THE HAGUE: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 25 Jun berkata beliau berkemungkinan akan menuntut komitmen Iran agar menamatkan cita-cita nuklearnya dalam rundingan yang dijadual diadakan minggu hadapan.
Encik Trump turut mengaitkan kejayaan serangan udara Amerika ke atas Iran sebagai faktor utama yang membawa kepada penamatan pantas perang antara Israel dengan Teheran.
Beliau menyatakan bahawa keputusannya untuk melancarkan bom pemusnah kubu dalam serangan pada 22 Jun telah “menghancurkan” program nuklear Iran dan menyifatkan hasilnya sebagai “kemenangan untuk semua pihak”.
“Serangannya sangat dahsyat. Ia adalah pemusnahan total,” dakwanya, sambil mengetepikan penilaian awal Agensi Risikan Pertahanan Amerika Syarikat (DIA) yang menyatakan bahawa kemajuan Iran dalam membina senjata nuklear hanya terjejas selama beberapa bulan.
Sementara itu, rakyat Iran dan Israel yang masih dibayangi ketegangan selama 12 hari konfrontasi paling sengit antara kedua-dua negara itu, kini cuba untuk kembali menjalani kehidupan normal selepas gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 24 Jun.
Bercakap di The Hague semasa menghadiri sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Trump berkata beliau tidak menjangkakan Iran akan meneruskan program pembangunan senjata nuklear.
Iran telah berulang kali menafikan tuduhan Barat bahawa ia sedang membina senjata nuklear.
“Minggu depan kita akan berbincang dengan Iran. Mungkin kita akan tandatangan perjanjian, saya tak pasti. Tapi bagi saya, ia bukan sesuatu yang sangat perlu,” katanya.
“Saya boleh katakan, perkara terakhir yang mereka mahu buat sekarang ialah memperkayakan apa-apa. Mereka mahu pulih,” ujar Encik Trump, merujuk kepada dakwaan bahawa Iran sedang memperkayakan uranium hampir ke tahap sesuai untuk senjata.
Pada hari yang sama, Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe, menyatakan bahawa serangan udara Amerika telah “teruk menjejas” program nuklear Iran, tetapi tidak mengesahkan bahawa ia telah dimusnahkan sepenuhnya.
Beliau berkata terdapat “bukti kukuh” bahawa beberapa kemudahan utama Iran telah dihancurkan dan akan mengambil masa bertahun untuk dibina semula.
Agensi nuklear Israel turut membuat penilaian bahawa serangan tersebut telah “melambatkan keupayaan Iran untuk membangunkan senjata nuklear selama bertahun-tahun”.
Rumah Putih juga mengedarkan penilaian Israel itu, walaupun Encik Trump menegaskan beliau tidak bergantung kepada risikan Israel.
Encik Trump melahirkan keyakinannya bahawa Teheran akan memilih jalan diplomasi.
Namun, beliau tidak memberi maklumat lanjut tentang perbincangan minggu hadapan, termasuk lokasi atau siapa yang bakal terlibat.
“Jika Iran cuba membina semula program mereka, kita tak akan benarkan ia berlaku.
“Pertama sekali, dari segi ketenteraan, kita tidak akan membenarkan.
“Saya rasa kita akhirnya akan ada satu bentuk hubungan dengan Iran bagi menyelesaikan isu ini,” kata Encik Trump.
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi, pula menolak pendekatan mengukur kejayaan berdasarkan beberapa bulan yang Iran perlukan untuk membinanya semula.
“Ilmu teknologi dan kapasiti industri masih ada. Itu tak boleh dinafikan.
“Jadi kita perlu bekerjasama dengan mereka,” katanya, sambil menekankan keutamaan beliau adalah untuk mengembalikan semula pemeriksa antarabangsa ke tapak nuklear Iran bagi menilai keadaan sebenar.
Kempen pengeboman Israel yang bermula secara mengejut pada 13 Jun telah membunuh pemimpin tertinggi ketenteraan Iran serta beberapa saintis kanan program nuklearnya.
Iran membalas dengan melancarkan peluru berpandu yang berjaya menembusi pertahanan Israel dalam jumlah besar buat kali pertama.
Pihak berkuasa Iran menyatakan bahawa 627 orang terbunuh dan hampir 5,000 cedera di negara itu, walaupun angka tersebut tidak dapat disahkan secara bebas kerana sekatan ketat terhadap media.
Di pihak Israel, 28 orang terbunuh.
Israel mendakwa telah mencapai matlamatnya untuk memusnahkan tapak nuklear dan peluru berpandu Iran manakala Iran pula mendakwa mereka telah memaksa perang ditamatkan selepas berjaya menembusi pertahanan Israel.
Keupayaan Israel untuk menyasarkan kepimpinan tertinggi Iran secara langsung dilihat sebagai cabaran besar terhadap kepimpinan ulama negara itu, apatah lagi ketika proses pemilihan pengganti Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei, yang kini berusia 86 tahun dan telah berkuasa selama 36 tahun, masih belum jelas.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, yang merupakan tokoh sederhana dan dipilih pada 2024 dalam tentangan kepada dominasi golongan konservatif, menyatakan konflik itu membuka peluang kepada perubahan dalaman.
“Perang ini dan semangat kebersamaan yang terjalin antara rakyat dengan pemimpin merupakan peluang untuk mengubah corak kepimpinan serta pendekatan pentadbiran agar perpaduan dapat diwujudkan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh media pemerintah.
Namun begitu, pihak berkuasa Iran bertindak pantas menunjukkan kawalan mereka masih kukuh.
Badan kehakiman pada 25 Jun mengumumkan pelaksanaan hukuman mati terhadap tiga individu yang didapati bersalah bekerjasama dengan agensi perisikan Israel, Mossad, dan menyeludup peralatan untuk tujuan pembunuhan.
Semasa perang, kedua-dua Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Encik Trump secara terbuka menyatakan bahawa konflik tersebut mungkin berakhir dengan kejatuhan sistem pemerintahan ulama Iran yang ditubuhkan sejak revolusi 1979.
Namun, selepas gencatan senjata, Encik Trump mengubah pendiriannya.
“Saya tidak mahukan perubahan rejim di Iran,” kata Encik Trump. “Itu hanya akan mencetuskan huru-hara pada saat kita mahu keadaan kembali stabil.”
Rakyat kedua-dua negara menyambut baik berakhirnya pertempuran, walaupun kebimbangan masih menyelubungi suasana.
“Kami pulang selepas gencatan senjata diumumkan.
“Orang ramai lega kerana perang telah tamat, tapi banyak ketidaktentuan tentang apakah yang akan berlaku selepas ini,” kata Cik Farah, 67 tahun, yang kembali ke Teheran selepas melarikan diri ke Lavasan akibat pengeboman Israel.
Di Tel Aviv, Cik Rony Hoter-Ishay Meyer, 38 tahun, turut meluahkan perasaan bercampur baur – lega kerana anak-anak boleh kembali ke sekolah, tetapi amat keletihan akibat tekanan berterusan.
“Dua minggu lepas sangat mencengkam. Kami benar-benar letih dan perlukan masa untuk kembali kepada rutin dan tenaga biasa kami,” katanya. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg