Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi lantik Sheikh Saleh al-Fawzan sebagai Mufti Besar baru

Oct 24, 2025 | 2:38 PM
Imej tangkapan skrin daripada rakaman televisyen rasmi Arab Saudi ini memperlihatkan Sheikh Saleh bin Fawzan al-Fawzan, yang dilantik sebagai Mufti Besar Arab Saudi pada Rabu, 22 Oktober 2025.
Imej tangkapan skrin daripada rakaman televisyen rasmi Arab Saudi ini memperlihatkan Sheikh Saleh bin Fawzan al-Fawzan, yang dilantik sebagai Mufti Besar Arab Saudi pada Rabu, 22 Oktober 2025. - Foto Fail

RIYADH: Arab Saudi melantik seorang ulama konservatif berusia lebih 90 tahun sebagai ketua tertinggi agama negara itu, sekali gus mengekalkan tradisi lama walaupun negara itu sedang mengalami perubahan sosial yang pesat.

Sheikh Saleh bin Fawzan bin Abdullah Al-Fawzan diumumkan sebagai Mufti Besar Arab Saudi melalui perintah diraja, lapor agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA pada malam 22 Oktober. Di bawah perintah itu, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Majlis Ulama Tertinggi dan Presiden Jawatankuasa Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa, dengan taraf setaraf menteri.

Sheikh al-Fawzan memiliki ijazah universiti dalam Undang-Undang Syariah, sarjana dengan tesis bertajuk “Seni Pembahagian Harta Pusaka”, dan ijazah kedoktoran mengenai makanan halal dan haram berdasarkan dalil hukum Islam.

Beliau dilahirkan pada 28 September 1935 di wilayah al-Qassim, Arab Saudi. Selepas kematian bapanya, beliau mempelajari al-Quran daripada imam tempatan sebelum menonjol sebagai sarjana terkenal melalui program radio “Noor ala al-Darb” (Cahaya di Jalan), buku-buku agama, serta penampilan tetap di televisyen.

Menurut laporan Al Arabiya, Sheikh al-Fawzan memulakan kerjaya akademiknya di Institut Sains Riyadh, kemudian mengajar di Kolej Syariah dan Kolej Asas Agama. Beliau pernah menjadi Pengarah Institut Tinggi Kehakiman sebelum kembali mengajar di sana selepas menamatkan tempoh perkhidmatannya.

Selain itu, beliau turut aktif dalam pelbagai badan keagamaan utama seperti Majlis Ulama Tertinggi dan Majlis Fiqh di Mekah. Setiap musim haji, Sheikh al-Fawzan mengetuai program kesedaran Islam bagi para pendakwah dan jemaah.

Pelantikan ini menandakan kesinambungan tradisi lama dalam hierarki keagamaan Arab Saudi. Namun, ia juga menyimpang sedikit daripada kebiasaan, kerana jawatan Mufti Besar selama beberapa dekad lazimnya disandang oleh tokoh daripada keluarga al-Sheikh, keturunan Sheikh Muhammad Ibn Abdul-Wahhab, pengasas fahaman Wahhabisme yang menjadi asas kepada doktrin agama negara itu.

Fahaman ini telah membentuk identiti keagamaan Arab Saudi sejak abad ke-18 dan menjadi semakin berpengaruh selepas Revolusi Islam Iran 1979, ketika kerajaan Saudi memperkukuh kedudukan ulama konservatif dalam masyarakat.

Sebagai Mufti Besar, Sheikh al-Fawzan kini menjadi antara tokoh ulama Sunni paling berpengaruh di dunia, dan fatwanya akan diperhatikan dengan dekat oleh umat Islam global. Arab Saudi, sebagai penjaga dua kota suci Islam – Makkah dan Madinah, memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju isu-isu keagamaan antarabangsa.

Walaupun Arab Saudi kini giat melaksanakan pembaharuan sosial di bawah pimpinan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman termasuk membenarkan wanita memandu, membuka pawagam, serta memperluas peluang pekerjaan untuk wanita pelantikan ini menunjukkan bahawa pengaruh institusi keagamaan konservatif masih kukuh.

Pemerhati melihat langkah ini sebagai usaha menyeimbangkan antara tradisi agama dan transformasi sosial, di mana kerajaan berusaha mengekalkan sokongan ulama sambil melaksanakan visi moden seperti Wawasan 2030.

Seorang penganalisis di Riyadh berkata, “Pelantikan Sheikh al-Fawzan bukan sekadar simbol kesinambungan, tetapi juga mesej bahawa perubahan sosial tidak akan menjejaskan asas agama negara.”

Dengan pelantikan ini, Arab Saudi mengisyaratkan bahawa meskipun negara itu semakin terbuka kepada dunia moden, agama tetap menjadi teras identiti nasionalnya. Sheikh Saleh al-Fawzan, dengan pengalaman panjang dan ketokohannya dalam bidang syariah, kini diamanahkan untuk memimpin masyarakat Islam negara itu menghadapi cabaran era baharu antara tradisi dan transformasi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg