JAKARTA: Projek penulisan semula sejarah nasional Indonesia yang diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Encik Fadli Zon, mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan sejarawan, masyarakat sivil dan pengkritik akademik.
Dengan hasrat menerbitkan 10 jilid buku sejarah menjelang Hari Kemerdekaan 17 Ogos, projek itu digambarkan sebagai usaha untuk “menyusun semula naratif sejarah secara sahih” dan “mencipta semula jati diri Indonesia”.
Namun, di sebalik matlamat rasmi itu, timbul persoalan besar dalam kalangan pengamat sama ada ia satu bentuk penulisan semula sejarah untuk melayani naratif kekuasaan atau satu ikhtiar jujur untuk meluaskan perspektif sejarah kepada generasi baru.
Encik Fadli dalam kenyataannya menegaskan buku tersebut akan mengangkat naratif dengan memberi tumpuan pada perspektif Indonesia dan disusun oleh kira-kira 100 pakar sejarawan.
Beliau turut menjelaskan bahawa Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dan dirinya tidak akan terlibat dalam proses editorial.
Namun, latar belakang politik beliau sebagai penyokong rapat Presiden Prabowo serta penulis buku yang mempertahankan rekod Encik Prabowo sewaktu zaman mantan Presiden Suharto menimbulkan tanda tanya tentang matlamat dan kebebasan intelektual projek itu.
“Saya curiga adakah ini usaha untuk memberikan kesahihan terhadap rejim pemerintah? Ada kemungkinan pelanggaran hak asasi manusia pada 1998 yang berkaitan dengan Prabowo akan digugurkan,” kata sejarawan terkemuka Indonesia, Encik Asvi Warman Adam.
Kebimbangan itu bukan tanpa asas.
Encik Prabowo, bekas menantu kepada mantan Presiden Suharto, secara terbuka memuji kepimpinan Orde Baru dan semakin banyak bergantung kepada institusi tentera dalam pelaksanaan visinya.
Walaupun dituduh terlibat dalam penculikan aktivis mahasiswa semasa rusuhan 1998, beliau menafikan dakwaan tersebut berulang kali.
Encik Fadli pula mendakwa tuduhan itu telah “dibuktikan palsu”, walaupun masih terdapat desakan daripada pertubuhan bukan pemerintah (NGO) dan pengkaji hak asasi manusia untuk membuka semula siasatan.
Zamil Pelawat dalam Program Pembelajaran Indonesia di Iseas-Institut Yusof Ishak, Encik Made Supriatma, memberi amaran projek itu mungkin mengulangi pendekatan era Suharto, yang pada 1975 menerbitkan enam jilid sejarah rasmi negara bertajuk, ‘Sejarah Nasional Indonesia’ yang mengangkat peranan tentera dan sarat dengan ketidaktepatan fakta.
“Sejarah dalam republik ini tidak mengagumkan. Persoalannya adakah mereka berani menulisnya secara jujur?” tanya beliau.
Sementara itu, salah seorang sejarawan yang terlibat dalam projek tersebut, Encik Jajat Burhanuddin, menyatakan bahawa sehingga kini tiada campur tangan pemerintah dalam kandungan penulisan.
Menurutnya, peristiwa penculikan dan penyeksaan aktivis pada 1998 akan dimuatkan, namun beliau enggan mengulas sama ada nama Encik Prabowo akan disebut secara langsung dalam bab-bab berkaitan.
Lebih membimbangkan ialah kenyataan Encik Fadli bahawa pembantaian besar-besaran terhadap komunis dan penyokong mereka pada 1965-1966 tidak akan diberikan perhatian mendalam dalam buku bersiri itu.
Sejarawan menganggarkan lebih 500,000 orang terbunuh dalam operasi ketenteraan yang turut disokong oleh pemimpin agama ketika itu.
Mantan Presiden Suharto naik ke tampuk kuasa hasil peristiwa hitam itu dan kekal sebagai Presiden selama lebih tiga dekad sehingga digulingkan pada 1998.
Profesor sains politik dari Universiti Humboldt di Berlin, Profesor Dr Claudia Derichs, pernah menyatakan bahawa penulisan sejarah dalam konteks negara pasca kolonial sering dibentuk oleh elit politik untuk membina identiti nasional yang seragam.
Dalam kerangka itu, naratif dari wilayah luar Jawa, masyarakat minoriti dan peranan wanita sering diketepikan.
Hal itu turut diungkit oleh pengkritik projek sejarah baru itu yang melihatnya sebagai terlalu berpusat dan tidak bersifat terangkum.
Projek itu turut dikritik kerana tidak memberi perhatian mencukupi kepada sejarah gerakan sosial, kebudayaan, dan pembangunan wilayah yang tidak berkaitan secara langsung dengan politik pusat.
“Jika sejarah nasional tidak mewakili kepelbagaian pengalaman rakyatnya, ia bukan sahaja pincang, bahkan juga gagal berfungsi sebagai cerminan jati diri negara,” ujar pengkaji budaya yang enggan dinamakan.
Sejarawan era Orde Baru seperti Profesor Sartono Kartodirdjo, yang memperkenalkan pendekatan pelbagai dalam historiografi Indonesia, pernah disisihkan daripada projek Sejarah Nasional Indonesia (SNI) kerana tidak selari dengan pendekatan naratif sehala yang diutamakan oleh pemerintah pada waktu itu.
Pendekatan pelbagai dimensi yang beliau bawa memungkinkan suara petani, wanita dan masyarakat terpinggir diberi tempat – sesuatu yang sangat kurang dalam sejarah arus perdana.
Encik Fadli walaupun pernah menjadi aktivis mahasiswa yang menentang mantan Presiden Suharto kini beralih nada.
Beliau menyokong agar mantan Presiden Suharto diberi gelaran Pahlawan Nasional dengan alasan beliau berjaya menurunkan kadar kemiskinan dan mengawal inflasi pada awal pemerintahannya.
Perubahan pendirian itu mencerminkan bagaimana sejarah bukan sahaja tentang fakta dan peristiwa, bahkan juga tentang naratif yang dibentuk oleh kuasa.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Stephanie Donald dari University of New South Wales: “Memori kolektif adalah medan perebutan kuasa; siapa yang menguasainya, mengawal masa depan.”
Naratif sejarah yang dikawal oleh negara sering kali digunakan untuk menetapkan sempadan antara mana yang dianggap patriotik dengan mana yang dianggap subversif.
Penulisan semula sejarah nasional perlu dilihat bukan sekadar sebagai projek akademik, malah sebagai tindakan politik yang membawa implikasi besar pemahaman rakyat terhadap masa lalu dan arah tuju masa depan.
Pengkaji sejarah politik Asia Tenggara, Dr Rhiannon Smith, menegaskan: “Sejarah nasional harus disusun bukan untuk menyenangkan penguasa, tetapi untuk mencerminkan kebenaran yang kompleks dan pelbagai suara rakyat.”
Menurutnya dalam konteks ini, persoalan paling asas perlu ditanya:
“Proses penyemakan atau ulang lihat sejarah ini untuk siapa? Jika benar ingin membina naratif sejarah yang menyeluruh dan mewakili, maka pelbagai perspektif termasuk dari daerah, kelas sosial, kumpulan etnik, dan jantina mesti diberi ruang.
“Jika tidak, sejarah itu hanya akan menjadi alat kekuasaan, bukan lagi cerminan kejujuran intelektual atau warisan bangsa.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg