RIYADH: Kementerian Perbandaran dan Perumahan Arab Saudi telah menguatkuasakan larangan penjualan semua jenis produk tembakau di kedai runcit dan reruai di seluruh negara, sebagai sebahagian daripada langkah mempertingkat keselamatan makanan dan kesihatan awam.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan 14 Julai lalu, larangan ini merangkumi semua produk tembakau berbungkus dan berlesen oleh Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Arab Saudi. Produk yang termasuk dalam larangan ini adalah rokok biasa, rokok elektronik, shisha dan seumpamanya.
“Kedai runcit tidak lagi dibenarkan menjual produk tembakau. Ia hanya boleh menjual produk makanan berbungkus, barangan penjagaan diri, bahan pencuci, produk plastik dan kertas,” menurut kenyataan itu.
Larangan ini turut meliputi reruai atau kiosk—kemudahan kecil yang boleh berdiri sendiri, sama ada berdinding atau tidak—yang menjalankan aktiviti penjualan barangan runcit. Kementerian turut menetapkan keluasan minimum 24 meter persegi bagi kedai runcit dan 4 meter persegi bagi kiosk di dalam pusat beli-belah, lapor Saudi Gazette.
Menurut peraturan baru, semua produk tembakau mesti disimpan di dalam laci tertutup dan tidak boleh dilihat oleh pelanggan. Penjual juga dilarang menjualnya kepada sesiapa yang berusia di bawah 18 tahun. Mereka diberi hak untuk meminta bukti umur pembeli sebelum urusan jual beli dilakukan.
Seorang jurucakap kementerian berkata: “Langkah ini adalah untuk melindungi kesihatan awam dan mengurangkan pendedahan produk tembakau kepada golongan muda.”
Sebagai tambahan, saiz minimum bagi premis perniagaan juga ditetapkan: 10 meter persegi untuk reruai di atas tanah komersial, 100 meter persegi untuk pasar raya, dan 500 meter persegi untuk pasar raya besar.
Pihak kementerian juga menetapkan bahawa lokasi premis perniagaan mestilah terletak di jalan komersial, dan memerlukan kelulusan Jabatan Pertahanan Awam sebelum lesen boleh dikeluarkan. Lesen perniagaan yang sah serta pendaftaran aktiviti juga mesti dikemukakan.
Kementerian turut memperkenalkan peraturan ketat untuk lokasi kiosk, termasuk jarak minimum enam meter dari pintu masuk bangunan dan 1.8 meter dari laluan pejalan kaki. Kiosk di atas tanah komersial mesti menyediakan laluan khas untuk perkhidmatan kenderaan.
Peraturan baru ini membenarkan kiosk beroperasi di tempat letak kereta dalam kompleks komersial, dengan syarat kelulusan diperoleh daripada pihak berkuasa dan kapasiti parkir tidak terjejas.
Kementerian juga membenarkan penambahan aktiviti lain di kiosk, namun bersyarat. Kawasan tambahan tidak boleh melebihi 50 peratus daripada keluasan asal dan mesti sekurang-kurangnya enam meter persegi.
Bagi pasar raya dan pasar raya besar, aktiviti tambahan yang dibenarkan termasuk penjualan kekacang, kopi, rempah ratus tanpa bungkus, sayur-sayuran, buah-buahan, keju, jeruk, salad segar, daging segar dan sejuk, makanan laut segar serta produk tembakau.
Namun begitu, pengendalian farmasi, telefon bimbit dan restoran hanya dibenarkan di pasar raya besar. Kementerian turut menetapkan penggunaan warna dan logo yang seragam dalam penjenamaan kedai: hanya empat warna dibenarkan iaitu kuning dan tiga tona hijau.
“Perubahan ini bertujuan memelihara kesihatan awam, mengurangkan pelanggaran persekitaran dan struktur, serta memastikan kelancaran pergerakan pelanggan di kawasan komersial,” menurut kementerian.
Antara penambahbaikan lain termasuk syarat penyimpanan makanan, tanda perniagaan, dan peralatan asas keselamatan makanan di semua jenis premis yang terlibat.
Langkah ini disifatkan oleh banyak pihak sebagai satu usaha penting dalam membina persekitaran perniagaan yang lebih sihat dan tersusun di seluruh Arab Saudi.
Tools
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg