RIYADH: Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi telah melancarkan talian bebas tol 24 jam (800-2451000) untuk membantu jemaah haji mendapatkan maklumat dan panduan agama serta fatwa sepanjang musim haji 2025.
Talian ini menyediakan panduan agama dalam 10 bahasa: Arab, Inggeris, Perancis, Turkey, Urdu, Indonesia, Bengali, Hausa, Amharic, dan Hindi.
Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memudahkan jemaah menunaikan ibadah haji mengikut syariat Islam.
“Talian ini membolehkan komunikasi langsung antara jemaah dengan ulama yang terpilih dan jurubahasa profesional. Dengan ini, jemaah dapat menerima sokongan agama yang tepat dan boleh dipercayai,” kata jurucakap kementerian dalam satu kenyataan.
Menteri Hal Ehwal Islam turut mengarahkan 300 ulama dan pendakwah untuk menyediakan fatwa dan ceramah khusus bagi kempen haji domestik 2025.
Sementara itu, kementerian juga meneruskan usaha memberi khidmat kesedaran dan bimbingan kepada jemaah di Masjid Aisyah, salah satu lokasi utama di Makkah yang sering dikunjungi jemaah. Khidmat ini termasuk penyiaran mesej kesedaran dalam pelbagai bahasa melalui skrin elektronik untuk meningkatkan pemahaman agama dan memudahkan pelaksanaan ibadah.
Selain itu, pasukan pemantauan lapangan yang terdiri daripada lelaki dan wanita menjalankan rondaan sepanjang masa untuk memantau mutu perkhidmatan dan segera menangani sebarang isu.
Kementerian turut memastikan ketersediaan naskhah Al-Quran dan terjemahannya dalam pelbagai bahasa, serta mengatur pergerakan jemaah di dalam dan sekitar masjid agar perjalanan ibadah lebih lancar dan selesa.
Dalam usaha meningkatkan keselesaan jemaah, Arab Saudi juga telah memperluas penggunaan jalan penyejuk dan jalan bergetah bagi mengurangkan kesan haba melampau sepanjang perjalanan ibadah haji.
Inisiatif ini, yang dimulakan pada 2023, bertujuan menurunkan suhu permukaan tanah dan meningkatkan pengalaman berjalan kaki semasa perjalanan panjang antara lokasi suci.
Pada 2025, kawasan jalan penyejuk di dataran Arafah, tempat kemuncak ibadah wuquf telah diperluas sebanyak 82 peratus meliputi lebih 84,000 meter persegi, menurut pihak berkuasa Jalan Raya Arab Saudi (RGA).
Sistem penyejukan ini menggunakan bahan tempatan yang menyerap lebih sedikit pancaran matahari, menurunkan suhu permukaan sekitar 12 darjah Celsius serta meningkatkan pemantulan cahaya matahari antara 30 hingga 40 peratus pada waktu pagi.
RGA turut menyatakan bahawa inisiatif ‘Jalan Getah Fleksibel’ yang diperkenalkan pada 2024 telah diperluas sebanyak 33 peratus.
Teknik ini direka untuk mengurangkan risiko kecederaan kaki, khususnya kepada jemaah warga emas, dengan melembutkan permukaan jalan menggunakan bahan getah untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan pergerakan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg