Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas penantian 2 dekad Muzium Agung Mesir dibuka

Lebih 100,000 artifak liputi sejarah 5,000 tahun dari zaman pradinasti hingga ke era Yunani-Rom; diiktiraf muzium arkeologi terbesar dunia
Nov 10, 2025 | 2:43 AM
Patung megah Permaisuri Hatshepsut dipamerkan di Muzium Agung Mesir (GEM) di Giza, antara koleksi utama yang menggambarkan peranan wanita dalam pemerintahan Firaun Mesir Purba.
Patung megah Permaisuri Hatshepsut dipamerkan di Muzium Agung Mesir (GEM) di Giza, antara koleksi utama yang menggambarkan peranan wanita dalam pemerintahan Firaun Mesir Purba. - Foto GEM

KAHIRAH: Selepas dua dekad menanti dan beberapa kali tertangguh akibat krisis ekonomi, revolusi, pandemik, dan peperangan serantau, Mesir akhirnya membuka pintu kepada Muzium Agung Mesir (GEM) – sebuah mercu tanda yang bukan sahaja mempamerkan khazanah purba.

Ia malah mencerminkan cita-cita moden sebuah negara untuk memulihkan semula kegemilangan tamadunnya.

Memasuki pintu utama muzium, pengunjung akan disambut oleh patung granit raksasa Ramses II setinggi 11 meter dan seberat 83 tan – sosok megah yang pernah berdiri di hadapan stesen kereta api Kahirah selama lebih 50 tahun.

Kini, patung berusia 3,200 tahun itu berdiri sebagai lambang kebangkitan Mesir, disinari cahaya semula jadi dari bumbung kaca setinggi 38 meter.

“Patung ini bukan sekadar monumen purba, malah lambang kesinambungan jiwa Mesir dari zaman Firaun hingga ke era moden,” kata mantan Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Dr Khaled El-Anani.

“Ia mengalu-alukan dunia untuk menyaksikan bagaimana sejarah dan masa depan bersatu di bawah satu bumbung.”

Patung Ramses II kini menjadi “penjaga abadi” pintu masuk GEM – tempat terakhirnya selepas mengembara ke seluruh dunia dalam pameran antarabangsa, menarik jutaan pelawat dari 1986 hingga 2025.

Direka oleh firma seni bina Ireland Heneghan Peng Architects, bangunan GEM berdiri di atas keluasan 5.4 juta kaki persegi, bersamaan dengan 70 padang bola sepak.

Struktur berbentuk segi tiga dengan pintu masuk berinspirasikan piramid itu sering digelar sebagai ‘Piramid Keempat Giza’.

Seni binanya sejajar tepat dengan Piramid Khufu dan Piramid Menkaure, satu simbol kesepaduan antara warisan kuno dengan teknologi moden.

Dinding luar dihiasi hieroglif dan panel batu alabaster – batu putih yang digunakan untuk membuat patung tau barang perhiasan – lut sinar, mencipta suasana suci seolah-olah pelawat melangkah ke zaman Firaun.

“Kami mahu reka bentuk ini menyatukan garis pandang ke arah piramid, supaya setiap langkah pengunjung terasa seperti perjalanan merentas masa,” kata ketua projek dari syarikat pembinaan Belgium Besix, Encik Joris de Kinder.

Dengan lebih 100,000 artifak meliputi sejarah 5,000 tahun dari zaman pradinasti hingga ke era Yunani-Rom, GEM diiktiraf sebagai muzium arkeologi terbesar di dunia.

Dua belas galeri utamanya menelusuri peradaban Mesir melalui dinasti Firaun, seni, dan kepercayaan mereka terhadap kehidupan abadi.

Antara khazanah paling berharga ialah koleksi penuh makam Firaun Tutankhamun, yang kini buat kali pertama dipamerkan sepenuhnya di satu lokasi.

Koleksi tersebut, yang ditemui oleh ahli arkeologi British, Encik Howard Carter, pada 1922, terdiri daripada 5,000 artifak, termasuk topeng emas terkenal, keranda berlapis emas, kereta kuda diraja dan barang perhiasan peribadi.

“Kita akhirnya dapat melihat keseluruhan kisah Tutankhamun dalam satu ruang yang indah, lengkap dengan naratif arkeologi yang menyentuh hati,” kata ahli Mesir Purba terkemuka dari Universiti Amerika di Kahirah, Profesor Salima Ikram.

Tidak jauh dari dewan utama, satu bangunan khas menempatkan kapal suria Firaun Khufu berusia 4,600 tahun; kapal kayu sepanjang 44 meter yang digali berhampiran Piramid Agung pada 1954.

Kapal itu yang dipercayai digunakan untuk perjalanan kerohanian Firaun, merupakan salah satu peninggalan kayu tertua di dunia.

Muzium itu turut memperkenalkan pengalaman interaktif di mana pelawat boleh menyaksikan secara langsung proses pemulihan kapal suria kedua yang ditemui pada 1987, melalui dinding kaca khas yang memisahkan makmal dengan ruang pameran.

Projek GEM dilancarkan pada 2002 oleh Presiden Hosni Mubarak ketika itu.

Namun, ia berdepan pelbagai rintangan daripada Revolusi 2011, krisis kewangan sejagat, pandemik Covid-19, hinggalah konflik serantau di Ukraine dan Gaza.

“Muzium ini adalah cerminan daya tahan Mesir. Setiap kelewatan menjadi sebahagian daripada naratifnya, menegaskan bahawa peradaban sejati tidak pernah terburu-buru,” ujar Perdana Menteri Mesir, Encik Mostafa Madbouly.

Dengan kos pembinaan mencecah AS$1.2 bilion ($1.56 bilion), pemerintah Mesir berharap muzium itu akan menjadi pemangkin utama pemulihan ekonomi, terutama sektor pelancongan yang menyumbang 12 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Ahli perniagaan dan ahli lembaga pemegang amanah GEM, Encik Mohamed Mansour, berkata muzium itu dijangka menarik lima juta pelawat setahun, sekali gus mengembalikan Mesir ke peta pelancongan dunia.

“GEM akan menjadi tarikan sejagat, setaraf dengan Louvre, Muzium British dan Metropolitan. Ia bukan hanya muzium, malah pintu kepada ekonomi berasaskan budaya,” katanya.

Perbandingan menunjukkan potensi besar – Louvre menerima 8.7 juta pelawat pada 2024; Muzium British 6.5 juta; manakala Metropolitan Museum of Art di New York sekitar 5.7 juta.

Namun, di sebalik kebanggaan nasional, pembukaan GEM turut menimbulkan kembali tuntutan lama terhadap pemulangan artifak Mesir yang masih berada di luar negara.

Ia termasuk Batu Rosetta di Muzium British; Zodiak Dendera di Louvre; dan Patung Nefertiti di Muzium Neues Berlin.

“Kini, apabila kita memiliki muzium sebesar ini, tiada alasan untuk menahan warisan kami di luar Mesir. Dunia perlu mengembalikan apa yang milik peradaban ini,” tegas mantan Ketua Antikuiti Mesir, Dr Zahi Hawass, yang dikenali dengan usahanya memperjuangkan pemulangan artifak negara.

Presiden Abdel Fattah el-Sisi dalam ucapan perasmian pada 1 November menyifatkan pembukaan GEM sebagai “peristiwa luar biasa dalam sejarah budaya dan peradaban manusia.”

Dalam satu kenyataan di wadah X, beliau menulis: “Muzium ini menghimpunkan kepintaran Mesir purba dan kreativiti Mesir moden. Ia bukan sekadar bangunan, tetapi jiwa bangsa yang dihidupkan semula.”

GEM kini berdiri megah di Dataran Giza, hanya beberapa langkah dari keajaiban dunia purba satu pertemuan antara masa lampau dengan masa depan.

Sebagaimana Ramses II yang teguh di pintu masuknya, Muzium Agung Mesir berdiri sebagai manifestasi abadi ketabahan, keindahan, dan cita-cita sebuah tamadun yang tidak pernah lenyap, membuktikan bahawa Mesir – sekali lagi adalah nadi sejarah dunia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg