WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat percaya Israel mungkin merancang membunuh perunding tertinggi Iran ketika Washington berbincang dengan Teheran bagi perjanjian damai sementara.

Pembunuhan pemimpin kanan Iran sebahagian strategi Israel sejak awal perang.

Namun kebimbangan Amerika meningkat terhadap kemungkinan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi dan Menteri Luar Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menjadi sasaran ketika rundingan gencatan senjata rumit bermula pada April.

Disebabkan bimbang usaha pembunuhan Israel akan menggagalkan rundingan, menurut beberapa pegawai, Amerika meminta negara di rantau itu memberi amaran kepada Iran bahawa Israel mungkin menyasarkan kedua-dua pegawai berkenaan.

Pegawai Amerika mengakui ketika fasa perang sengit, kedua-duanya mungkin sasaran sah Israel, yang bertekad untuk menjatuhkan pemerintah Iran.

Namun selepas rundingan bermula pada April, Washington percaya cubaan membunuh mereka akan menamatkan rundingan dan mencetuskan semula pertempuran.

Perang bermula pada 28 Februari apabila serangan Israel membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dan pegawai kanan lain.

Serangan Amerika tertumpu pada tentera laut Iran, manakala Israel memburu kepimpinan kanan Iran, termasuk Encik Ali Larijani, pegawai keselamatan negara tertinggi Iran, dan Encik Kamal Kharazi, mantan Menteri Luar Iran.

Kedua-dua lelaki itu terlibat dalam rundingan dengan Amerika ketika mereka terbunuh dalam serangan udara Israel.

Kecurigaan pentadbiran Encik Trump terhadap kemungkinan rancangan Israel membunuh dua perunding tertinggi itu menunjukkan bagaimana matlamat perang Amerika dan Israel, yang pada awalnya hampir sama, tidak lagi sehaluan.

Walaupun Amerika mahukan perjanjian damai, Israel bersikap ragu-ragu sejak pemberhentian awal permusuhan pada April.

Gencatan senjata dua minggu pada April disambut dengan sokongan rasmi Israel yang hambar serta kebimbangan meluas bahawa Amerika menamatkan perang terlalu awal.

Ramai di Israel bimbang Amerika menamatkan perang terlalu awal.

Bukannya disingkirkan, pemerintah teokratik Iran menjadi lebih tegar, manakala Pengawal Revolusi Iran (IRG) terus mengukuhkan kawalannya ke atas negara itu.

Encik Araghchi dan Encik Ghalibaf mengetuai rundingan serantau untuk mencapai perdamaian berkekalan dengan Amerika.

Pada Jun, Amerika dan Iran mencapai rangka kerja untuk membuka Selat Hormuz dan menetapkan rundingan susulan mengenai program nuklear Teheran.

Pegawai dan pengulas Israel melihatnya sebagai bencana kerana ia gagal memaksa perubahan rejim, memusnahkan sekutu bersenjata Iran atau merosakkan program peluru berpandunya.

Mereka juga bimbang dana besar membantu Iran membina semula tanpa kekangan nuklear bermakna.

Jurucakap Kedutaan Israel di Washington enggan mengulas.

Seorang pegawai Amerika berkata rundingan Amerika dan Iran berterusan, sementara Encik Steve Witkoff, utusan khas dan Encik Jared Kushner, menantu Presiden bermesyuarat di Qatar.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump mahu proses damai itu berjalan.

The Wall Street Journal melaporkan pada Mac bahawa Israel meletakkan Encik Araghchi dan Encik Ghalibaf dalam senarai sasaran, tetapi menggugurkan mereka sementara ketika Amerika berunding bersama Iran.

Seorang pegawai Amerika dan seorang pegawai Timur Tengah berkata pentadbiran Encik Trump mengetahui Encik Ghalibaf berada dalam senarai itu dan meminta Israel menahan diri.

Encik Ghalibaf hampir terbunuh dalam perang 12-hari pada Jun 2025 dan sekali lagi dalam konflik 2026, apabila Israel menyasarkan mesyuarat pegawai kanan di bunker bawah gunung.

Dalam kedua-dua kejadian, beliau diselamatkan.

Sepanjang rundingan, Iran mengambil langkah berjaga-jaga untuk menyukarkan Israel menyerang pegawai kanannya.

Pada April, Encik Ghalibaf dijadual ke Islamabad untuk bertemu Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance.

Namun, pegawai keselamatan Iran bimbang Israel akan menggunakan peluang itu untuk membunuh Encik Ghalibaf atau Encik Araghchi bagi menggagalkan rundingan, kata pegawai tersebut.

Iran mendapatkan jaminan Amerika, melalui perantara Pakistan dan Qatar, bahawa Israel tidak akan menjalankan operasi rahsia terhadap delegasi Iran, kata pegawai tersebut.

Jet pejuang Pakistan mengiringi pesawat Iran yang membawa lebih 70 anggota delegasi dari sempadan Iran ke Islamabad dan pulang selepas sesi itu berakhir.

Namun dalam perjalanan pulang ke Teheran, ancaman keselamatan Israel muncul.

Pasukan keselamatan Iran berkata dua jet pejuang Israel memasuki ruang udaranya dari sempadan baratnya berhampiran Iraq dan merancang menyerang pesawat Encik Ghalibaf.

Encik Mahdi Mohammadi, penasihat kanan Encik Ghalibaf yang menemaninya ke Islamabad, mengesahkan pesawat itu mendarat cemas di Mashhad, lapangan terbang Iran yang paling hampir dengan sempadan Pakistan, sebelum delegasi pulang kira-kira lapan jam melalui jalan darat.

Namun perjalanan diteruskan.

Pada lewat Mei, Encik Ghalibaf dan Encik Araghchi ke Qatar, kemudian ke Switzerland pada Jun bagi mesyuarat kedua dengan Encik Vance dan delegasi Amerika. – Agensi berita.