Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee ucap tahniah kepada PM baru Perancis

Jan 19, 2024 | 2:43 PM
PERDANA MENTERI PERANCIS: Pada usia 34 tahun, Encik Gabriel Attal merupakan Perdana Menteri Perancis yang paling muda dilantik.
PERDANA MENTERI PERANCIS: Pada usia 34 tahun, Encik Gabriel Attal merupakan Perdana Menteri Perancis yang paling muda dilantik. - Foto REUTERS

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, telah menulis kepada Perdana Menteri Perancis, Encik Gabriel Attal, atas pelantikannya, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 18 Januari.

Encik Attal dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis pada 9 Januari lalu. Pada usia 34 tahun, beliau merupakan Perdana Menteri termuda negara itu.

Dalam surat Encik Lee bertarikh 16 Januari, beliau mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya itu.

Encik Lee berkata Singapura dan Perancis merupakan rakan kongsi strategik dalam bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertahanan, inovasi, budaya dan pendidikan.

Beliau menambah bahawa kerjasama kededua negara akan berkembang selepas pemeteraian Perkongsian Digital dan Hijau 2022 yang bertujuan membantu syarikat berjaya dalam ekonomi digital dan mampan yang berkembang pesat.

PM Lee juga mengimbas kembali perkongsian pertahanan yang dikongsi antara Singapura dan Perancis.

Pada Jun 2023, kededua negara memperingati 25 tahun latihan juruterbang pejuang Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Cazaux di barat daya Perancis, lapor The Straits Times.

Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, dan Menteri Angkatan Tentera Perancis, Encik Sebastien Lecornu, juga telah mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dua hala.

Pada April 2023, Kementerian Pertahanan (Mindef) menandatangani perjanjian dengan Kementerian Angkatan Tentera Perancis untuk menubuhkan makmal penyelidikan dan pembangunan bersama untuk membangunkan keupayaan kecerdasan buatan untuk aplikasi pertahanan.

Singapura dan Perancis akan meraikan 60 tahun hubungan diplomatik pada 2025, dan PM Lee menyampaikan jemputan kepada Encik Attal untuk melawat Singapura tidak lama lagi.

Sebelum ini beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan dan jurucakap pemerintah semasa pandemik Covid-19, Encik Attal akan menduduki pejabat negara kedua tertinggi di Perancis.

Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg