Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal tinjau tapak utama haji, usaha tingkat keselesaan jemaah S’pura

Nov 9, 2025 | 6:55 PM
Dr Faishal Ibrahim, Makkah, haji
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan) berkunjung ke tapak utama haji di Makkah, Arafah dan tapak perkhemahan Mina yang sedang menjalani pembinaan untuk bersiap sedia bagi musim Haji 2026. - Foto MDDI

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah berkunjung ke beberapa tapak utama haji di Makkah, termasuk Arafah, Mina dan Shisha, yang bakal dilewati jemaah Singapura apabila mereka menunaikan haji tahun depan.

Ini merupakan sebahagian usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang sedang bekerjasama rapat dengan rakan kerjanya agar dapat mempertingkatkan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan jemaah Singapura, kata Dr Faishal dalam satu hantaran di media sosial pada 9 November.

Perjalanan meninjau tapak-tapak tersebut dalam rangka lawatannya ke Arab Saudi, kata Dr Faishal, membolehkan beliau meraih pengetahuan berharga dalam memahami pengalaman jemaah, daripada penginapan dan kemudahan, hinggalah logistik dan pergerakan jemaah semasa mengerjakan ibadah haji.

Beliau menambah bahawa kunjungan tersebut memberinya pemahaman lebih mendalam tentang skala dan kerumitan operasi haji, lantas membantunya dalam membuat persiapan bagi mesyuarat akan datang.

Ini termasuk penandatanganan Perjanjian Haji serta Pameran dan Persidangan Haji dan Umrah, yang mana perbincangan tentang cara memberi sokongan terbaik kepada jemaah akan diteruskan.

“Setiap perjalanan haji bermula jauh lebih lama sebelum langkah pertama di Makkah. Ia bermula dengan perancangan, kerjasama dan komitmen bersama untuk berkhidmat kepada jemaah kami dengan penjagaan terbaik dan kecemerlangan sedang mereka memenuhi rukun Islam kelima,” ujarnya.

Selain itu, Dr Faishal menghadiri majlis makan malam sempena Persidangan dan Pameran Haji 2025, di Jeddah pada malam 8 November.

Beliau meluahkan kegembiraan atas peluang bertemu dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Beliau berbesar hati juga kerana dapat bertemu semula rakan-rakan Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) yang baru ditemuinya bulan lalu di Melaka sempena Persidangan Mabims 2025.

“Majlis seperti ini memperkukuh iltizam kami sebagai pemimpin dari seluruh dunia bahawa matlamat utama adalah untuk memastikan ibadah haji berjalan dengan selamat, lancar dan penuh keberkatan untuk semua jemaah.

“Saya akan berusaha untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama kami yang akrab ini pada tahun-tahun mendatang, insyaAllah,” tulisnya.

Dr Faishal dijadual melawat Arab Saudi dan Jordan dari 6 November hingga 11 November atas lawatan kerja.

Ia merupakan lawatan pertamanya ke kedua-dua negara itu sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Lawatan kerja itu bertujuan memperkukuh hubungan keagamaan dan kemanusiaan Singapura dengan Saudi dan Jordan, menurut Muis sebelum ini.

Di Jordan, Dr Faishal dijangka menyaksikan majlis penyerahan simbolik sumbangan Singapura berupa produk prostetik kepada inisiatif Jordan, Restoring Hope, yang membantu rakyat Palestin yang kehilangan anggota badan akibat konflik di Gaza.

Beliau turut dijadual bertemu dengan pelajar Singapura di kedua-dua Saudi dan Jordan untuk mendengar pandangan serta pengalaman mereka sebagai pelajar di luar negara.

Dr Faishal diiringi Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Azree Rahim, serta beberapa pegawai kanan pemerintah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg