Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi umum umrah bermula 11 Jun selepas musim haji

May 9, 2025 | 12:10 PM
makkah, kaabah, musim haji
Arab Saudi akan membolehkan ibadah umrah dilaksanakan mulai 11 Jun setelah selesai musim haji 2025. - Foto INSTAGRAM HARAMAIN

MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengumumkan bahawa ketibaan jemaah dari luar negara bagi musim umrah akan datang akan bermula pada 15 Zulhijah 1446, bersamaan 11 Jun 2025.

Pengumuman itu dibuat menerusi kalendar rasmi umrah 1447 Hijrah yang turut menyenaraikan tarikh penting berkaitan permohonan visa, perjanjian dengan ejen luar, serta tarikh akhir kemasukan dan keluar jemaah.

Menurut kementerian, pengeluaran visa umrah akan bermula sehari sebelum itu iaitu pada 14 Zulhijah 1446, bersamaan 10 Jun 2025.

Semua kontrak antara syarikat umrah di Arab Saudi dengan ejen luar negara yang bertanggungjawab mengurus jemaah perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 29 Zulkaedah 1446, bersamaan 27 Mei.

Persiapan awal musim umrah telah dimulakan sejak 25 Mac menerusi pelancaran sistem kelayakan ejen luar melalui platform ‘Nusuk’ dan sistem ‘Umrah Path’.

Proses menandatangani perjanjian rasmi antara syarikat umrah dengan ejen antarabangsa bermula pada 14 April dalam Forum Perkhidmatan Haji dan Umrah 2025.

Kalendar tersebut turut menyenaraikan tarikh akhir penting, termasuk tarikh akhir pengeluaran visa umrah iaitu pada 1 Syawal 1447 (20 Mac 2026), dan tarikh akhir kemasukan jemaah ke Arab Saudi ditetapkan pada 15 Syawal 1447 (3 April 2026).

Semua jemaah perlu meninggalkan negara itu selewat-lewatnya pada 1 Zulkaedah 1447 (18 April 2026).

Permohonan untuk kelayakan ejen luar pula akan ditutup pada 1 Syaaban 1447, bersamaan 20 Januari 2026, yang juga merupakan tarikh akhir untuk meluluskan kontrak ejen dengan syarikat umrah.

Langkah itu adalah sebahagian daripada perancangan strategik kementerian bagi memastikan kelancaran musim umrah yang lebih tersusun dan berkesan, serta menambah baik mutu perkhidmatan kepada jemaah dari seluruh dunia.

Arab Saudi sebelum ini turut memaklumkan bahawa semua ketibaan jemaah umrah telah dihentikan bermula 13 April (15 Syawal 1446), bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan musim haji.

Kementerian turut memberi amaran keras bahawa jemaah yang gagal keluar dari negara itu selepas tarikh ditetapkan akan berdepan tindakan tegas termasuk denda berat, hukuman penjara dan pengusiran.

Pelanggaran tempoh visa umrah akan dianggap sebagai kesalahan undang-undang di bawah peraturan Saudi.

Pihak berkuasa turut menegaskan sebarang lanjutan masa melebihi tempoh visa akan dianggap serius dan boleh membawa kepada tindakan perundangan serta halangan untuk memasuki negara itu pada masa hadapan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg