GAZA/DOHA: Rundingan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas sekali lagi berdepan jalan buntu apabila rancangan kontroversi yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, untuk memindahkan ratusan ribu rakyat Palestin ke sebuah “bandar kemanusiaan” di selatan Gaza, menimbulkan kemarahan dan kebimbangan antarabangsa.
Menurut laporan media tempatan dan antarabangsa, Menteri Pertahanan Israel telah membentangkan kepada wartawan rancangan memindahkan sebahagian besar penduduk Gaza ke zon terkawal di selatan wilayah itu berdekatan sempadan Mesir.
Kawasan tersebut dijangka menempatkan sekurang-kurangnya 600,000 orang pada fasa awal, dengan matlamat akhirnya melibatkan keseluruhan dua juta penduduk Gaza.
“Ini akan menjadi sebuah bandar terpencil seperti ghetto. Ini sangat tidak boleh diterima, dan tiada rakyat Palestin yang akan bersetuju dengannya,” kata Encik Husam Badran, anggota kanan Hamas.
Beberapa pakar undang-undang antarabangsa Israel menyifatkan rancangan tersebut sebagai “pemindahan paksa” satu bentuk jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.
Dalam satu surat terbuka kepada Encik Katz dan Ketua Angkatan Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, mereka memberi amaran bahawa pelaksanaan pelan itu boleh disifatkan sebagai “pembersihan etnik” dan berpotensi mencapai ambang “jenayah genosid”.
Pihak tentera Israel enggan mengulas sama ada rancangan pemindahan penduduk Gaza itu telah diarah secara rasmi untuk dilaksanakan, namun desakan antarabangsa untuk membatalkan rancangan itu semakin meningkat.
Pengantara rundingan di Qatar kini berdepan kesukaran besar untuk merapatkan jurang antara Israel dengan Hamas.
Seorang pegawai yang mengetahui rundingan itu berkata kepada media: “Perbincangan kini tertumpu pada peta kedudukan tentera Israel di Gaza. Pengantara sedang mencari mekanisme inovatif untuk mengekalkan momentum.”
Namun, Hamas secara terbuka menyalahkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, kerana menggagalkan rundingan.
“Netanyahu mahir mensabotaj satu pusingan rundingan demi satu,” tulis Hamas dalam kenyataan di Telegram.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyatakan harapan bahawa perjanjian gencatan senjata dapat dimeterai dalam masa terdekat.
“Kami sedang berbincang dan mudah-mudahan akan menyelesaikannya pada minggu depan,” katanya.
Namun begitu, isu seperti keengganan Hamas untuk melucutkan senjata dan keinginan Israel mengekalkan hak untuk menyambung peperangan terus menghambat kemajuan rundingan.
Rancangan “bandar kemanusiaan” pula dilihat sebagai penghalang besar yang boleh menjejaskan kemungkinan kompromi.
Ketua Pembangkang Israel, Encik Yair Lapid, mengecam rancangan Encik Katz sebagai “idea gila, malah melangkaui kebiasaan pemerintah ini”.
Dalam satu sidang media, beliau melontarkan pelbagai persoalan logistik dan moral terhadap rancangan itu.
“Adakah penduduk akan dibenarkan keluar dari bandar itu? Jika tidak, bagaimana mereka akan dihalang? Akan ada pagar? Pagar elektrik? Berapa ramai askar yang perlu ditempatkan?” soal Encik Lapid secara sinis.
Beliau turut membangkitkan isu bekalan air, makanan dan perkhidmatan perubatan, serta kemungkinan penularan penyakit dalam kawasan yang padat itu.
“Dan soalan paling penting kepada rakyat Israel: Berapa kosnya kepada kita semua?” tambahnya.
Encik Lapid mendedahkan bahawa projek itu dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya 15 bilion shekel ($5,7 bilion), dengan sesetengah anggaran mencecah 20 bilion shekel.
“Bandar ini tidak akan wujud... ia satu idea yang sangat gila,” katanya, menyifatkan rancangan tersebut sebagai “khayalan yang membazirkan wang rakyat”.
Malah mantan Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert, turut menyamakan rancangan itu dengan “penempatan tertutup berskala besar” dan memberi amaran bahawa jika dilaksanakan, ia akan menjadi bukti nyata kepada usaha pembersihan etnik.
Sementara itu, di Gaza, serangan udara Israel yang berterusan menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh pada 14 Julai, termasuk di Bandar Gaza dan Khan Yunis.
Israel mendakwa ia menyasarkan infrastruktur militan, tetapi kebanyakan korban adalah orang awam. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg