Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga dekad sakit bahu berakhir dengan pembedahan

Aug 18, 2025 | 5:30 AM
sakit bahu, rawatan, berpanjangan
Sakit bahu berpanjangan boleh merupakan gejala penyakit serius dan pesakit digalak agar mendapatkan nasihat doktor dan pakar perubatan. - Foto ISTOCKPHOTO

Menderita kesakitan kronik pada bahu kanan selama lebih tiga dekad akibat osteoartritis pasca trauma (PTOA), ibu kepada dua anak, Cik Michaela Lim, akhirnya menemui kelegaan melalui pembedahan invasif minimum.

Ia bukan sahaja memulihkan fungsi sendinya, malah mengembalikan semula mutu hidup yang selama ini terjejas.

Wanita berusia 53 tahun yang bekerja sebagai perancang pesawat peribadi itu berkata, episod kesakitan bermula sejak usia awal 20-an.

“Bahu kanan saya mula rasa ketat, tegang dan sakit selepas permainan skuasy yang sengit sekitar 30 tahun lalu.

“Walaupun tidak selesa, saya hanya rawat di rumah dengan regangan sasaran,” katanya.

Selepas meninggalkan skuasy, Cik Lim mencuba tenis dan badminton.

Namun, kededuanya mencetuskan gejala serupa – bahu menjadi ketat, sakit dan memerlukan regangan mendalam serta rehat untuk mengurangkan ketidakselesaan.

Menyedari sukan berimpak tinggi semakin membebankan bahunya, beliau beralih kepada wusyu kira-kira 15 tahun lalu, sebelum memilih taici tiga tahun kebelakangan ini kerana ia lebih lembut pada sendinya.

Walaupun mengalami sakit bahu dari semasa ke semasa, beliau tidak pernah mendapatkan pemeriksaan perubatan.

“Saya fikir ia perkara biasa bagi orang yang aktif bersukan. Sakit biasanya hilang dengan rehat atau tukar tangan ketika memegang raket.

“Saya juga tidak pernah ambil ubat tahan sakit, cuma urutan bulanan untuk melegakan bahu,” jelasnya.

Keadaan berubah pada Disember 2024 ketika beliau menyertai pertandingan taici antarabangsa di Pulau Pinang.

Disebabkan senjata (untuk rutin pertandingan) yang dibawa rosak dalam penerbangan, beliau terpaksa meminjam senjata lebih berat dan panjang daripada rakan.

“Kesakitan ketika itu amat teruk sehingga saya sukar habiskan rutin sepenuhnya. Namun, saya gagahkan diri kerana ada lagi dua hari pertandingan,” katanya.

Mujur acara seterusnya menggunakan senjata lebih kecil, membolehkannya memenangi pingat emas.

Pada Februari, semasa pertandingan tempatan, kejadian lebih serius berlaku.

Ketika memanaskan badan, bahunya terkehel seketika sebelum kembali ke kedudukan asal.

“Sakitnya amat kuat, tangan saya terus lemah. Saya berehat dan urut sebelum pertandingan, nasib baik dapat habiskan rutin,” katanya.

Namun, sebaik pulang, beliau tidak mampu mengangkat tangan, menukar pakaian atau mengikat rambut.

“Saat itu saya tahu sesuatu serius berlaku,” ujarnya.

Di jabatan kecemasan sebuah hospital privet, x-ray ke atas bahunya menunjukkan ligamen koyak akibat haus dan lusuh bertahun-tahun.

Namun, kerana tiada bilik pembedahan dan peralatan sesuai ketika itu, beliau dihantar pulang dengan ubat penahan sakit dan pelemas otot untuk menguruskan ketidakselesaan sementara menunggu rujukan kepada pakar ortopedik.

Dua hari kemudian, beliau berjumpa Dr Zackary Chua, Pakar Perunding Bedah Ortopedik dari ACME Orthopaedics.

Hasil imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendedahkan ligamen koyak serta serpihan tulang dan rawan bebas di dalam sendi bahu yang menyebabkan rasa ‘terkunci’ ketika bergerak.

Dr Chua menawarkan dua pilihan rawatan: Menggantikan bahu atau artroskopi (pembedahan lubang kunci).

Penggantian bahu berpotensi menghapuskan kesakitan tetapi boleh mengehadkan pergerakan manakala pembedahan artroskopi membolehkan pembersihan serpihan dan penstabilan sendi sambil mengekalkan pergerakan.

“Saya pilih artroskopi kerana saya mahu terus aktif dalam taici dan kegiatan fizikal selepas sembuh,” jelas Cik Lim.

Pembedahan pada 22 Februari lalu berlangsung tiga setengah jam di bawah bius penuh.

“Saya terkejut kerana tidak rasa sakit teruk selepas sedar, malah sakit akibat terkehel terus hilang,” katanya.

Beliau dibekalkan dengan penyokong lengan dan mula melakukan pergerakan ringan di hospital di bawah bimbingan ahli fisioterapi.

“Walaupun belum boleh angkat tangan sepenuhnya, saya sudah boleh gerakkan bahu ke paras dada dan melakukan pergerakan taici ringan,” katanya.

Dua minggu selepas pembedahan, Cik Lim memulakan fisioterapi dua kali seminggu.

Pakar fisioterapi mendapati kelemahan pada otot tulang belikat yang mungkin berpunca daripada teknik pergerakan taici.

“Pada mulanya saya bimbang untuk regangkan otot bahu, tetapi setiap sesi membantu membina kekuatan dan kelenturan,” katanya.

Latihan termasuk penggunaan tuala, gelang rintangan dan bola ubat, disertai kegiatan harian seperti menolak dinding atau merapatkan tulang belikat untuk menguatkan otot antara sesi fisioterapi.

Lima minggu selepas pembedahan, bahunya terasa hampir normal.

“Ia seperti tidak pernah dibedah. Saya bebas daripada sakit buat kali pertama dalam puluhan tahun,” katanya sambil menambah beliau masih meneruskan fisioterapi selama empat hingga enam bulan.

Walaupun kembali aktif dalam taici selepas pembedahan, beliau kini lebih berhati-hati.

“Saya lebih peka terhadap postur dan mengaktifkan otot belakang serta bahu sebelum mengangkat barang berat,” katanya.

Bagi Cik Lim, sokongan keluarga dan kalangan anggota masyarakat taici amat penting dalam proses pemulihannya.

“Anak-anak sentiasa membantu ketika saya perlukan, walaupun kadang-kadang mereka geram kerana saya selalu cedera akibat terlalu minat bersukan,” katanya sambil tersenyum.

Pesannya kepada atlet muda: “Jangan abaikan sakit bahu atau sendi. Dapatkan pemeriksaan pakar secepat mungkin supaya punca dikenal pasti dan rawatan dapat dilakukan sebelum keadaan menjadi kronik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg