KAHERAH: Arab Saudi dengan tegas menolak kenyataan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu yang mengusulkan supaya rakyat Palestin dipindahkan dari tanah air mereka, menurut kenyataan kementerian luar pada 9 Februari.
Pegawai Israel telah mencadangkan penubuhan negara Palestin di wilayah Arab Saudi.
Encik Netanyahu kelihatan bergurau pada 6 Februari ketika beliau memberi respons kepada seorang wartawan di saluran pro-Netanyahu, Channel 14, yang secara tidak sengaja menyebut “negara Saudi” bukannya “negara Palestin”, sebelum membetulkan dirinya.
“Negara Palestin,” kata Encik Netanyahu, membetulkan pengacara wawancara itu.
“Melainkan jika anda mahu negara Palestin berada di Arab Saudi, mereka mempunyai banyak tanah,” tambah Encik Netanyahu sambil tersenyum semasa wawancara itu dijalankan di Washington.
Meski Arab Saudi mengecam kenyataan Encik Netanyahu, kenyataan yang mereka keluarkan tidak secara langsung merujuk kepada komen beliau mengenai penubuhan negara Palestin di wilayah Saudi.
Mesir dan Jordan turut mengutuk cadangan Israel, dengan Kaherah menganggap rancangan tersebut sebagai “pelanggaran secara langsung terhadap kedaulatan Saudi”.
Kerajaan Arab Saudi berkata ia menghargai negara-negara “bersaudara” yang menolak kenyataan Encik Netanyahu, dan mempertahankan kedaulatan Saudi.
“Kewujudan pemikiran ekstremis penjajah ini tidak dapat memahami makna wilayah Palestin buat rakyat Palestin yang mempunyai ikatan saudara (yang kuat) serta hubungan yang penuh tanggungjawab, sejarah dan undang-undang dengan tanah tersebut,” kata kenyataan itu.
Perbincangan mengenai nasib rakyat Palestin di Gaza telah berubah selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump secara tiba-tiba mengeluarkan cadangan kontroversial yang mengusulkan supaya rakyat Palestin dipindahkan dari Gaza ke tempat lain, dan wilayah itu “diambil alih” Amerika untuk dibangunkan menjadi tempat percutian pantai yang indah atau “Riviera Timur Tengah”.
Negara-negara Arab secara tegas telah mengecam kenyataan Encik Trump, lebih-lebih lagi kerana kenyataan itu disifatkan sebagai satu bentuk penghapusan etnik terhadap penduduk Gaza, dan ia juga dikeluarkan ketika tempoh ‘sensitif’ perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, setelah rakyat Gaza berdepan dengan konflik berdarah yang telah berlanjutan selama 15 bulan.
Sebelum ini, Encik Trump menyatakan bahawa Arab Saudi tidak menuntut penubuhan negara Palestin sebagai syarat untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel.
Namun, ibu negara Saudi, Riyadh menolak kenyataan tersebut, dengan menyatakan bahawa mereka tidak akan menjalin hubungan dengan Israel tanpa penubuhan negara Palestin terlebih dahulu.
Menurut pihak berkuasa Gaza, daripada hampir 2 juta penduduk, lebih 47,000 rakyat mereka telah terkorban, dengan infrastruktur di sana hampir musnah sepenuhnya, dek serangan balas Israel kepada tindakan kumpulan Palestin, Hamas, yang melancarkan serangan rentas sempadan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Serangan Hamas ke atas Israel itu dikatakan telah mengorbankan sekitar 1,200 orang dan 250 yang lain telah diambil sebagai tebusan, menurut data yang dikeluarkan Israel. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg