WASHINGTON: Mantan presiden Donald Trump dan Naib Presiden Kamala Harris memasuki peringkat genting kempen pilihan raya yang sengit, dengan satu-satunya perbahasan antara mereka dijadualkan pada 10 September.
Cik Harris berdepan dengan sebahagian besar pengundi yang masih menyatakan mereka perlu mengetahui lebih lanjut tentang dirinya.
Tinjauan nasional ke atas bakal pengundi oleh The New York Times dan Kolej Siena mendapati Encik Trump meraih 48 peratus, mendahului Cik Harris, yang mendapat 47 peratus, dalam margin ralat 3 peratusan mata undian.
Dapatan itu sebahagian besarnya tidak berubah daripada tinjauan Times/Siena pada lewat Julai, sejurus selepas Presiden Joe Biden menarik diri daripada pilihan raya bagi penggal keduanya.
Walaupun Encik Trump mengalami bulan-bulan sukar selepas pengunduran Encik Biden dan di tengah-tengah keterujaan yang dibawa Cik Harris kepada parti Demokrat, tinjauan itu menunjukkan sokongan bagi beliau kekal berdaya tahan.
Keputusan tinjauan nasional itu sejajar dengan tinjauan pendapat di tujuh negeri yang menjadi medan pertempuran, yang akan menentukan keputusan pilihan raya presiden itu.
Dapatan purata tinjauan itu menunjukkan Cik Harris terikat dengan Trump atau meraih kemenangan tipis di negeri-negeri itu.
Secara keseluruhan, mereka menunjukkan satu persaingan sengit.
Hanya tinggal lebih sedikit dari lapan minggu menjelang pilihan raya presiden terpendek dalam sejarah Amerika moden itu.
Kedua-dua calon mempunyai sedikit peluang untuk mengalihkan pendirian pengundi, tetapi bagi Encik Trump, pendapat sebahagian besarnya terhadap beliau kekal tetap.
Cik Harris pula masih belum dikenali ramai.
Dalam erti kata lain, tinjauan pendapat terbaru itu menggariskan risiko dan potensi ganjaran, terutamanya yang dihadapi oleh Cik Harris, apabila beliau dan Encik Trump berdebat di ABC News pada malam 10 September.
Tinjauan itu mendapati 28 peratus pengundi berkata mereka masih perlu mengetahui lebih lanjut tentang Cik Harris, manakala hanya 9 peratus berkata mereka perlu mengetahui lebih lanjut mengenai Encik Trump.
Bersama golongan 5 peratus pengundi yang menyatakan mereka belum membuat keputusan atau tidak cenderung kepada mana-mana calon, memaparkan sikap pengundi yang mungkin boleh berubah mengikut keadaan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg