Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah mengemukakan permintaan tambahan bagi kuota haji untuk Singapura, di samping kuota rasmi 900 yang telah ditetapkan bagi umat Islam di sini.
Beliau mengemukakan permintaan tersebut kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, sempena menandatangani Perjanjian Haji bagi Singapura bagi musim haji 2026, di Jeddah.
Permintaan tersebut dibuat tatkala bakal jemaah haji Singapura perlu mendapatkan sijil kesihatan oleh doktor untuk mengesahkan mereka sihat bagi ibadah haji.
Langkah sebut dibuat sejajar dengan kriteria lebih ketat yang dikenakan pihak berkuasa Arab Saudi.
Dalam satu hantaran Facebook pada 10 November, Dr Faishal berkata:
“Saya berbesar hati bertemu Dr Tawfiq Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, bagi menandatangani Perjanjian Haji untuk Singapura bagi musim Haji 2026. Ini adalah detik penting yang mengesahkan secara rasmi kuota haji bagi jemaah Singapura bagi musim akan datang.
“Dalam pertemuan tersebut, saya juga menyampaikan hasrat mendalam kita semua agar Singapura diberi kuota haji tambahan, melebihi kuota rasmi 900 (anggota) jemaah supaya lebih ramai jemaah kita dapat mengerjakan ibadah haji,” kata Dr Faishal.
Kuota rasmi bagi musim haji 2026 adalah sama seperti tahun-tahun sebelum ini.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), melakukan rangka lawatan kerja ke Arab Saudi dan Jordan dari 6 hingga 11 November.
Beliau menambah perjanjian yang telah dimeterai bukan sahaja mengetengahkan kuota rasmi bagi negara, ia turut “mencerminkan kepercayaan dan persahabatan antara kedua-dua negara”.
Ini di samping komitmen bersama antara kedua-dua negara bagi memastikan ibadah haji berjalan lancar, selamat dan penuh keberkatan, tambah Dr Faishal.
“Singapura sentiasa bersiap siaga menyokong jemaah haji kita, dengan sistem yang kukuh, tadbir urus yang baik dan kerja rapat bersama Kementerian Haji dan Umrah (Mohu) Arab Saudi,” ujarnya.
Dalam satu hantaran berasingan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 10 November,berkata pemeteraian perjanjian itu mengesahkan lagi jalinan kukuh Singapura dengan Arab Saudi.
“Kami sedia maklum ramai daripada golongan masyarakat Melayu/Islam mengharapkan lebih banyak peruntukan (bagi kuota haji).
“Singapura telah mengetengahkan kebimbangan sedemikian dan menampilkan kemahuan kami bagi kuota lebih besar pada pada 2027 agar lebih ramai orang Islam dapat mencapai impian mereka untuk menunaikan ibadah haji,” kata Muis.
Dr Faishal berkata beliau turut mengambil peluang mengunjungi Persidangan dan Pameran Haji selepas menandatangani perjanjian tersebut.
Edisi kelima persidangan itu menghimpunkan pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa dalam usaha meningkatkan kerjasama dan mutu perkhidmatan bagi musim haji.
Beliau bertemu dengan wakil daripada Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) yang hadir di persidangan tersebut.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SPAO dan Amtas atas kerjasama erat serta komitmen mereka demi membantu jemaah kita.
“Kepada masyarakat Muslim di Singapura, saya mahu memberi jaminan bahawa agensi dan rakan kongsi kita sedang berusaha gigih memastikan jemaah kita mendapat bimbingan, kemudahan dan pengalaman ibadah yang terbaik,” tambahnya.
Dr Faishal sebelum ini meninjau beberapa tapak utama haji di Makkah, termasuk Arafah, Mina dan Shisha, yang bakal dilewati jemaah Singapura apabila mereka menunaikan haji pada 2026.
Ini merupakan sebahagian usaha Muis – yang sedang bekerjasama rapat dengan rakan kerjanya agar dapat mempertingkatkan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan jemaah Singapura, kata Dr Faishal dalam hantaran media sosial pada 9 November.
Tinjauan beliau ke tapak-tapak sedemikian dalam rangka lawatannya ke Arab Saudi, tambahnya, membolehkan beliau meraih pengetahuan berharga dalam memahami pengalaman jemaah.
Ini meliputi antara lain, pengalaman penginapan dan kemudahan, logistik dan pergerakan jemaah semasa mengerjakan ibadah haji.
Musim haji 2026 dijangka bermula pada penghujung Mei 2026, dengan Hari Arafah, iaitu kemuncak haji, dijangka pada 25 Mei atau 26 Mei, bergantung pada pengumuman pihak berkuasa di Arab Saudi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg