ABU DHABI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian untuk membolehkan negara Teluk itu membina kampus kecerdasan buatan (AI) terbesar di luar Amerika.
Perjanjian sedemikian sebelum ini menghadapi sekatan berhubung kebimbangan Washington bahawa China boleh mengakses teknologi canggih itu.
Kedua-dua negara itu tidak menyatakan sama ada cip AI dari Nvidia atau syarikat lain yang boleh digunakan dalam pusat data UAE itu kelak.
Menurut sumber, perjanjian itu akan memberi negara Teluk akses yang diperluas kepada cip AI termaju.
Ketua Eksekutif Nvidia, Encik Jensen Huang, dilihat dalam rakaman televisyen bercakap dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, di Istana Presiden di Abu Dhabi pada 15 Mei.
Perjanjian yang telah lama diidam-idamkan itu dimuktamadkan semasa lawatan Encik Trump ke Abu Dhabi pada hari tersebut.
Ia merupakan kemenangan besar bagi UAE yang telah cuba mengimbangi hubungannya antara sekutu lamanya Amerika dan rakan dagang terbesarnya China.
Ia mencerminkan keyakinan pentadbiran Encik Trump bahawa cip boleh diurus dengan selamat, sebahagiannya memerlukan pusat data diuruskan oleh syarikat Amerika sendiri.
UAE, pengeluar minyak utama, telah membelanjakan berbilion dolar dalam usaha untuk menjadi pemain AI di peringkat sejagat.
Tetapi hubungannya dengan China mempunyai akses terhad kepada cip Amerika di bawah pentadbiran mantan Presiden Joe Biden.
Perjanjian AI “termasuk UAE yang beriltizam untuk melabur dalam membina atau membiayai pusat data Amerika yang sekurang-kurangnya sama besar dan berkuasa seperti di UAE.
“Perjanjian itu juga merangkumi komitmen bersejarah oleh UAE untuk menyelaras peraturan keselamatan negara mereka dengan Amerika, termasuk perlindungan kukuh bagi menghalang pengalihan teknologi asal Amerika,” tambah Rumah Putih.
Agensi berita, Reuters, sebelum ini melaporkan bahawa kedua-dua negara telah memuktamadkan perjanjian rangka kerja teknologi dan ia memerlukan komitmen kedua-dua pihak terhadap keselamatan teknologi.
Di bawah perjanjian itu, UAE dibenarkan mengimport 500,000 cip AI paling canggih Nvidia setiap tahun bermula pada 2025, kata sumber kepada Reuters.
Nvidia bagaimanapun enggan mengulas.
Kementerian Luar UAE tidak segera menjawab permintaan untuk memberi komen.
Inti pati perjanjian yang diumumkan pada 15 Mei ialah kampus AI seluas 25.9 kilometer persegi di Abu Dhabi dengan kapasiti kuasa 5 gigawatt, kata Jabatan Perdagangan Amerika.
“Itu lebih besar daripada semua pengumuman prasarana AI utama lain yang kami lihat setakat ini,” kata penganalisis dari institut penyelidikan, Rand Corporation, Encik Lennart Heim, menerusi wadah X.
Menurutnya, kemudahan itu dapat menyokong 2.5 juta cip B200 talian teratas Nvidia.
Kampus itu akan dibina oleh firma G42 yang disokong pemerintah Abu Dhabi, tetapi Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick, berkata “syarikat Amerika akan mengendalikan pusat data dan menawarkan perkhidmatan awan yang diuruskan oleh Amerika di seluruh rantau ini”.
“Peralihan ini membolehkan UAE memperdalam perkongsian teknologinya dengan Amerika,” kata Encik Mohammed Soliman, Zamil Kanan di Institut Timur Tengah. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg