TEHERAN: Perarakan pengebumian besar-besaran mantan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang berlangsung selama seminggu di Teheran dilihat menjadi lambang kekuatan, perpaduan dan daya ketahanan republik Islam itu selepas perang dengan Israel dan Amerika Syarikat.

Pemimpin politik dan tentera Iran yang sebelum ini jarang muncul bersama sejak perang bermula, akhirnya berdiri sebaris ketika memberi penghormatan terakhir kepada tokoh paling berpengaruh Iran itu.

Presiden, speaker Parlimen, ketua badan kehakiman dan komander kanan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) tampil bersama di hadapan jutaan rakyat Iran.

Namun, di sebalik paparan perpaduan itu, ketiadaan penggantinya, Encik Mojtaba Khamenei, mula mencetuskan persoalan besar mengenai siapakah sebenarnya yang sedang mengawal Iran ketika ini.

Encik Mojtaba, yang dilantik sebagai pemimpin tertinggi baharu selepas kematian bapanya pada Februari lalu, masih belum muncul secara terbuka sejak pelantikannya pada Mac.

Beliau juga tidak hadir dalam beberapa acara utama pengebumian termasuk majlis memperingati isterinya yang turut terbunuh bersama anak remaja mereka dalam serangan udara Israel dan Amerika ke atas kompleks keluarga Khamenei pada hari pertama perang.

Ketiadaan itu menimbulkan spekulasi bahawa kuasa sebenar di Teheran kini menjadi rebutan pelbagai kem politik dan tentera.

Malah, beberapa pegawai Iran dan anggota IRGC yang terlibat dalam penyusunan pengebumian memberitahu media bahawa Encik Mojtaba sebenarnya mahu menghadiri majlis pengebumian bapanya di Mashhad pada 9 Julai.

Namun, pegawai keselamatan didakwa menolak rancangan tersebut kerana bimbang Israel cuba membunuh beliau atau menjejaki lokasi persembunyiannya.

Keadaan itu menunjukkan tahap ancaman keselamatan terhadap kepimpinan Iran masih tinggi walaupun perang sudah dihentikan melalui gencatan senjata.

Lebih penting, ia memperlihatkan bagaimana Iran kini memasuki era baharu yang jauh berbeza berbanding zaman Ayatollah Ali Khamenei yang memerintah secara mutlak selama lebih tiga dekad.

Perpecahan kian terbuka

Sebelum pengebumian berlangsung, pertelingkahan antara kumpulan konservatif Iran dilaporkan berlaku secara terbuka dan semakin agresif.

Perdebatan utama tertumpu kepada rundingan damai dengan Amerika dan perjanjian gencatan senjata yang dicapai selepas perang lima minggu.

Golongan ultra tegar melihat rundingan dengan Washington sebagai satu penghinaan terhadap darah pemimpin mereka yang terbunuh.

“Saya tidak dapat menerima keadaan apabila pemimpin kami dibunuh tetapi pada masa sama masih ada pihak mahu bercakap tentang perdamaian dengan Amerika,” kata tokoh konservatif tegar Iran, Encik Hassan Rahimpour-Azghadi, dalam satu perhimpunan di Teheran.

Beliau menuntut Iran membalas dendam terhadap Amerika dan Israel, bukannya meneruskan rundingan diplomatik.

Encik Mojtaba cuba meredakan keadaan melalui satu kenyataan bertulis yang berhati-hati, namun tindakannya hanya memburukkan lagi keadaan.

Penyokong konservatif tegar mula mempersoalkan sama ada beliau benar-benar mengawal negara.

Mereka menuntut Encik Mojtaba tampil secara terbuka atau sekurang-kurangnya mengeluarkan rakaman suara untuk membuktikan beliau masih memimpin Iran.

Setakat ini, beliau tidak melakukan kedua-duanya.

Kekosongan kepimpinan itu menyebabkan perpecahan dalam kem konservatif Iran semakin jelas.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, yang kini mengetuai rundingan dengan Amerika, menjadi sasaran utama golongan tegar.

Minggu lalu, tatkala beliau sedang menjelaskan butiran perjanjian mengenai gencatan senjata, siaran secara langsung di televisyen negara itu tiba-tiba dipotong.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan penyokong kumpulan pragmatik yang menuduh media negara sengaja cuba mensabotaj proses rundingan.

Malah, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, turut diejek oleh penyokong konservatif ketika menghadiri majlis di Iraq.

Rakaman video menunjukkan penduduk Iran melaungkan “mati kepada golongan pendamai” ketika beliau berada di sebuah makam Syiah.

Penganalisis politik konservatif terkenal, Encik Foad Izadi, turut menyerang pemerintah secara terbuka melalui televisyen negara.

Beliau menyifatkan pasukan Encik Ghalibaf sebagai “bodoh dan tidak berakal”.

Konservatif berpecah dua

Sebelum ini, perpecahan politik Iran lazimnya berlaku antara golongan reformis dengan konservatif.

Namun, selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei, perpecahan kini berlaku sesama kelompok konservatif sendiri.

Satu kumpulan pragmatik percaya Iran perlu menamatkan permusuhan dengan Amerika dan membuka ekonomi bagi memastikan kelangsungan negara.

Kumpulan ini termasuk Presiden Masoud Pezeshkian, Encik Ghalibaf, dan beberapa komander kanan IRGC.

Mereka melihat perang dengan Israel dan sekatan ekonomi Amerika sebagai ancaman serius terhadap kestabilan Iran.

“Kami mahukan perjanjian besar yang menghapuskan ancaman perang dan membolehkan ekonomi berkembang,” kata penganalisis politik dekat dengan pemerintah Iran, Encik Mehdi Rahmati.

“Rakyat cuma mahu hidup,” tambahnya.

Sebaliknya, golongan tegar percaya Iran tidak boleh bertolak ansur dengan Amerika terutama mengenai program nuklear.

Mereka yakin Iran masih mampu bertahan walaupun perang dan sekatan diteruskan.

Malah ada ahli Parlimen konservatif mendakwa sedang berlaku “rampasan kuasa senyap” terhadap pemimpin tertinggi Iran.

Encik Mahmoud Nabavian secara terbuka bertanya di media sosial: “Adakah rampasan kuasa sedang berlaku?”

Seorang lagi ahli Parlimen, Encik Kamran Ghazanfari, menuduh pemerintah cuba menutup Parlimen dan menghalang rakyat turun ke jalanan supaya pihak tertentu boleh menguasai negara.

Sejak perang bermula, pengaruh IRGC dilihat semakin besar dalam pentadbiran Iran.

Beberapa pegawai kanan Iran berkata keputusan penting kini dibuat secara bersama dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pemimpin tertinggi seperti zaman Ayatollah Ali Khamenei.

Naib Presiden Iran bagi Hal Ehwal Eksekutif, Encik Mohammad-Jafar Ghaempanah, baru-baru ini mengakui pendapat Encik Mojtaba hanyalah salah satu pandangan dalam pemerintah dan perlu dibincangkan bersama institusi lain.

“Jika kita hanya perlu melaksanakan pandangan pemimpin tertinggi, mengapa kita mempunyai Parlimen dan Majlis Keselamatan Negara?” katanya.

Ekonomi faktor utama

Pemerhati berkata faktor ekonomi menjadi sebab utama kumpulan pragmatik mendesak rundingan diteruskan.

Menurut beberapa pegawai Iran, Presiden Pezeshkian pernah memberitahu Encik Mojtaba bahawa keadaan ekonomi Iran sudah terlalu genting.

Sekatan laut Amerika didakwa melumpuhkan perdagangan Iran dan menyebabkan bekalan makanan serta ubat-ubatan dijangka habis menjelang akhir Ogos jika sekatan berterusan.

Gabenor Bank Pusat Iran turut dilaporkan menulis surat kepada Encik Mojtaba mengenai krisis belanjawan yang semakin serius.

Tekanan itu akhirnya menyebabkan Encik Mojtaba membenarkan rundingan diteruskan walaupun beliau secara prinsip menentang perjanjian dengan Amerika.

Majlis Keselamatan Negara Iran kemudian meluluskan perjanjian itu dengan majoriti 12 daripada 13 undi.

Penganalisis Asia Barat dari Universiti Johns Hopkins, Profesor Vali Nasr, berkata Iran sedang melalui perebutan kuasa sebenar bagi menentukan masa depan negara.

“Kita sedang menyaksikan politik yang tegang dan pertarungan sebenar mengenai masa depan Iran.

“Jika kumpulan pragmatik menang, golongan tegar akan disisihkan dan sebab itu mereka melawan habis-habisan,” katanya.

Kita sedang menyaksikan politik yang tegang dan pertarungan sebenar mengenai masa depan Iran. Jika kumpulan pragmatik menang, golongan tegar akan disisihkan dan sebab itu mereka melawan habis-habisan.
Penganalisis Asia Barat dari Universiti Johns Hopkins, Profesor Vali Nasr.