Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi: Sikap Israel halang lawatan ke Tebing Barat ‘fahaman pelampau’

Mesyuarat sepatutnya libat menteri dari Jordan, Mesir, Arab Saudi, Qatar dan UAE
Jun 2, 2025 | 1:52 PM
gaza, israel
Israel berkata ia tidak akan membenarkan mesyuarat yang dirancang pada 1 Jun, yang melibatkan menteri dari Jordan, Mesir, Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Tebing Barat. - Foto AFP

AMMAN: Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud, berkata keengganan pemerintah Israel membenarkan delegasi menteri Arab memasuki Tebing Barat yang didudukinya menunjukkan “fahaman pelampau dan penolakan terhadap perdamaian”.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Amman, Jordan, bersama rakan sejawat dari Jordan, Mesir dan Bahrain, selepas mereka bertemu sebagai sebahagian daripada kumpulan menteri Arab yang dijadual berjumpa Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, di Ramallah.

“Penolakan Israel terhadap lawatan jawatankuasa ke Tebing Barat mencerminkan dan mengesahkan sifat pelampau mereka serta keengganan untuk (menyokong) sebarang usaha serius ke arah jalan perdamaian.

“Ia menguatkan lagi tekad kami untuk menggandakan usaha diplomatik bersama masyarakat antarabangsa bagi menghadapi keangkuhan ini,” kata menteri Saudi itu.

Pada 31 Mei, Israel – yang mengawal sempadan dan ruang udara wilayah Palestin yang diduduki – berkata ia tidak akan membenarkan mesyuarat yang dirancang pada 1 Jun, yang sepatutnya melibatkan menteri dari Jordan, Mesir, Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Seorang pegawai Israel berkata Encik Abbas “berhasrat mengadakan satu mesyuarat bersifat provokatif bersama menteri luar negara Arab di Ramallah untuk membincangkan usaha mempromosikan penubuhan negara Palestin”.

“Negara sedemikian pastinya akan menjadi sebuah negara pengganas di tengah-tengah Tanah Israel. 

“Israel tidak akan bekerjasama dengan langkah sebegini yang bertujuan membahayakan negara dan keselamatannya,” kata pegawai itu.

Kementerian luar Pihak Berkuasa Palestin melahirkan “keprihatinan mendalam” dan menganggap keputusan Israel sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap tanggungjawab antarabangsa mereka sebagai kuasa pendudukan”.

Sekiranya lawatan itu diteruskan, ketua delegasi, Putera Faisal, akan menjadi menteri luar Saudi pertama yang melawat Tebing Barat.

Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, berkata sekatan pertemuan itu merupakan satu lagi contoh bagaimana Israel “memusnahkan sebarang peluang bagi penyelesaian Arab-Israel yang adil dan menyeluruh”.

Mengulas mengenai tindakan menyekat lawatan itu, Anggota Parlimen Israel berbangsa Arab, Encik Ayman Odeh, berkata delegasi menteri luar Arab berkenaan bertujuan menamatkan perang di Gaza, mengukuhkan peranan Pihak Berkuasa Palestin, dan menyokong inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Saudi-Perancis untuk merangka pelan ke arah penubuhan negara Palestin.

Menurut Encik Odeh, inisiatif Saudi-Perancis itu boleh membawa kepada pengiktirafan antarabangsa yang lebih meluas bagi pembentukan negara Palestin – satu langkah yang menurutnya, bertentangan dengan dasar pemerintah Israel.

Pengarah Urusan bagi Timur Tengah dan Afrika Utara di Eurasia Group, Encik Firas Maksad, berkata penolakan Israel terhadap lawatan itu menunjukkan “betapa jauhnya hubungan Saudi dan Israel”.

Beliau menambah bahawa lawatan yang dirancang itu “menunjukkan bagaimana pendirian Saudi kini telah berubah – daripada percubaan mewujudkan hala tuju yang meyakinkan ke arah pembentukan negara Palestin melalui pemulihan hubungan bersyarat dengan Israel, kepada usaha mewujudkan laluan itu menerusi satu pakatan antarabangsa yang menyokong aspirasi rakyat Palestin”.

Israel kini berdepan tekanan semakin meningkat daripada PBB dan negara Eropah yang menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, iaitu menerusi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka di samping Israel.  – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg