Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Video rakam saat terakhir sebelum paramedik Gaza dibunuh

Apr 6, 2025 | 4:36 PM
Video yang dipercayai dirakam dari dalam sebuah kenderaan bergerak, memaparkan sebuah trak bomba merah dan ambulans bergerak pada malam hari, dengan bunyi latar tembakan senjata berterusan.
Video yang dipercayai dirakam dari dalam sebuah kenderaan bergerak, memaparkan sebuah trak bomba merah dan ambulans bergerak pada malam hari, dengan bunyi latar tembakan senjata berterusan. - Foto AFP

GAZA: Sebuah video yang ditemui dalam telefon bimbit seorang paramedik yang terbunuh di Gaza bersama pekerja bantuan lain menunjukkan saat terakhir mereka, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), dengan ambulans yang jelas bertanda dan lampu kecemasan masih menyala ketika kenderaan itu ditembak bertalu-talu. 

Pekerja bantuan itu adalah antara 15 anggota kemanusiaan yang terbunuh pada 23 Mac dalam serangan oleh tentera Israel, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan PRCS.

Tentera Israel berkata tentera mereka “tidak menyerang secara rambang” mana-mana ambulans, sambil menegaskan mereka melepaskan tembakan ke arah “pengganas” yang mendekati mereka dalam “kenderaan mencurigakan”.

Jurucakap tentera, Encik Nadav Shoshani, berkata tentera melepaskan tembakan ke atas kenderaan yang tidak mendapat kelulusan awal daripada pihak berkuasa Israel dan mematikan lampu mereka.

Namun, rakaman yang dikeluarkan oleh PRCS pada 5 April jelas bertentangan dengan dakwaan awal tentera Israel, kerana ia menunjukkan ambulans itu bergerak dengan lampu utama menyala dan lampu kecemasan berkelip, lapor AFP.

Video selama enam minit 42 saat, yang dipercayai dirakam dari dalam sebuah kenderaan bergerak, memaparkan sebuah trak bomba merah dan ambulans bergerak pada malam hari, dengan bunyi latar tembakan senjata berterusan.

Kenderaan tersebut berhenti di tepi jalan bersebelahan antara satu sama lain, dan dua lelaki berpakaian seragam dilihat keluar dari kenderaan.

Dalam video itu, kedengaran suara dua orang paramedik, dan beberapa saat kemudian, tembakan bertalu-talu kedengaran sebelum rakaman bertukar gelap.

Paramedik yang sedang merakam video itu kedengaran mengucap shahada berulang kali dan meminta ampun kepada Tuhan dan berkata beliau tahu yang beliau akan mati.

“Maafkan saya, ibu. Ini adalah jalan yang saya pilih – untuk membantu orang ramai,” katanya.

Di latar belakang, keriuhan suara dari pekerja bantuan dan askar yang resah menjerit arahan dalam bahasa Ibrani kepada satu sama lain.

Adalah tidak jelas apa yang mereka sedang katakan.

PRCS berkata ia menemui video tersebut dalam telefon bimbit Encik Rifat Radwan, salah seorang pekerja bantuan yang terbunuh.

Video ini secara jelas menyanggah dakwaan Israel yang menyatakan tentera mereka tidak menyerang ambulans secara rambang, serta mendakwa bahawa beberapa kenderaan mendekati dengan cara yang mencurigakan tanpa menyalakan lampu atau tanda kecemasan, kata PRCS.

Jurucakap PRCS, Cik Nebal Farsakh, memberitahu wartawan bahawa tentera Israel “menembak secara terburu-buru” terhadap para paramedik.

Seorang pegawai tentera Israel memberitahu wartawan pada 5 April bahawa terdapat dua kejadian pada awal pagi 23 Mac.

Pada 4 pagi, tentera melepaskan tembakan ke atas sebuah kenderaan yang didakwa membawa anggota keselamatan dalaman Hamas, menyebabkan dua maut dan seorang lagi ditahan.

Pada 6 pagi, tentera Israel menyasarkan sebuah konvoi yang didakwa mencurigakan dan dipercayai membawa pengganas, lalu kenderaan itu ditembak dari jarak jauh.

Antara yang terbunuh adalah lapan kakitangan PRCS, enam anggota agensi pertahanan awam Gaza, dan seorang pekerja agensi PBB untuk pelarian Palestin.

Mayat para mangsa ditemui dalam kubur ramai berhampiran bandar paling selatan Gaza, Rafah, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha).

Hamas menuduh tentera Israel melakukan “cubaan sengaja untuk menutup jenayah mereka dengan menguburkan mangsa dalam kubur ramai dan menyembunyikan kebenaran”.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Dr Volker Turk, menyatakan bahawa serangan itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya “jenayah perang” oleh pihak Israel. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg