Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump rancang lawat Saudi, Qatar, UAE seawal Mei

Apr 1, 2025 | 12:50 PM
donald trump
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata lawatannya ke Arab Saudi adalah untuk menandatangani perjanjian pelaburan melibatkan lebih AS$1 trilion ($1.34 trilion) yang bakal memberi suntikan kepada ekonomi Amerika, termasuk pembelian peralatan ketenteraan. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau merancang melawat Arab Saudi seawal Mei untuk menandatangani satu perjanjian pelaburan – perjalanan luar negara pertama dalam penggal keduanya, dengan lawatan juga dirancang ke Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

“Ia mungkin bulan depan (Mei), mungkin lewat sedikit kemudian,” kata Encik Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.

Empat sumber yang diberi taklimat mengenai perkara itu berkata pertengahan Mei dilihat sebagai masa yang sesuai untuk perjalanan itu.

Encik Trump menjadikan Saudi dan Israel sebagai perhentian awal dalam lawatan sulungnya ke luar negara semasa penggal pertamanya pada 2017.

Beliau sekali lagi mengulangi kenyataan yang dibuatnya pada awal Mac dengan berkata perjalanannya ke Saudi adalah untuk menandatangani perjanjian pelaburan melibatkan lebih AS$1 trilion ($1.34 trilion) yang bakal memberi suntikan kepada ekonomi Amerika, termasuk pembelian peralatan ketenteraan.

Beliau mencadangkan perjanjian serupa akan ditandatangani di Qatar dan UAE.

“Peluang pekerjaan yang besar akan diwujudkan dalam dua atau tiga hari itu,” kata Encik Trump tanpa menjelaskan secara terperinci mengenai hal tersebut.

Topik lain yang mungkin akan dibincangkan termasuk perang berlarutan tiga tahun Russia di Ukraine dan perang di Gaza, kata satu sumber.

Saudi telah memainkan peranan penting dalam dasar luar Amerika, termasuk menganjurkan rundingan gencatan senjata melibatkan Amerika dengan Russia dan Ukraine.

“Peluang untuk perjalanan antarabangsa untuk Presiden adalah sesuatu yang sedang diteliti. K

“ami belum mempunyai rancangan khusus dan kami akan memberikan maklumat itu apabila ia menjadi rasmi kelak,” kata seorang pegawai Rumah Putih sebelum kenyataan Encik Trump dikeluarkan.

Awal sebelum ini, Encik Trump berikrar untuk menambah lebih banyak negara dalam Perjanjian Abraham, siri perjanjian pemulihan hubungan yang dirundingkan pentadbirannya antara Israel dengan beberapa negara Teluk semasa penggal pertamanya.

Beliau menarik perhatian bahawa lebih banyak negara mahu menyertai perjanjian tersebut.

Walaupun Rumah Putih telah memilih Saudi sebagai peserta dalam perjanjian itu, namun Saudi mempunyai keraguan terhadap Israel akibat perang Gaza.

Encik Trump telah berkata beliau boleh bertemu dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, di Saudi.

Namun, tidak jelas sama ada pertemuan itu akan menjadi sebahagian daripada jadual lawatannya itu.

Encik Trump turut berkata beliau juga merancang melawat negara lain.

Pada Februari, Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menghantarkan surat kepada Encik Trump daripada Raja Charles III yang menjemputnya untuk lawatan rasmi negara.

Sebelum ini, Jabatan Negara Amerika telah meluluskan penjualan pertama sistem senjata pintar, Sistem Senjata Pemusnah Tepat Termaju (APKWS), kepada Saudi, dengan nilai dianggarkan mencecah AS$100 juta, ujar kenyataan Pentagon pada 20 Mac.

Kelulusan itu diberikan ketika Amerika masih giat melancarkan serangan udara ke atas sasaran Houthi di Yaman yang bermula pada 15 Mac.

Serangan tersebut setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang, menjadikannya operasi terbesar sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg