WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berjanji untuk memberikan sokongan penuh kepada Syria dalam tempoh pemulihan selepas berakhirnya pemerintahan puluhan tahun keluarga Bashar al-Assad, selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Syria Ahmed al-Sharaa, di Rumah Putih.
Pertemuan dua jam itu menandakan lawatan pertama seorang pemimpin Syria ke Washington sejak negara itu mencapai kemerdekaan hampir 80 tahun lalu – satu simbol perubahan besar dalam hubungan antara kedua-dua negara yang sebelum ini tegang.
“Kami akan melakukan segala yang termampu untuk menjadikan Syria sebuah negara yang berjaya,” kata Encik Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.
“Beliau seorang pemimpin yang kuat, datang dari latar yang sukar dan saya menghormatinya. Kami mempunyai hubungan yang baik,” katanya sambil memuji Encik Sharaa sebagai seorang pemimpin yang tegas dan berani.
Menurut pegawai kanan Rumah Putih, pentadbiran Encik Trump sedang menyiapkan langkah baru untuk melonggarkan sekatan ekonomi yang telah lama membebankan ekonomi Syria.
Jabatan Perbendaharaan, bersama Jabatan Negara dan Perdagangan Amerika, dijangka mengumumkan beberapa dasar baru bagi memberi “kejelasan pematuhan” kepada pelabur antarabangsa yang ingin menyalurkan dana ke Syria.
“Kami mahu lihat Syria berjaya dan saya yakin pemimpin ini boleh melakukannya,” ujar Encik Trump.
Pentadbiran Encik Trump juga dilapor menangguhkan pelaksanaan Akta Caesar selama 180 hari – undang-undang yang sejak 2019 mengenakan sekatan terhadap pemerintah Syria terdahulu atas pelanggaran hak asasi manusia.
Dalam satu kenyataan berasingan, pegawai kanan pentadbiran Encik Trump mengesahkan bahawa Syria akan menyertai gabungan antarabangsa menentang kumpulan militan ISIS, menjadikannya negara ke-90 dalam pakatan global tersebut.
Presiden Sharaa mengesahkan langkah itu dalam wawancara eksklusif bersama Fox News, menyifatkannya sebagai “permulaan era baru” dalam hubungan dua hala antara Washington dan Damsyik.
“Kami tidak membincangkan masa lalu, tetapi menumpukan kepada masa kini dan masa depan. Syria kini bersedia menjadi rakan geopolitik dan ekonomi kepada Amerika Syarikat,” kata Encik Sharaa.
Langkah ini menandakan perubahan besar dasar luar Amerika di Timur Tengah, setelah sekian lama Washington menolak hubungan diplomatik dengan rejim Assad.
Sebelum menjadi presiden, Encik Sharaa pernah mengetuai kumpulan bersenjata Hayat Tahrir al-Sham, yang dahulunya berakar daripada rangkaian Al-Qaeda. Beliau pernah disenaraikan sebagai pengganas antarabangsa oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika dan menjadi buruan dengan ganjaran sebanyak AS$10 juta ($13 juta).
Namun, statusnya sebagai “pengganas global” telah digugurkan minggu lalu – isyarat jelas bahawa Washington kini mengiktiraf kepimpinan barunya di Syria.
Encik Trump, dalam nada mesra, mengulas: “Beliau mempunyai masa lalu yang sukar, tetapi terus terang, jika anda tidak melalui masa yang sukar, anda tidak akan berpeluang untuk memimpin. Saya percaya beliau mampu membawa perubahan sebenar.”
Sejak mengambil alih kuasa, Encik Sharaa berusaha menjarakkan diri daripada kumpulan ekstremis dan memperkenalkan dasar reformasi dalam pasukan keselamatan Syria, termasuk komitmen menyiasat pelanggaran hak asasi manusia oleh anggota keselamatan.
Hubungan diplomatik antara Syria dengan Amerika terputus sejak 2012 akibat perang saudara.
Namun, selepas pertemuan ini, Washington bersetuju membenarkan Syria membuka semula kedutaannya di ibu negara Amerika – satu perkembangan bersejarah yang menandakan pengiktirafan rasmi terhadap pemerintahan baru di Damsyik.
Ini merupakan pertemuan ketiga antara Encik Trump dan Encik Sharaa pada 2025 iaitu selepas sidang Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Mei dan majlis makan malam semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September.
Dalam kenyataan ringkas kepada media, Encik Trump menegaskan bahawa Syria kini memainkan peranan penting dalam kestabilan rantau Timur Tengah.
“Syria ialah bahagian besar daripada Timur Tengah. Kami juga bekerjasama dengan Israel dan Turkey. Hubungan semua pihak kini semakin baik. Ia benar-benar berkesan,” katanya.
Beliau turut memuji hubungan baik Presiden Encik Sharaa dengan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, yang turut menyokong proses pemulihan di Syria. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg