RIYADH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan satu siri hukuman tegas terhadap individu yang melanggar peraturan permit haji, termasuk mereka yang cuba membantu atau memudahkan pelanggaran tersebut.
Menurut kenyataan rasmi, hukuman ini berkuat kuasa bermula 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah, atau dari 29 April sehingga 11 Jun 2025, yang merangkumi keseluruhan musim haji.
Kementerian itu menjelaskan bahawa individu yang ditangkap kerana menunaikan atau cuba menunaikan ibadah haji tanpa permit akan dikenakan denda sehingga 20,000 riyal ($6,973).
Denda yang sama akan dikenakan terhadap pemegang visa lawatan — termasuk visa pelawat biasa — yang cuba memasuki atau berada di Kota Makkah serta kawasan-kawasan suci sepanjang tempoh yang ditetapkan.
Bagi mereka yang memohon visa lawatan untuk individu yang melanggar larangan ini, denda jauh lebih berat menanti sehingga 100,000 riyal untuk setiap individu yang terlibat.
“Denda ini akan berganda mengikut jumlah individu yang terlibat,” tegas kenyataan kementerian.
Denda maksimum 100,000 riyal turut dikenakan kepada sesiapa yang mengangkut atau cuba mengangkut pemegang visa lawatan ke kota Makkah dan kawasan suci; menempatkan mereka di hotel, pangsapuri, rumah persendirian atau mana-mana kemudahan penginapan dan menyembunyikan kehadiran mereka atau memberikan apa-apa bentuk bantuan untuk memudahkan penginapan mereka.
“Setiap individu yang disembunyikan, ditempatkan atau dibantu akan menyebabkan denda berganda mengikut jumlah kes,” tambah kementerian itu.
Selain denda kewangan, individu yang menyusup masuk tanpa izin untuk menunaikan haji sama ada penduduk tetap atau mereka yang telah melebihi tempoh visa akan dikenakan tindakan pengusiran ke negara asal.
Mereka juga akan disenaraihitamkan daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.
Kementerian itu mengingatkan: “Tindakan tegas ini bukan sahaja menyasarkan mereka yang menunaikan haji tanpa permit, tetapi juga semua yang terlibat dalam memudahkan pelanggaran ini.”
Sebagai langkah tambahan, pihak berkuasa akan memohon kepada mahkamah untuk merampas kenderaan darat yang digunakan untuk membawa jemaah tanpa permit ke kota Makkah dan kawasan suci, sekiranya kenderaan tersebut dimiliki oleh pengangkut, pemudah cara atau mana-mana individu yang bersubahat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg