalui Koridor Netzarim di tengah Jaluran Gaza, pada 3 Julai 2025. Mereka melalui kawasan pengeluaran tenaga solar sementara yang dibina di Jalan Al-Rashid, di barat Bandar Gaza.
Beberapa penduduk Palestin kelihatan bergerak ke lokasi pengagihan bantuan kemanusiaan yang disalurkan melalui Koridor Netzarim di tengah Jaluran Gaza, pada 3 Julai 2025. Mereka melalui kawasan pengeluaran tenaga solar sementara yang dibina di Jalan Al-Rashid, di barat Bandar Gaza. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata pada 4 Julai bahawa kemungkinan besar keputusan sama ada kumpulan Hamas, akan menerima apa yang digelar beliau sebagai “cadangan muktamad” bagi gencatan senjata Israel-Hamas di Gaza akan diketahui dalam tempoh 24 jam.

Encik Trump turut menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Arab Saudi mengenai peluasan Perjanjian Abraham iaitu perjanjian pemulihan hubungan yang telah dirunding oleh pentadbirannya antara Israel dan beberapa negara Teluk semasa penggal pertama beliau sebagai presiden.

Encik Trump berkata pada 1 Julai bahawa Israel telah bersetuju dengan syarat-syarat yang diperlukan untuk memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari dengan Hamas, dan sepanjang tempoh itu kedua-dua pihak akan berusaha menamatkan perang.

Ketika ditanya pada 4 Julai sama ada Hamas telah bersetuju dengan rangka kerja perjanjian gencatan senjata terkini, beliau menjawab: “Kita akan lihat apa yang berlaku, kita akan tahu dalam tempoh 24 jam akan datang.”

Satu sumber yang rapat dengan Hamas berkata pada 3 Julai bahawa kumpulan Islam itu mahukan jaminan bahawa cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat itu akan membawa kepada penamatan perang Israel di Gaza.

Dua pegawai Israel pula berkata bahawa perincian lanjut masih dalam proses dimuktamadkan. Puluhan rakyat Palestin dilaporkan terbunuh pada 3 Julai dalam serangan udara Israel, menurut pihak berkuasa Gaza.

Pertumpahan darah terbaru dalam konflik Israel-Palestin yang berlarutan sejak beberapa dekad itu tercetus pada Oktober 2023 apabila Hamas menyerang Israel, membunuh 1,200 orang dan menawan sekitar 250 tebusan, menurut catatan rasmi Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza pula menyatakan bahawa serangan balas tentera Israel telah mengorbankan lebih 56,000 rakyat Palestin. Serangan itu turut menyebabkan krisis kelaparan, memaksa keseluruhan penduduk Gaza menjadi pelarian dalam negeri serta mencetuskan dakwaan jenayah genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Israel menafikan semua dakwaan tersebut.

Gencatan senjata dua bulan sebelum ini berakhir selepas serangan udara Israel pada 18 Mac mengorbankan lebih 400 rakyat Palestin. Encik Trump sebelum ini pernah mencadangkan agar Amerika Syarikat mengambil alih pentadbiran Gaza, satu cadangan yang menerima kecaman antarabangsa oleh pakar hak asasi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakyat Palestin sebagai satu bentuk “pembersihan etnik”.

Encik Trump turut mengulas mengenai Perjanjian Abraham apabila ditanya tentang laporan media Amerika lewat 3 Julai bahawa beliau telah bertemu Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, di Rumah Putih.

“Itu antara perkara yang kami bincangkan,” kata Encik Trump. “Saya rasa banyak lagi negara akan menyertai Perjanjian Abraham,” tambah beliau, sambil merujuk kepada kesan serangan terkini Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Laman berita Axios melaporkan bahawa selepas pertemuan dengan Encik Trump, pegawai Arab Saudi tersebut telah membuat panggilan telefon kepada Encik Abdolrahim Mousavi, Ketua Turus Umum Angkatan Tentera Iran.

Pertemuan Trump dengan pegawai Arab Saudi itu berlangsung menjelang lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke Washington pada 7 Julai. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg