BANDAR GAZA/TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengarahkan tentera negara itu melancarkan serangan ke atas Gaza pada 28 Oktober selepas pemerintah Israel menuduh Hamas melanggar gencatan senjata dengan menembak ke arah pasukan tentera Israel dan gagal memulangkan mayat tebusan yang terkorban seperti yang dipersetujui.
Pejabat Perdana Menteri Netanyahu, dalam kenyataannya menyatakan, keputusan itu dibuat agar “segera melancarkan serangan ketenteraan yang tegas di Jaluran Gaza”.
Encik Netanyahu juga dikatakan memaklumkan tindakan tersebut kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.
Serangan udara Israel dilaporkan berlanjutan hingga awal pagi 29 Oktober di beberapa kawasan di Gaza.
Saksi melaporkan letupan dapat dilihat memenuhi langit wilayah tersebut, manakala pertahanan awam Gaza mengesahkan kematian rakyat awam.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan menyatakan sekurang-kurangnya 63 terbunuh, termasuk di kejiranan Sabra di Bandar Gaza dan di Khan Younis.
Menurut pegawai tentera Israel, anggota Hamas telah menyerang pasukan Israel di timur Garisan Kuning – sempadan antara kawasan yang diduduki Israel dengan wilayah Gaza – menggunakan pelancar bom tangan (RPG) dan penembak tepat.
Serangan berlaku di kawasan Rafah, selatan Gaza.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, memberi amaran, Hamas perlu membayar “harga yang tinggi” atas serangan terhadap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan berikrar akan bertindak “dengan kekerasan yang sangat hebat”.
Menurut Israel, Hamas telah melanggar perjanjian termasuk serangan ke atas askar Israel serta kelewatan dalam mengembalikan jenazah tebusan yang terkorban.
Jurucakap Netanyahu, Encik David Mencer, berkata: “Hamas telah melanggar kerangka gencatan senjata dengan gagal memulangkan mayat tebusan dan menyerang pasukan kami.”
Israel turut menuduh Hamas menyerahkan mayat yang salah dalam satu proses pemulangan, menyebabkan kemarahan pemerintah Israel.
Encik Netanyahu sebelum ini berkata: “Hamas menyerahkan sisa tubuh yang tidak tepat dan kami tidak akan menerima tindakan sedemikian sebagai menghormati keluarga mangsa.”
Hamas nafi melakukan serangan ke atas pasukan Israel dan menegaskan ia masih komited kepada gencatan senjata.
Kumpulan itu mendakwa keadaan yang musnah akibat perang menyebabkan mereka memerlukan lebih masa untuk mencari dan membawa keluar mayat tebusan dari kawasan runtuhan dan laluan terowong bawah tanah.
Dalam kenyataannya, Hamas berkata: “Kami berusaha mengikut kemampuan kami dengan keadaan medan perang yang musnah.
“Israel pula cuba mencari alasan untuk lari daripada tanggungjawab perjanjian.”
Hamas juga menyatakan pihaknya telah menemui lebih banyak mayat tebusan dan sedang menyelaraskan penyerahan dalam tempoh yang ditetapkan.
Walaupun serangan berlaku, Amerika menegaskan gencatan senjata masih kekal.
Encik Trump berkata beliau mendapat maklumat Hamas membunuh seorang tentera Israel dan adalah wajar untuk Israel membalas serangan sebagai mempertahankan diri.
“Jika mereka (Hamas) baik, mereka akan gembira dan jika tidak, mereka akan dihapuskan dan nyawa mereka akan ditamatkan.
“Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada tentera Israel berkenaan, tetapi mereka kata ia adalah tembakan balas dan ia adalah pembalasan bagi tindakan terbabit dan saya rasa mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian,” kata Encik Trump.
Bercakap kepada wartawan di Capitol Hill, Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance berkata: “Gencatan senjata masih kekal.
“Itu tidak bermakna tiada pertempuran kecil di sana sini.
“Kami menjangka Israel akan bertindak apabila diserang, tetapi kami yakin keamanan yang dipacu Presiden akan terus terpelihara.”
Washington melihat perjanjian itu sebagai salah satu pencapaian diplomatik terpenting dalam penggal kedua kepimpinan Encik Trump, dan sedang memantau rapat pematuhan kedua-dua pihak.
IDF turut mendedahkan rakaman dron yang didakwa menunjukkan anggota Hamas menanam mayat yang dibalut kain putih di Bandar Gaza sebelum “menemui” semula mayat itu di hadapan wakil Palang Merah.
Rakaman hampir 15 minit itu menunjukkan tiga lelaki menyeret kain putih ke kawasan tanah yang telah digali, menutupnya dengan tanah, dan kemudian menggunakan jentolak untuk mengalihkan tanah tersebut.
Beberapa minit kemudian, wakil Palang Merah tiba dan mayat itu ditarik keluar semula dari tanah, sambil dirakam oleh individu yang memegang telefon bimbit.
Palang Merah dalam kenyataan berkata, pihaknya “tidak mengetahui mayat telah diletakkan di situ sebelum ketibaan mereka” dan menyifatkan kejadian itu sebagai “tidak boleh diterima” kerana ia menjejas kepercayaan terhadap perjanjian gencatan senjata.
Susulan arahan Encik Netanyahu, Hamas mengumumkan penangguhan penyerahan mayat tebusan yang ditemui di selatan Gaza, dengan alasan ‘pelanggaran’ oleh Israel.
Hamas turut memberi amaran bahawa sebarang peningkatan serangan oleh Israel akan “menjejas operasi pencarian dan penggalian serta pemulangan mayat tebusan yang telah meninggal dunia”.
Mayat tebusan itu sebelum ini dijadual diserahkan kepada Israel melalui Palang Merah, selepas ditemui di dalam terowong di Khan Younis.
Satu lagi mayat ditemui di Nuseirat, kawasan tengah Gaza, di bawah runtuhan bangunan yang pernah menjadi lokasi operasi menyelamat oleh Israel pada Jun 2024.
Ketika itu, Hamas mendakwa, beberapa tebusan terbunuh dalam operasi tersebut, namun Israel dan Amerika menafikan dakwaan tersebut.
Rakaman video yang dianalisis CNN menunjukkan lokasi penemuan mayat adalah sama dengan bangunan yang terlibat dalam operasi berkenaan, sekali gus mencetuskan persoalan baru mengenai nasib tebusan Israel dalam misi tersebut.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan lebih 270 rakyat Palestin terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam operasi menyelamat itu.
Sejak gencatan senjata bermula awal Oktober, Israel dan Hamas berkali-kali menegaskan komitmen terhadap perjanjian tersebut, namun ketegangan kekal tinggi dengan serangan kecil terus berlaku. – Agensi berita.
“
“Jika mereka (Hamas) baik, mereka akan gembira dan jika tidak, mereka akan dihapuskan dan nyawa mereka akan ditamatkan. Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada tentera Israel berkenaan, tetapi mereka kata ia adalah tembakan balas dan ia adalah pembalasan bagi tindakan terbabit dan saya rasa mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg